Sesat? Bagaimana ini boleh terjadi?
Peta ke lokasi perkahwinan sudah pun dilukis dan dicetak untuk diletakkan pada kad undangan. Hal ini bertujuan untuk memudahkan tetamu yang bakal hadir ke majlis perkahwinan anda. Di mana jua majlis akan diadakan, pastinya peta ke lokasi sudah pun dilampirkan. Namun, ada juga sesetengah tetamu yang pastinya akan sesat walaupun sudah berpandukan pada peta yang diberi. Para tetamu yang hadir, sesat dek kerana peta lokasi yang kabur dan tiada informasi yang betul. Hal ini pernah terjadi tatkala kad undangan siap dicetak. Tatkala membelek kad undangan yang sudah siap, tiba-tiba mata tertumpu pada peta lokasi. Terdapat beberapa kesalahan yang ditunjukkan pada peta lokasi. Hati terasa ingin marah, namun, apakan daya. Semuanya sudah terlambat. Jalan penyelesaiannya pula apa?
Setiap kali tibanya ‘musim’ orang berkahwin, pernahkah anda melihat tiang-tiang lampu di tepi jalan penuh dengan papan tanda dan bunga manggar? Oleh yang demikian, itulah jalan penyelesaiannya. Letakkan papan tanda arah untuk ke rumah atau lokasi perkahwinan anda. Buat dan letakkan papan tanda ini sekurang-kurangnya 2 km sebelum tibanya ke lokasi perkahwinan anda. Oleh itu, dengan penunjuk arah yang betul, maka tetamu yang akan hadir pastinya melihat papan tanda itu dan selamat sampai ke lokasi perkahwinan anda tanpa sesat.
♥ Penunjuk arah perlu ada maklumat
Penunjuk arah dengan kertas kosong di samping beberapa penunjuk arah yang lain, pastinya mengelirukan tetamu yang akan hadir nanti. Jadi, maklumat yang akan diletakkan pada penunjuk arah tersebut perlulah betul dan tepat supaya tetamu tidak keliru atau bingung. Antara maklumat yang diperlukan ialah nama pengantin, nama ibu bapa, dan juga tarikh majlis berlangsung. Kadang-kala, ada pengantin yang hanya meletakkan nama mereka sahaja dan bukan disertakan nama ibu bapa. Harus diingat, tetamu yang hadir nanti bukan sahaja daripada kalangan teman anda, malah teman-teman ibu bapa anda. Jadi, mungkin ada antara tetamu yang hadir nanti tidak mengenali anda, namun mengenali ibu bapa anda. Oleh itu, jangan lupa sertakan sekali nama ibu bapa anda pada penunjuk arah!
♥ Penunjuk arah lain daripada yang lain
Tatkala tibanya ‘musim’ orang berkahwin, lebih-lebih lagi di kawasan perumahan yang sama, pasti banyak penunjuk arah yang akan ditampal atau dipacakkan di tiang-tiang lampu. Oleh yang demikian, buatlah penunjuk arah yang agak berbeza daripada yang lain. Caranya, cetak penunjuk arah dengan warna yang berlainan seperti kuning, merah, biru, dan sebagainya. Jika anda buat pilihan untuk menggunakan kertas berwarna putih, buatlah corak yang sepadan dengan corak yang terdapat pada kad undangan anda. Jika ada tetamu yang terlupa untuk membawa kad undangan mereka, pastinya mereka akan ingat majlis yang akan dihadiri jika terlihat corak yang sepadan pada penunjuk arah anda itu.
♥ Sediakan payung sebelum hujan
Hujan yang turun pastinya sedikit sebanyak mengganggu perjalanan majlis yang bakal dilangsungkan. Begitu juga dengan penunjuk arah. Hari yang hujan akan merosakkan penunjuk arah yang dilakukan. Oleh itu, buatlah penunjuk arah yang disertakan dengan plastik atau dikenali sebagai ‘laminate’. Dengan ini, jika hujan turun dengan lebat sekalipun, penunjuk arah yang telah anda buat itu pastinya tidak akan terjejas dan tetamu masih lagi boleh nampak dengan jelas arah ke lokasi majlis perkahwinan.
♥ Tulisan dan penunjuk arah beri kesan
Tulisan dan penunjuk arah memainkan peranan yang sangat penting. Buatlah tulisan dan penunjuk arah iaitu kiri dan kanan yang agak besar saiznya supaya tetamu boleh melihatnya dari jauh. Jika tulisannya kecil, pasti mereka akan berasa sedikit sukar untuk melihatnya sambil memandu kereta. Selain itu, pilihlah warna yang kontras dengan kertas agar mereka dapat menilainya sebelum menuju ke arah tersebut.
♥ Letaklah di tempat yang betul
Ada sebahagian daripada bakal pengantin meletakkan penunjuk arah sesuka hati tanpa memikirkan haluan yang betul. Bagi memudahkan tetamu, letaklah penunjuk arah sebelum memasuki simpang atau beberapa meter sebelum tiba di simpang yang sepatutnya mereka masuk. Dengan cara ini, mereka boleh bersedia daripada awal sebelum memasuki simpang dengan memberi isyarat sama ada ingin memasuki simpang ke kiri atau ke kanan.
sumber : pengantin
No comments:
Post a Comment