KUALA LUMPUR: Walaupun Islam tidak menggalakkan perceraian, namun tidak juga sanggup membiarkan umatnya terseksa dan menderita semata-mata mahu mempertahankan sesebuah perkahwinan yang sedari awal sudah memperlihatkan kepincangan.
Pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah, (gambar) berkata syariat Islam menyebut perceraian sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah antara suami dan isteri, malah ia dibenarkan untuk memastikan wanita tidak dizalimi mental serta fizikal.
Bagaimanapun, katanya tidak bermakna apa saja masalah dihadapi pasangan berkahwin perlu diselesaikan dengan perpisahan, tetapi yang lebih utama adalah suami perlu memperlihatkan sifat tanggungjawab tinggi selaku pembimbing dan ketua keluarga.
“Kita tak boleh bangunkan perkahwinan hanya sebab anak semata-mata kerana perkahwinan perlu didasari niat yang jujur dan suami bertanggungjawab bukan ke atas individu (isteri dan anak) saja malah agama, dengan itu barulah hujungnya nampak reda Allah SWT.
“Malangnya, ketika ini banyak masalah rumah tangga disebabkan perkara ini; perkahwinan dipertahankan semata-mata kerana anak dan masalah makan bertahun lamanya hingga suami tidak akur lagi tanggungjawab, kemahuan dan keperluan isteri termasuk seks.
“Suami hari ini tak mampu menjadi pemimpin yang menawarkan jalan penyelesaian baik. Perkahwinan dibina tanpa ilmu, ego suami yang tak nak menceraikan isteri (walhal sudah nampak keretakan teruk) dan isteri dibiarkan bergantung tak bertali,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang isteri yang sudah dua tahun tinggal berasingan dengan suaminya, tergamak menghentak kepala lelaki itu dengan kuali hingga pengsan.
Kejadian menyebabkan mangsa berusia 45 tahun yang menghidap kencing manis dan darah tinggi tidak sedarkan diri hingga dibawa ke hospital selepas anak perempuan pasangan itu berusia 16 tahun menghubungi ambulans.
Wanita terbabit berusia 38 tahun itu dikatakan terdesak memukul suaminya berikutan pada masa sama seorang lelaki lain yang dipercayai teman lelakinya turut berada di dalam rumah dan tidak menyangka suaminya akan datang ke kediaman itu memandangkan mereka dalam proses bercerai. Mengulas itu, Dr Rubiah berkata, seorang isteri sangat sukar berlaku curang dengan suaminya melainkan si suami tidak bertanggungjawab, gagal memenuhi keperluan isteri, apatah lagi kedua-duanya tinggal berasingan selama berbulan-bulan lamanya.
“Dalam kes ini saya melihat perkahwinannya memang sukar untuk diselamatkan kerana ‘perpisahan’ sementara mereka menyebabkan kasih sayang kosong, tak ada lagi dan kedua-duanya saya rasakan tiada ilmu, saling menyalahkan satu sama lain dan tak jumpa penyelesaian,” katanya.
No comments:
Post a Comment