Aktiviti gotong-royong sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan merupakan satu aktiviti yang sangat meriah. Dengan kehadiran jiran-jiran dan juga saudara-mara, pastinya majlis perkahwinan yang anda idamkan akan berlangsung seperti yang dirancang. Jika anda memilih
untuk membuat majlis perkahwinan secara bergotong-royong, sebenarnya anda boleh menjimatkan hampir 45% daripada bajet perkahwinan anda. Oleh itu, jika anda inginkan aktiviti gotong-royong ini, buatlah persediaan awal iaitu kira-kira dua bulan sebelum majlis. Buatlah mesyuarat untuk membahagikan tugas penting seperti memotong bawang, sayur-sayuran, dan juga membersihkan bahan mentah yang lain. Cara lain, boleh juga tuliskan di dalam kad jemputan semasa anda mengedarkannya.
♥ Lebih puas jika masak sendiri
Ada kalanya, ibu bapa kita lebih gemar meminta pertolongan saudara-mara atau sahabatnya sendiri yang sudah berpengalaman untuk memasak di majlis perkahwinan. Oleh yang demikian, untuk menjimatkan kos memasak lauk-pauk ini, anda boleh mengesyorkannya kepada saudara atau sahabat yang sudi untuk memasak di majlis perkahwinan anda nanti. Namun, jangan pula
anda kedekut untuk memberikan sedikit sagu hati kepada tukang masak dan juga pembantunya. Memadai jika anda memberikan RM300- RM400 kepada mereka.
♥ Halaman rumah untuk kanopi
Menyewa dewan atau hotel untuk mengadakan majlis perkahwinan sememangnya menelan belanja yang banyak. Dengan kos sewaan yang mahal, pastinya akan memerlukan kos yang besar untuk majlis perkahwinan. Oleh itu, gunakan ruang halaman rumah anda sendiri untuk memasang kanopi. Kos yang diperlukan adalah lebih murah berbanding menyewa hotel ataupun dewan. Sekiranya anda tinggal di kampung, hal ini lebih memudahkan diri anda dan juga yang lain. Halaman yang luas sudah cukup untuk membuatkan perkahwinan impian anda sesuatu yang sukar dilupakan. Namun, jika anda yang tinggal di kawasan perumahan terancang seperti taman ataupun rumah pangsa, buatlah surat kepada majlis daerah di tempat tinggal anda bagi meminta kebenaran menggunakan jalan di hadapan kediaman sebagai tempat untuk memasang kanopi.
♥ Tidak perlu sewa kanopi yang banyak
Kanopi sangat penting tidak kiralah jika anda membuat majlis perkahwinan di mana-mana pun selain dewan ataupun hotel. Oleh yang demikian, tidak perlulah menyewa kanopi yang terlalu banyak jika anda mahu menjimatkan kos perbelanjaan perkahwinan. Memadai jika anda hanya menggunakan tiga hingga empat kanopi sahaja memandangkan tetamu yang hadir bukanlah secara serentak. Kebiasaannya, tetamu yang hadir adalah pada jam 12 tengah hari sehingga 2 petang dan waktu itulah antara waktu kemuncak. Selepas jam itu, tetamu akan berkurangan dan sangat merugikan jika anda menyewa sehingga sepuluh kanopi khusus buat tetamu yang hadir.
♥ Gunakan jurugambar yang sedia ada
Memang benar, perkahwinan adalah sekali seumur hidup dan anda pastinya ingin merakamkan saat-saat terindah bersama-sama dengan si dia tatkala hari bersejarah. Namun, harus diingat, sama ada anda menggunakan perkhidmatan yang mahal mahupun yang murah, kualiti gambar yang diinginkan tetap sama. Jika anda tidak mempunyai kos yang banyak untuk perkhidmatan fotografi, tidak ada salahnya jika anda menyuruh saudara mara atau adik-beradik yang lain mengambil gambar dengan menggunakan kamera sendiri. Selepas itu, bolehlah ‘dicuci’ di kedai-kedai gambar dengan harga yang lebih murah. Terdapat pelbagai cara untuk anda menjimatkan kos perbelanjaan bagi majlis perkahwinan anda. Jangan jadikan alasan ‘perkahwinan sekali seumur hidup’ atau ‘biar papa asal bergaya’ semata-mata untuk merealisasikan perkahwinan yang diimpikan. Nyata sekali, terdapat banyak lagi kegunaan yang lebih diperlukan selepas berumah tangga. Oleh yang demikian, ‘ukur baju di badan sendiri’ supaya anda tidak menyesal di kemudian hari.
No comments:
Post a Comment