SAYA berusia 37 tahun dan sudah berkahwin selama sembilan tahun. Saya pernah menjalani rawatan kesuburan termasuk kaedah permanian berhadas (IUI) beberapa kali namun gagal. Kini saya hamil kali pertama dengan sendiri.
Usia kandungan saya sudah tujuh bulan dan dijangka ber-salin pada 30 November ini.
Kandungan saya didapati tidak bermasalah, tetapi saya bercadang untuk menjalani pembedahan Caesarean kerana bimbang risiko terhadap bayi jika bersalin biasa.
Bolehkah saya memilih tarikh bersalin selain daripada yang diberitahu oleh doktor?
Saya bercadang memilih sama ada 11 November atau 20 November. Adakah sebarang masalah jika saya memilih tarikh terbabit?
MISHA
Kuala Lumpur
MENJADI suatu trend sekarang ibu bapa memilih tarikh tertentu bagi melahirkan anak atas alasan tersendiri misalnya tarikh yang ‘cantik’ dan seumpamanya.
Isu ini perlu dibincang dengan doktor yang lebih mengutamakan keadaan janin serta kesediaan rahim ibu berbanding tarikh.
Lazimnya tarikh jangkaan bersalin dikira berdasarkan kitaran haid wanita 28 hingga 30 hari. Formula itu memberikan tarikh usia kandungan genap 40 minggu dari tarikh haid terakhirnya bermula.
Secara ringkasnya, istilah tarikh jangkaan bersalin (expected date of delivery atau EDD) digunakan untuk mencatat tarikh ini.
Walaupun begitu, EDD yang diberikan hanya sebagai panduan bagi memastikan janin yang dikandung tidak terkurang ataupun terlebih usia kerana ia boleh mengundang masalah.
Malah, kebanyakan ibu hamil (sekitar 90 peratus) selamat bersalin sebelum tarikh jangkaan terbabit. Ini kerana apabila usia kandu-ngan mencukupi 38 minggu, ia sudah dikatakan matang dan selamat dilahirkan.
Sekiranya ibu hamil masih belum bersalin pada tarikh EDD berkenaan, doktor akan menilai semula sama ada kandungan benar-benar sudah 40 minggu, keadaan ibu dan kandungan sama ada selamat untuk diteruskan selama beberapa hari lagi ataupun terpaksa bersalin menggunakan kaedah yang dicadangkan atau dipersetujui.
Pilihan menjalani pembedahan Caesarean perlu dibincang secara teliti dengan doktor mengenai kebaikan dan keburukannya.
Begitu juga dengan pilihan tarikh bersalin ini.
Sekiranya kitaran haid anda antara 28 dan 30 hari dan EDD diberikan pada 30 November ini, kandungan anda baru saja matang (cukup bulan) pada 16 November.
Pada tarikh 11.11.11, kandungan anda baru saja berusia 37 minggu dua hari iaitu masih pramatang (belum cukup bulan) manakala pada 20.11.2011 pula, kandungan anda sudah matang (cukup bulan) iaitu 38 minggu 4 hari.
Kemungkinan ovulasi, persenyawaan dan pembentukan janin berlaku lebih lewat daripada lazim pada waktu itu perlu diambilkira kerana ini bermakna kemungkinan usia janin lebih pramatang. Anda semestinya sedia maklum mengenai komplikasi bayi pramatang.
No comments:
Post a Comment