TAMPIN: Memilukan apabila sesi pertemuan sanak-saudara seorang mekanik bagi membincangkan persediaan hari pertunangannya bertukar ‘majlis berdarah’ apabila dia terkorban dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Tampin-Gemas, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 2 pagi hingga 6 pagi itu, mangsa, Amirulden Hussaini, 36, yang memandu Perodua Kancil bersendirian dalam perjalanan pulang selepas bersantai di sebuah gerai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Tampin-Seremban, dekat sini.
Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke tebing sebuah sungai di situ, menyebabkan Amirulden mengalami kecederaan dalaman yang teruk dan mati di tempat kejadian.
Ibu mangsa, Jamilah Mahat, 58, pada malam sebelum kejadian, anak lelakinya itu menemuinya dan memberitahu mahu membaiki keretanya yang didapati agak kurang selesa.
“Kira-kira jam 12 tengah malam, saya menghubungi telefon bimbit dia (Amirulden) yang memaklumkan akan pulang ke rumah. “Saya yang kepenatan tertidur dan mendapati dia masih tidak pulang apabila bangun, kira-kira jam 6.30 pagi hingga menyebabkan hati ini bimbang,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, semalam.
Menurut Jamilah, tanda tanya itu terjawab apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa Amirulden ditimpa kemalangan.
“Saya yang amat terkejut mendengar perkara itu segera pergi ke tempat kejadian sebelum mengetahui dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, dia amat sedih kerana mereka sekeluarga semalam sepatutnya mengadakan perbincangan untuk mengatur majlis pertunangan mangsa dengan gadis pilihannya yang berasal dari Kedah.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di kampungnya di Kampung Sri Repah, di sini, petang semalam.
sumber harian metro
No comments:
Post a Comment