APA yang berlaku kepada Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, terlalu kejam. Tiada kata-kata dapat menggambarkan setiap detik penuh sengsara ditempuhi remaja itu selama 22 hari terlantar di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 7 Januari lalu.
Gambar Nur Ain berkeadaan nazak dengan wajah membengkak teruk akibat dikakis asid durjana di wad unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pastinya meruntun hati setiap manusia yang ada rasa belas kasihan.
Dalam sekelip mata keremajaan, kewanitaan dan kenormalan Nur Ain diragut daripadanya. Akhir sekali nyawanya turut teragut akibat jenayah ganas yang dilakukan terhadapnya tanpa sekelumit rasa perikemanusiaan.
Malah, bukan satu, tetapi sebenarnya dua nyawa yang melayang dalam tragedi berkenaan.
Nur Ain yang sedang sarat mengandung enam bulan diserang dan ditikam, bukan sekali atau dua, tetapi 19 kali bertubi-tubi dalam kejadian yang berlaku di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, kira-kira jam 9.15 pagi, 16 Disember lalu.
Tak puas hati dengan kekejaman yang dilakukan, Nur Ain yang sedang menahan kesakitan akibat tusukan bertalu-talu itu disiram pula dengan cuka getah menyebabkan bahagian muka, badan, tangan serta kaki melecur teruk.
Serangan berkenaan menyebabkan bayi dalam kandungan Nur Ain mati akibat terkena pisau manakala remaja itu yang badannya terbakar 70 peratus koma.
Media massa melapor Nur Ain cuba diperhodoh dan dibunuh dengan cara yang keji itu kerana dia menolak cinta si penyerang berkenaan yang kemudian menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram sejurus kejadian.
Pada 3 Januari lalu, Habin Sulaiman, 42, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan cuba membunuh dan menyebabkan kecederaan parah ke atas Nur Ain.
Dia dikenakan dua pertuduhan. Pertama, cuba membunuh dengan sebilah pisau dan asid sehingga menyebabkan kecederaan parah yang boleh membawa kematian.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan kedua ialah menyebabkan Nur Ain cedera parah dengan menyerang menggunakan sebilah pisau dan asid. Ia dikenakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika disangkutkan kesalahan.
Habin mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Bagi kesalahan pertama, hakim menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun sementara bagi kesalahan kedua pula, Habin dijel 17 tahun serta lima sebatan. Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.
Kini dengan kematian Nur Ain, pastinya kesalahan Habin bukan lagi cubaan membunuh dan mengakibatkan kecederaan parah lagi, tetapi sebaliknya pertuduhan membunuh.
Sementara polis membuka semula fail kes Nur Ain dan pendakwa raya mengemukakan pertuduhan baru terhadap Habin, satu persoalan yang tidak dapat dielakkan ialah sama ada mahkamah di negara ini serius dalam mengadili kes serangan asid.
Seriuskah mahkamah? Dalam kes Nur Ain sendiri, hakim memilih untuk tidak menjatuhkan hukuman maksimum terhadap Habin sedangkan kekejaman yang dilakukan sememangnya amat dahsyat dan hakikat ini jelas apabila Nur Ain mati pada usia sedemikian muda beberapa hari selepas hukuman dijatuhkan.
Sedang hakim mempunyai alasan tersendiri terhadap penghakiman yang diputuskan namun setiap hukuman, terutama dalam jenayah kejam seperti serangan asid, seharusnya menjadi peringatan jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur dalam kes seumpama itu.
Berterus-terang, hakim seharusnya tidak menunjukkan sebarang ihsan kepada pelaku jenayah serangan asid kerana hakikatnya mangsa menderita sepanjang hayat dengan trauma dan luka yang sememangnya tidak boleh diubati!
Satu lagi penghakiman yang membuktikan ketidaktegasan mahkamah ialah kes seorang kelindan lori menyimbah cuka getah ke atas seorang gadis berusia 21 tahun juga kerana mangsa menolak cintanya.
Dalam kejadian itu, Nor Azni Mohd Ameerdin yang sepatutnya bertunang cedera parah di muka, leher, belakang badan, kedua-dua tangan dan kaki serta mata kiri dalam serangan yang berlaku di Taman Chendarawasih, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 17 Oktober tahun lalu.
Dalam keputusannya pada 28 Oktober, Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth hanya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan ke atas Mohd Shukri Mat Suib, 26, yang mengakui kesalahannya sedangkan Seksyen 326 memperuntukkan seksaan penjara 20 tahun selain denda atau sebatan.
Apa yang lebih menyedihkan ketika menjatuhkan hukuman, hakim menekankan fakta bahawa akibat serangan itu mangsa tidak berpeluang berkahwin dan Mohd Shukri sendiri tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan, tetapi gagal menterjemahkannya dalam bentuk hukuman lebih berat.
Tidak hairanlah Mohd Shukri masih sempat melemparkan senyuman panjang lebar apabila dibawa pergi dari mahkamah seolah-olah puas dengan jenayah yang dilakukannya!
Meskipun tiada perangkaan rasmi, namun berdasarkan laporan media massa, semakin ‘banyak’ serangan asid didedahkan sejak kebelakangan ini.
Sepanjang tahun lalu saja sebanyak lapan kes dilaporkan dengan majoriti mangsanya adalah wanita, sebagaimana trend di seluruh dunia, dan serangan dilakukan dengan pelbagai alasan termasuk isteri enggan melakukan hubungan sejenis!
Perkembangan menggusarkan itu seharusnya mengundang ketegasan cabang kehakiman negara bagi menghentikan kekejaman berkenaan atau sekurang-kurangnya mengekangnya daripada terus berleluasa.
Harus difahami serangan asid meninggalkan kesan yang amat dahysat kepada mangsa dari segi fizikal, mental, sosial dan kewangan.
Sejumlah kecil pun asid - sama ada jenis sulfurik atau nitrik - sudah memadai untuk mencairkan tisu kulit dan dalam kes ekstrem mengkakis sehingga mendedahkan tulang-temulang. Jadi, bayangkan seksaan yang dilalui mangsa apabila asid membakar kulit dan daging.
Memandangkan wajah sering menjadi sasaran utama serangan, ramai mangsa yang menjadi buta sementara hidung, kelopak mata dan cuping telinga mencair.
Dengan wajah yang hilang bentuk, mereka kekal cacat sampai bila-bila dengan peluang mendapat pekerjaan atau menjalani kehidupan berkeluarga amat tipis sekali.
Pembedahan plastik tidak banyak membantu, apatah lagi ia mahal dan di luar kemampuan kebanyakan mangsa.
Lebih teruk, setiap orang melihat mereka dengan rasa penuh ‘jijik’ meskipun secara luaran mungkin menunjukkan rasa simpati.
Dengan erti kata lain, mangsa serangan asid hidup dalam dunia yang terasing - dunia yang sukar difahami manusia normal. Dan mereka seharusnya diberikan keadilan yang seadil-adilnya.
No comments:
Post a Comment