SAYA berusia 32 tahun dan kini hamil tujuh minggu. Saya mempunyai dua anak hasil daripada perkahwinan pertama dan tidak mempunyai sebarang masalah sebelum ini.
Sebelum ini saya keguguran anak daripada perkahwinan kedua.
Ketika itu saya muntah teruk dan langsung tiada selera untuk makan atau minum lalu dimasukkan ke wad selama empat hari.
Beberapa botol air dimasukkan ke badan dan akhirnya saya keguguran. Doktor mengesahkan bayi saya ‘tidak menjadi.’
Saya menjalani cucian dilation & curettage (D&C) dan kini setelah dua tahun peristiwa itu berlalu, saya hamil lagi. Kini, saya mula muntah teruk hingga tidak berdaya bangun.
Baru-baru ini saya ke hospital dan dimasukkan sebotol air. Saya cuma ditahan di wad selama dua jam dan pulang ke rumah, kemudian saya kembali muntah. Saya sangat bimbangkan kandungan dan keadaan diri saya. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?
SITI NOR
Seksyen 32, Shah Alam
MUNTAH-MUNTAH lazimnya berlaku pada tiga bulan pertama kehamilan (trimester pertama) kerana pada waktu itu terdapat peningkatan paras hormon BhCG.
Ia juga memberi petunjuk kepada doktor bahawa kemungkinan janin dikandung masih bernyawa lagi. Jika kandungan mengalami keguguran, paras hormon BhCG akan menurun, ini diikuti dengan pengalaman loya atau muntah yang berkurangan atau berhenti.
Berkemungkinan keguguran yang anda alami dahulu tidak berkaitan dengan keadaan muntah jika ia berkait dengan hormon BhCG.
Dalam keadaan muntah teruk, boleh berlaku dehidrasi dan anda mengalami kekurangan air serta garam galian di dalam tubuh. Ini perlu diganti sekiranya ujian air kencing serta ujian darah menunjukkan kehadiran bahan keton.
Bentuk gantian boleh sama ada meminum (sekiranya seseorang masih boleh minum dan makan) yang dicampur dengan garam rehidrasi atau menyalurkan menggunakan kaedah intravena ke dalam salur darah (sekiranya muntah hampir setiap kali makan atau minum) serta mengambil ubat penahan muntah.
Vitamin B juga ada digunakan untuk membantu keadaan ini. Doktor juga akan melakukan ujian tambahan untuk mengecualikan penyebab lain keadaan muntah-muntah ini.
No comments:
Post a Comment