KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan hanya mampu mengerang kesakitan sambil melihat anak gadis dan isterinya ditumbuk serta ditendang bertubi-tubi oleh sekumpulan samseng miang yang berang kerana gagal menggoda anak gadis mangsa, kelmarin.
Kumpulan empat suspek terbabit bertindak demikian selepas tidak berpuas hati dimarahi ahli perniagaan itu minggu lalu kerana insiden cuba menggoda anak gadisnya dengan mendakwa anak mangsa menawarkan perkhidmatan seks sebagai pelacur.
Menurutnya sumber, gadis terbabit yang berasa terhina kemudian mengadu perkara itu kepada ibu dan bapanya sebelum suspek dihalau dari kawasan terbabit.
“Kejadian yang berlaku kira-kira seminggu lalu menyebabkan kumpulan penjenayah yang masih tidak berpuas hati merancang untuk membalas dengan menyerang keluarga mangsa kira-kira jam 5.15 petang kelmarin,” katanya.
Difahamkan ketika kejadian kelmarin, mangsa sekeluarga sedang berada di sebuah restoran di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, sambil menikmati minum petang.
Menurutnya, keempat-empat suspek kemudian terus menyerang mangsa dengan bertindak menghentam kepala mangsa menggunakan botol arak.
“Suspek turut bertindak menggunakan botol terbabit untuk memukul tangan kiri mangsa berulang kali hingga lebam. Pada masa sama, salah seorang suspek turut menumbuk muka anak gadis mangsa hingga terjatuh.
“Isteri mangsa yang cuba untuk membantu meleraikan kejadian itu turut ditumbuk oleh salah seorang lagi suspek selain ditendang pada perutnya beberapa kali,” katanya.
Pada masa sama, orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum anggota kereta peronda polis bergegas ke lokasi kejadian dan memberkas salah seorang suspek yang masih berada di lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini. Bagaimanapun polis masih memburu tiga lagi suspek berusia lingkungan 30-an itu. Sementara itu dalam satu lagi kejadian berasingan, seorang pengawal keselamatan kerugian wang tunai RM400 dan telefon bimbit selepas dirompak sekumpulan tiga lelaki ketika berada berhampiran Jalan Tun Tan Chin Lock, di sini.
No comments:
Post a Comment