CUKUP mengejutkan apabila kita membaca laporan media mengenai dua kanak-kanak yang baru berusia tujuh dan lapan tahun menjadi dalang serta mengatur strategi aktiviti pecah rumah membabitkan 26 rumah jiran di Blok D, Apartmen Fasa 4C Kuarters Kerajaan, Presint 8, Putrajaya, sejak enam bulan lalu.
Jelas, pembongkaran kes ini membawa kepada dua persoalan kritikal yang perlu kita fikirkan dan rungkai bersama demi menyelamatkan anak-anak kita terutamanya masa depan mereka.
Pertama, salah siapa sehingga mereka berdua dan mungkin ramai lagi di luar sana terbabit dalam aktiviti jenayah ini?
Kedua, apakah ini kumpulan anak-anak dan generasi masa depan yang boleh kita yakin, percaya dan menyerahkan amanah untuk terus memacu kegemilangan negara kita?
Ringkasnya, kedua-dua persoalan ini ada hubung kait yang jelas dan boleh dirungkai secara bersama andai kita dapat mengenal pasti punca utama kepada kejadian itu.
Seterusnya, kita perlu segera bertindak untuk mengambil tindakan pembetulan dan yang lebih penting tindakan pencegahan supaya kejadian seperti ini tidak berulang, sekali gus menyelamatkan anak-anak kita daripada terus hanyut dalam dunia jenayah yang belum pun mereka kenali sepenuhnya.
Dalam mencari siapa yang bersalah dalam hal ini, apakah kesalahan itu boleh diletakkan di bahu ibu bapa, masyarakat ataupun pihak sekolah?
Saya berpandangan, ketiga-tiga pihak ini ada bahagian masing-masing sebagai penyumbang dalam kes seperti ini.
Ini kerana adalah tidak logik dan wajar untuk kita menyalahkan budak yang baru berusia tujuh dan lapan tahun semata-mata.
Ibu bapa dilihat sebagai orang paling rapat dengan kanak-kanak ini dan di bahu mereka terletak tanggungjawab yang besar mendidik, menjaga dan membesarkan anak mereka.
Justeru, sebahagian besar daripada kesalahan ini memang wajar ditujukan kepada ibu bapa anak-anak ini.
Tambahan pula, dalam kes ini dilaporkan ibu bapa kanak-kanak itu tahu kegiatan anak mereka.
Maka, semua pihak tertanya-tanya apa tindakan pembetulan dan pencegahan yang dilaksanakan setelah menyedari kegiatan anak mereka?
Hanya ibu bapa mereka yang boleh memberikan jawapan kepada persoalan berkenaan.
Natijahnya, kecuaian dalam menjalankan tanggungjawab menjaga dan mengawasi tingkah laku anak-anak menyebabkan mereka bebas ponteng sekolah untuk melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti ini tanpa rasa segan dan takut.
Dalam pada itu, masyarakat juga ada peranannya dalam hal seperti ini di mana sikap tidak mahu ambil tahu dan mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling menyebabkan aktiviti seperti ini terus berleluasa.
Keprihatinan masyarakat dalam hal seperti ini sangat mustahak demi membendung gejala kurang sihat ini daripada terus merebak yang boleh menjadi wabak yang sukar dikawal dan diubati kelak.
Ini juga membuktikan perlunya kita meningkatkan tahap kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat supaya lebih prihatin dan peka dengan masalah sosial yang melanda persekitaran mereka.
Pada masa sama, keberanian kanak-kanak ini ponteng sekolah untuk melakukan aktiviti ini juga menimbulkan persoalan yang perlu dijelaskan pihak sekolah.
Apakah pihak sekolah pernah ataupun sudah memaklumkan kepada ibu bapa mengenai anak-anak yang selalu tidak hadir ke sekolah ataupun ponteng serta apa tindakan pembetulan dan pencegahan yang diambil oleh pihak sekolah apabila menyedari mereka sering ponteng?
Dalam isu ini, kita tiada niat untuk menyalahkan mana-mana pihak terutamanya sekolah, tetapi kita yakin perkara seperti ini tidak akan berlaku dan berleluasa andai sekurang-kurangnya salah satu pihak yang terbabit dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara berkesan.
Misalnya, jika ibu bapa menyedari tingkah laku anak-anak mereka dari awal lagi, ataupun penduduk setempat yang menyedari kelibat meragukan kedua-dua pelajar ini ataupun pihak sekolah dari awal lagi cuba memantau dan mengkaji ketidakhadiran mereka ke sekolah, kita percaya masalah ini dapat diatasi dan dibendung lebih awal lagi.
Justeru, marilah kita segera mengambil tindakan pembetulan untuk menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak ini dan juga kanak-kanak lain yang masih bebas serta sedang melakukan kegiatan seperti ini.
Seterusnya, apa yang lebih penting ialah kita perlu bergabung tenaga dan idea untuk melaksanakan apa saja tindakan pencegahan yang difikirkan perlu, wajar dan sesuai untuk mengekang lebih ramai lagi anak-anak kita dari terbabit dengan gejala tidak sihat seperti ini.
Adalah satu kerugian kepada negara jika generasi pelapis negara ini hilang punca dan hala tuju.
Apakah kita masih boleh dan berani meletakkan sandaran dan harapan di bahu mereka ini untuk terus memacu kecemerlangan negara kita?
Kita perlu sentiasa sedar bahawa kita sebenarnya kesuntukan masa di mana hanya tinggal sembilan tahun saja lagi untuk kita menuju sasaran negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.
Di samping itu, semua Program Transformasi kerajaan (GTP) juga perlu dipergiatkan dan dilaksanakan dengan segera.
Siapa yang boleh diharapkan untuk menjayakan semua ini andai generasi pelapis yang kita harapkan hanyut seperti ini?
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Perancangan Korporat Universiti Putra
Malaysia, Bangi, Selangor
No comments:
Post a Comment