Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Berhenti kerja jaga isteri, anak terlantar

KUALA KEDAH: Pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul sesuai menggambarkan pengorbanan seorang suami dan bapa, Radzi Abdul, 58, yang sanggup berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan bagi menjaga isteri dan anak lelakinya yang terlantar di rumah mereka di Kampung Telok Talipon di sini, sejak Ogos lalu.

“Siapa lagi yang akan menjaga mereka berdua melainkan saya walaupun terpaksa berhenti kerja kerana hanya kami bertiga saja tinggal di rumah ini.


“Cuma baru-baru ini saya terpaksa meminta pertolongan anak lelaki di Terengganu pulang menjaga ibu dan adiknya untuk sementara waktu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Isterinya, Sabariah Shaari, 50, dikesan menghidap barah payudara dua tahun lalu menyebabkan payudara bahagian kanan dibuang sebelum dia lumpuh dari pinggang ke bawah akibat masalah tulang belakang tahun lalu.


Manakala anaknya, Mohd Nor Afifi Abd Aziz, 20, yang juga anak tiri terbabit kemalangan motosikal di Alor Setar pada 31 Ogos lalu.


Radzi berkata, akibat kemalangan itu, anak tirinya hilang daya penglihatan selain menghadapi kecacatan fizikal lain yang menghalang pergerakannya.

Menurutnya, walaupun isteri dan anaknya masing-masing mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tapi masih tidak mencukupi, tambahan pula dia kini tiada pendapatan.


Sabariah yang pernah bekerja kilang menerima pencen ilat sebanyak RM348 sebulan, manakala Mohd Nor Afifi mendapat bantaun bulanan JKM sebanyak RM300.

“Jumlah bantuan diterima ini tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang yang digunakan mereka berdua, malah anak lelaki saya ini hanya meminum susu sahaja yang berharga RM60 setin.


“Dalam sebulan untuk perbelanjaan lampin pakai buang sahaja melebihi RM300, tidak termasuk susu yang hanya bertahan kira-kira tujuh hari saja dan juga keperluan harian dalam rumah ini yang perlu diambil kira juga,” katanya.


Pada masa sama juga, Radzi mengharapkan ihsan orang ramai termasuk pemimpin masyarakat untuk membantu meringankan lagi bebanan ditanggung mereka sekeluarga.


“Saya juga tidak mahu isteri dan anak saya terus terlantar sahaja tanpa melihat pemandangan luar, jadi saya ingin memohon bantuan kerusi roda walaupun hanya satu. Sekurang-kurangnya mereka diberi peluang untuk menikmati keindahan dan menghirup udara segar di luar rumah ini,” katanya.


Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Radzi di talian 012-5979138.

No comments:

Post a Comment