Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Penghayatan agama kian tipis

KUALA LUMPUR: “Kurangnya didikan dan penghayatan mengenai agama di kalangan umat Islam menyebabkan fenomena keruntuhan rumah tangga begini kerap berlaku,” kata Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Maznah Daud.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai nasib seorang wanita, Norsiah Ramli, 33, yang diceraikan suaminya selepas banyak kali bertengkar gara-gara perbuatan bekas suaminya itu yang suka berfoya-foya dengan melanggan pelacur dari negara seberang.


Tidak cukup dengan itu, sewaktu perkahwinannya, dia selalu menjadi mangsa terajang dan dera bekas suami apabila belang sebenar perbuatan lelaki itu diketahui olehnya.

Maznah berkata, lelaki berkenaan bersikap zalim terhadap bekas isterinya dan tidak terkecuali anak-anak turut menerima nasib sama.


“Lelaki itu sudah melakukan penganiayaan terhadap isterinya sewaktu mereka masih sah bergelar suami isteri dan dalam Islam, si suami mahupun isteri sudah diberikan tanggungjawab tertentu untuk dilaksanakan mengelakkan hal sebegini terjadi.


“Kedua-dua pihak perlu memahami tanggungjawab masing-masing dan mengawal diri daripada melakukan perkara dilarang di sisi agama untuk kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, dengan status perceraian Norsiah yang masih ‘tergantung’ berikutan tiada pendaftaran secara sah dilakukan, dia akan menghadapi kesulitan bagi meneruskan hidup seperti sedia kala serta menjadikan memori lampau terus menghantui dirinya.


“Jika seorang suami melafazkan talak terhadap isterinya, maka talak sudah jatuh dan terputuslah hubungan suami isteri tadi,” katanya.

“Apabila perceraian itu tidak diisytihar dengan pendaftaran secara sah dilakukan, tiada bukti yang dapat membuktikan perkara itu berlaku seterusnya akan menyakitkan dan menyusahkan si isteri sekiranya mahu melakukan hal rasmi,” katanya.


Menurutnya, sebagai permulaan, Norsiah perlu mendapatkan pertolongan daripada keluarga kerana keluarga adalah insan yang paling dekat dan mungkin mampu membantunya.

No comments:

Post a Comment