KUANTAN: Seorang suri rumah yang mencari lokan untuk dijadikan juadah makan malam bersama bubur lambuk meninggal dunia selepas dipercayai diserang penyakit jantung di Pantai Sepat, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu yang menimpa mangsa, Pauziah Awang Deraman, 50, yang tinggal di Kampung Kuala Penor, Jalan Pantai Sepat, di sini, hanya disedari anak perempuannya, Nor Shuhadah Mohd Zalamin, 16.
Mengimbas semula sebelum kejadian, Nor Shuhadah berkata, dia melihat ibunya pada kedudukan agak jauh bersama enam ahli keluarga lain yang turut serta mencari lokan di pantai berkenaan.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini, itu berkata, dia tidak melihat ibunya seperti dalam keadaan sakit, sebaliknya ghairah mencari lokan hingga dapat memenuhkan baldi.
Bagaimanapun, katanya, dia sempat melihat ibunya berdiri terlalu lama sebelum cuba membongkokkan semula badan untuk meneruskan mencari lokan, namun tidak lama kemudian arwah terus rebah dalam lumpur.
“Terkejut melihat ibu rebah, saya terus berlari ke arahnya dan mengangkat muka sebelum mencuci lumpur sambil cuba mengejutkannya, namun ibu sudah tidak sedarkan diri.
“Melihat keadaan semakin panik, saya terus pulang ke rumah dengan menunggang motosikal untuk memanggil ayah, Mohd Zalamin Ab Rahman, 51, kerana tidak membawa telefon bimbit manakala ibu dijaga saudara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Penor, Jalan Pantai Sepat, di sini.
Menurutnya, dia sempat mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah, namun tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan sebak apabila kehilangan ibu tercinta.
Katanya, pada pagi sebelum kejadian, arwah ibunya sempat menghias rumah dengan langsir baru biru sebelum berpakat bersama ahli keluarga untuk mencari lokan sebagai aktiviti hujung minggu.
Sementara itu, Mohd Zalamin berkata, dia terkejut selepas anak bongsunya itu pulang ke rumah dengan menunggang motosikal dalam keadaan sedih sebelum mengetahui cerita sebenar berhubung kejadian itu.
“Saya reda dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan aneh atau pelik sebelum meninggal dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment