SAYA mengambil pil hormon iaitu pil Mercilon sejak berumur 18 tahun kerana masalah haid yang tidak teratur dan pendarahan yang berterusan.
Setelah berjumpa pakar sakit puan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, dia mengesyorkan saya mengambil pil terbabit. Kini saya sudah berumur hampir 24 tahun dan sudah berkahwin.
Saya ingin bertanya, adakah saya akan mengalami masalah sukar hamil? September lalu adalah bulan terakhir saya mengambil pil terbabit dan saya merancang untuk menghentikan pengambilan pil berkenaan mulai Oktober.
Jika masalah haid saya kembali, adakah saya perlu mengambil pil berkenaan semula?
HUMAIRA
Kelantan
JENIS ubatan yang diberikan doktor mengambil kira keadaan semasa seseorang.
Anda diberikan ubat pil perancang kerana pil terbabit mengandungi hormon yang menyerupai hormon kitaran haid wanita, maka diharapkan pengambilannya akan membantu mengatur kembali kitaran haid anda.
Di samping itu, doktor juga lazimnya memeriksa punca masalah kitaran haid anda, sama ada ia berkaitan dengan gangguan pengeluaran telur (dinamakan anovulasi) ataupun masalah lain. Sekiranya ia disebabkan oleh anovulasi, tidak mustahil masalah ini masih ada dan memberi kesan kepada kesuburan anda, bukannya disebabkan oleh pil berkenaan.
Lazimnya kesuburan seseorang kembali kepada tahap asalnya sebelum menggunakan pil perancang dalam masa enam bulan berhenti, jarang ia berlanjutan selama setahun.
Pil terbabit pula tidak mengubati anovulasi, ia hanya menjadikan kitaran haid seseorang teratur. Tidak salah jika anda ingin mendapatkan pemeriksaan doktor mengenai tahap kesuburan anda.
No comments:
Post a Comment