Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

4 beranak hidup melarat

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Malaysia mendakwa hidup melarat bersama tiga anaknya kerana sering kebuluran, selepas berkahwin dengan suaminya di Desa Sumul Gayam, Lamongan, Jawa Timur, Indonesia.

Deritanya bertambah dengan tabiat suami pemabuk serta kaki perempuan.


Ketika dihubungi semalam Rohana Abdul Latip, 33, berkata, penderitaannya bermula kerana mengejar cinta seorang lelaki warga Indonesia yang dinikahi di tanah air, tanpa pengetahuan serta restu kedua-dua ibu bapanya.

Menurutnya, kerana cinta, dia sanggup menyeludup ke negara jiran menggunakan pasport palsu selepas suami dihantar pulang ke negara asal ekoran tiada permit sah.


Rohana berkata, dia dan suami dinikahkan imam berasal dari Madura di ibu negara hasil perancangan suaminya. Selepas beberapa bulan berkahwin, suaminya Hadi Karsin, 34, ditangkap pihak berkuasa sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.


“Saya nekad menyusul suami dan bantuan daripada rakan suami di sini yang mendapatkan pasport Indonesia palsu, saya ke kampung suami menaiki kapal terbang.

“Tetapi malang, hidup bahagia yang saya impikan berubah menjadi pengalaman pahit apabila suami menunjukkan sikap yang sebenar,” katanya ketika dihubungi di rumahnya di Lamongan.


Menurutnya, sejak dia menyeludup ke negara jiran itu pada 2002 hidupnya tidak pernah bahagia, kerana sikap suami yang dikenali sebagai seorang yang romantik serta rajin bekerja cumalah lakonan semata-mata, kerana sebenarnya dia seorang pemabuk dan kaki perempuan.

“Kalau saya seorang merana mungkin masih boleh bertahan lagi, tetapi saya tidak sanggup melihat tiga anak lelaki kami yang masih kecil turut sama menanggung penderitaan ini.


“Mereka selalu kebuluran kadang-kadang sampai dua hari tidak makan, kalau makan pun cuma nasi berlauk garam saja. Untung ada jiran yang simpati dengan nasib kami...tapi sampai bila kami harus terus begini.


“Saya sering berdoa agar suami berubah, namun sudah hampir 10 tahun dia tidak juga berubah, malah keadaan menjadi makin teruk. Mungkin inilah akibatnya jika berdosa kepada orang tua, saya menyesal dengan jalan yang saya pilih dan ingin pulang ke tanah air serta memohon ampun dengan mereka,” katanya.


Katanya lagi, sukar untuk dia pulang ke tanah air kerana memasuki negara itu secara salah dengan tidak mempunyai pasport yang sah dan jika mahu pulang ke Malaysia secara haram pula memerlukan sekitar 5 juta rupiah (RM1,690) seorang.


Sementara itu, bapanya, Abdul Latip Jamaludin, 55, yang ditemui di rumahnya di Kampung Gesir Ulu, Hulu Selangor berkata, dia sekeluarga terlalu rindu selepas hampir sepuluh tahun anak sulungnya itu menghilangkan diri ke negara jiran dan satu ketika pernah menyangka anaknya itu mungkin sudah mati akibat bencana tsunami yang berlaku beberapa tahun lalu.


“Kami bersyukur apabila baru-baru ini anak dapat berhubung dengan kami, namun rasa sedih selepas mengetahui penderitaan dihadapi.


“Tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana tiada wang membantu membawa pulang anak dan tiga cucu kami. Jika pun ada wang, saya tidak tahu bagaimana membawa mereka ke tanah air,” keluhnya.


Menurutnya, dia bekerja sebagai tukang kebun dan menoreh getah, dia berusaha pelbagai cara membawa mereka pulang termasuk menghantar wang RM3,000 sebelum ini, tetapi menurut anaknya duit berkenaan lebur ditipu tekong di sana.


“Kami sekeluarga mampu berdoa agar anak dan cucu berada dalam keadaan selamat serta ada pihak yang sanggup membantu untuk membawa mereka pulang ke tanah air,” katanya.

No comments:

Post a Comment