Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Pekerja terbabit dokumen berunsur rasuah

SAYA kakitangan di sebuah syarikat separuh kerajaan. Ketua saya terbabit dalam rasuah bukan kewangan seperti percutian yang diberi pemegang lesen.

Walaupun dia menyatakan itu program lawatan kerjanya tetapi kami yang bekerja di situ tahu mengenai tujuannya. Dia membuat tuntutan tidak sepatutnya dan rakan saya yang bekerja sebagai setia-usaha terpaksa menyediakan dokumen berkenaan.

Saya pernah menunjukkan rasa kurang senang dengan perlakuannya itu tetapi dia menunjukkan rasa tidak bersalah. Apakah tindakan sewajarnya yang perlu kami lakukan? Adakah kami dianggap bersubahat kerana mengetahui tindakan salah yang dilakukan?

INGIN PENJELASAN,

Pahang



TINDAKAN yang sepatutnya dilakukan ialah melaporkan kepada pihak atasan atau pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana apabila dibiarkan sahaja pelakuan rasuah dan salah laku itu, kita dikira bersubahat sama dengan pelaku berkenaan. Pihak berwajib tentunya akan menyiasat dengan sebaiknya.

Sebenarnya rasuah ini sudah lama dalam sejarah manusia. Cuma ada yang kecil dan ada yang besar. Bagaimanapun, rasuah banyak mendatangkan keburukan bukan kepada individu malah kepada masyarakat dan negara.

Antaranya, ia menyebabkan berlaku kezaliman dalam pendapatan syarikat dan negara. Ia juga termasuk dalam memakan harta orang lain secara tidak betul (batil) yang dilarang Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (tidak halal) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 188).

Islam datang menyematkan nilai buruk kepada pemberi, penerima dan orang-orang yang bersubahat dengan rasuah. Antaranya Allah dan Rasulnya melaknat mereka, iaitu tiada keberkatan di dunia dan di akhirat nanti menerima seksaan Allah.

Islam menangani rasuah dengan cara berhemat supaya tidak berlaku tuduh menuduh dan sebagainya. Sebolehnya siasatan dijalankan dengan cermat dengan tidak mudah mendakwa tanpa bukti yang kukuh.

Ini kerana ia membabitkan maruah seseorang dan maruah badan yang diberi amanat untuk menyiasat perkara itu. Perkara ini dapat dipelajari daripada sirah Rasulullah s.a.w.

Baginda memberi nasihat dan nasihat yang baik sekiranya ada antara sahabat Baginda yang menjadi pegawai di sebuah kawasan tersalah ambil rasuah atau menerima hadiah dan sebagainya.

Kadang-kadang sikap kita yang mudah membuat tuduhan tanpa usul periksa dan laporan dibuat kepada SPRM bertujuan ugutan semata-mata tidak menyelesaikan masalah rasuah.

Pegawai Pencegah Rasuah juga perlu memastikan tindakan mereka juga benar-benar berkesan dengan menjalankan tanggungjawab supaya rasuah tidak berlaku.

Kadang-kadang tindakan pencegahan awal tidak dijalankan. Kita hanya menumpukan kepada tindakan selepas rasuah sudah berlaku. Dengan kata lain, pihak berwajib hendaklah memfokuskan kepada langkah pencegahan daripada tindakan selepas rasuah berlaku kerana kesan sudah terjadi.

Tindakan semata-mata dengan menghukum tidak berkesan tetapi kesedaran mengenai buruknya rasuah perlu disebar seluas mungkin.

No comments:

Post a Comment