TELUK INTAN: “Saya boleh menjaga estet yang luas tetapi tidak mampu menjaga anak sendiri,” begitu kata K Murali, 43, bapa kepada M Divya, 16, mangsa rogol dan bunuh yang ditemui dalam parit di sebuah ladang sawit berdekatan rumahnya di Ladang Rubana di sini, kelmarin.
Murali yang juga ketua pengawal keselamatan di Ladang Rubana meluahkan kekesalan itu selepas ditemui pada upacara membakar mayat anak gadisnya itu di sini, semalam.
Mayat Divya ditemui orang awam kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin dalam keadaan bogel dan tertiarap di sebuah parit di ladang berkenaan selepas mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas turun dari bas petang Jumaat lalu.
Menurutnya, dia berharap pembunuh anaknya itu segera ditahan dan dihukum setimpal dengan perbuatan kejam dilakukannya.
Katanya, mendiang anaknya begitu rapat dengannya dan seorang anak yang baik serta tidak banyak kerenah selain rajin membantu isterinya, P Letchumany, 35, membuat kerja rumah.
“Mayat Divya dibawa pulang ke rumah di Ladang Rubana semalam (kelmarin) selepas dibedah siasat di Hospital Teluk Intan (HTI),” katanya, semalam.
Usaha wartawan Harian Metro menemuramah Letchumany gagal apabila dia enggan kerana terlalu sedih atas kematian anaknya itu.
Sementara itu, Ketua MIC cawangan Ladang Rubana, K Damondran berkata, kejadian pembunuhan itu kali pertama berlaku di ladang itu.
“Saya tinggal di ladang ini sudah 40 tahun tanpa sebarang kejadian jenayah hingga berita mengejutkan itu berlaku semalam (kelmarin).
“Perbuatan itu kejam dan pihak yang melakukan pembunuhan itu perlu segera dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di sini, semalam.
Selain itu, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Dr Wan Norashikin Wan Noordin turut menghantar ucapan takziah dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di HTI mendapati, mangsa dirogol terlebih dulu sebelum mukanya dibenamkan ke tanah menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia.
“Mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya dibenamkan ke tanah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang membunuh mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Asisten Superintendan Shamsudin Mamat di talian 019-4231500 atau balai polis berhampiran.
No comments:
Post a Comment