KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur, Mohd Faizul Azri Zulkefli, 28, dipenjara setahun selepas mengaku bersalah menyamar polis dan memiliki pasport orang lain tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Isterinya, Fatimah Nur Hidayah A Ghafor, 25, pula tidak mengaku salah dan minta dibicarakan atas pertuduhan menyamar polis dalam pertuduhan yang dikemukakan berasingan di mahkamah sama.
Majistret Siti Faraziana Zainuddin menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Miky Dunstan Muda.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 13 Disember lalu kira-kira jam 6 petang di simpang lampu isyarat berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.
Mereka ditahan selepas mengaku penjawat awam dengan mengetahui mereka tidak memegang jawatan itu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan atau mencuba melakukan perbuatan atas kuasa jawatan itu yang disamarnya itu dan oleh itu mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Akhbar pada 14 Disember tahun lalu melaporkan pasangan terbabit yang mendakwa sebagai anggota polis dari Bukit Aman ditahan anggota polis ketika mereka melakukan ‘operasi khas’ memeras wang orang ramai.
Mereka ditahan selepas sepasukan anggota yang melihat gelagat pasangan terbabit mencurigakan kerana mereka memakai selipar ketika mengadakan ‘operasi’ menahan kenderaan di beberapa jalan di bandar raya ini.
Bagi kesalahan memiliki pasport pula, Mohd Faizul Azri didapati melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.30 petang pada hari dan tempat sama.
No comments:
Post a Comment