KELANA JAYA: “Saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk menunaikan Rukun Islam kelima tahun lalu kerana dijangka akan melahirkan anak, namun kesedihan itu terbalas apabila berpeluang mengerjakan ibadat haji tahun ini bersama suami tercinta dan kedua-dua ibu bapa” kata Shafinaz Abd Maulud, 40, dari Seremban, Negeri Sembilan.
Beliau antara 350 jemaah haji kumpulan ke-51 yang ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH) Kelana Jaya, di sini, awal pagi semalam.
Shafinaz berkata, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaannya ketika menerima surat daripada Tabung Haji yang memaklumkan namanya tersenarai untuk menjadi jemaah haji pada tahun ini.
“Walaupun jauh di sudut hati terdapat kerisauan memikirkan anak berusia sembilan bulan yang terpaksa ditinggalkan tetapi atas dasar kepercayaan kepada adik kandung yang menjaganya, hati saya kembali tenang,” katanya.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, beliau bersyukur kerana diberi peluang kepadanya untuk mengerjakan haji ketika dirinya masih kuat dan akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin.
“Saya harap urusan menunaikan Rukun Islam kelima ini akan berjalan lancar tanpa masalah selain berdoa agar anak-anak yang terpaksa ditinggalkan di tanah air berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Sementara itu, kegembiraan jelas terpancar pada wajah sepasang suami isteri, Abdullah Azhari, 53, dan Noraini Abdullah, 54, apabila berpeluang mengerjakan haji bersama buat kali pertama.
Noraini berkata, hasratnya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya tercapai tahun ini setelah mengumpul wang melalui sistem potongan wang pencen sejak 10 tahun lalu.
“Mak cik pencen awal ketika berusia 45 tahun dan bermula pada tahun itu mak cik berusaha untuk mengumpul wang untuk pergi menunaikan haji dengan potongan duit pencen, Alhamdulillah hasrat mak cik tercapai dan lebih menggembirakan lagi apabila berpeluang untuk pergi bersama suami.
“Disebabkan terlalu teruja dan risau akan terlepas penerbangan, kami tiba seawal 3 petang sedangkan sepatutnya kami dikehendaki tiba ke TH jam 6.50 petang sebelum membuat proses lapor diri pada 8.50 malam dan berlepas ke Tanah Suci jam 12.55 pagi esok,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.
Menurutnya, walaupun terpaksa menunggu lama sebelum menjalani proses untuk melapor diri tetapi hatinya tenang kerana dapat tiba awal dan mengelak daripada mengalami masalah kelewatan.
“Diharap kami memperoleh haji mabrur dan dipermudahkan segala urusan untuk kami beribadat dan mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.
No comments:
Post a Comment