SAYA sudah berkahwin dan mempunyai kumpulan darah B+, suami pula daripada kumpulan darah 0-. Adakah saya mempunyai risiko apabila hamil dan kesannya kepada kandungan kelak?
WATINA
Kuala Lumpur
BERLAINAN kumpulan darah (sama ada A, B, AB ataupun O) antara pasangan tidak memberi kesan kepada kesihatan kandungan.
Sebaliknya, berlainan jenis Rhesus boleh memberi kesan.
Terdapat pelbagai jenis antigen Rhesus, yang paling kerap adalah jenis ‘D’ dan ini dinyatakan dalam keputusan kumpulan darah seseorang sebagai ‘+’ ataupun ‘-’.
Contohnya seperti anda, kumpulan darah B+ bermakna kumpulan darah anda B dan Rhesus D anda adalah ‘+’.
Secara prinsip:
Jenis Rhesus ibu hamil yang lebih penting, bukannya jenis Rhesus suami. Masalah hanya berlaku sekiranya ibu hamil mempunyai jenis Rhesus D ‘-’ dan janin pula mempunyai jenis Rhesus D ‘+’ (kebarangkalian ini boleh diwarisi sekiranya suami mempunyai jenis Rhesus ‘+’).
Anda mempunyai jenis Rhesus ‘+’ jadi isu atau masalah tidak timbul.
Ibu hamil yang mempunyai jenis Rhesus ‘-’ ini (bukan anda) memerlukan penjagaan atau rawatan tambahan bagi mengelakkan terbentuknya antibodi terhadap Rhesus D di dalam darahnya yang akan menentang atau memusnahkan sel darah janin Rhesus ‘+’ dalam kehamilan seterusnya.
Antibodi terhadap Rhesus D ini (darah janin) boleh terbentuk disebabkan percampuran darah janin Rhesus ‘+’ ke dalam sistem aliran ibu sewaktu kelahiran, pendarahan kehamilan, pendarahan keguguran dan seumpamanya.
Jika bapa janin juga mempunyai jenis Rhesus ‘-’, isu ini tidak timbul kerana janin tetap mewarisi jenis Rhesus ‘-’ (antibodi tidak terbentuk).
Bayi yang lahir daripada kehamilan pertama lazimnya tidak akan me-ngalami masalah walaupun jenis Rhesusnya ‘+’ kerana antibodi ini belum terbentuk. Hanya kandungan seterusnya saja yang berisiko, itupun jika janin mempunyai jenis Rhesus ‘+’.
Kesimpulannya, masalah hanya boleh timbul sekiranya ibu hamil mempunyai jenis Rhesus ‘-’ dan bapa sebaliknya mempunyai jenis Rhesus ‘+’ kerana ada kebarangkalian janin mempunyai jenis Rhesus ‘+’.
No comments:
Post a Comment