Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Suami bapa ayam

KUALA LUMPUR: “Suami sepatutnya memegang peranan dan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak, bukannya bertindak sebagai bapa ayam.

“Isteri perlu dijaga, diberi perlindungan dan nafkah sewajarnya, bukan dijadikan barang gadaian suami,” kata perunding motivasi dan penceramah, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh.


Beliau berkata, suami tidak berhak menjadikan isteri sebagai alat komoditi untuk meraih keuntungan sebaliknya perlu dilindungi secara keseluruhannya.

“Dalam kes ini, suami terbabit bukan saja menjual isteri sebaliknya sudah memperdagangkan maruah wanita berkenaan.


“Tindakan itu mencerminkan perilaku suami sebagai manusia paling jijik dan kotor. Apapun, ini realiti berlaku apabila kemahuan seseorang manusia itu melebihi kemampuan.


“Manusia jenis ini sanggup menggunakan segala sumber yang ada termasuk menggadai isteri sendiri untuk membayar kemahuan diri,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai tindakan seorang suami durjana yang memaksa isteri melacur semata-mata ingin mendapatkan wang menjelaskan ansuran bulanan keretanya.


Menurut sumber, suami berusia lewat 20-an itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering memaksa isterinya menjual tubuh apabila kesempitan wang dengan dia bertindak sebagai bapa ayam mencari pelanggan.

Bagaimanapun, dalam kejadian terakhir kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, mangsa yang juga seorang wanita berusia 25 tahun sempat meloloskan diri daripada kawalan suaminya dan membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee, di sini.


Sementara itu, Naib Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Profesor Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata isteri tidak perlu tunduk pada kemahuan suami jika ia jelas bertentangan suruhan agama.


Ini kerana tindakan memaksa isteri melacur mendapatkan wang bukan lagi tergolong dalam penderaan fizikal atau mental, tapi jelas menunjukkan pengkhianatan serta penghinaan paling besar daripada suami.


Malah, isteri berhak bertindak kerana perbuatan keji itu bertentangan dengan peranan dan tanggungjawab suami sebagai pelindung serta pembimbing dalam institusi keluarga.


“Golongan wanita perlu ingat, kalau suami suruh melacur untuk meraih sumber kewangan, mereka boleh bertegas dan mempersoalkan hak sebagai isteri.


“Jangan pula duduk diam dan menyembunyikan tindakan suami kerana mahu menjadi isteri taat sedangkan itu alasan tidak wajar,” katanya.


Menurut Dr Harlina, seorang suami yang baik tidak akan tergamak menyuruh isterinya melacur biarpun terpaksa menjalani kehidupan sempit.


“Kejadian sebegini berlaku apabila pihak berkenaan hilang pegangan agama dan runtuh akhlak serta peribadinya sebagai pemimpin keluarga.


“Tidak kira apa juga pegangan seseorang, tiada agama menerima perlakuan hina seorang suami sanggup melacurkan isteri untuk wang,” katanya.


Beliau berkata, kaum isteri seharusnya bersikap peka dan berani bertindak sekiranya ditindas suami dari segi mental mahupun fizikal.


“Kita menggalakkan isteri menjadi seorang yang berilmu, tegas dan sentiasa mengetahui hak mereka bukan untuk bongkak terhadap suami, tapi cara itu sedikit sebanyak mampu mewujudkan sikap saling menghormati dalam keluarga.


“Paling penting, kita tidak mahu wanita terus menjadi mangsa penindasan suami gara-gara lemah dalam membuat keputusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment