Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Adat Istiadat Perkahwinan Orang Melayu Melaka

Adat Istiadat Perkahwinan Orang Melayu Melaka
Unsur-unsur kebudayaan dalam perkahwinan orang Melayu Melaka, berjalan berperingkat mengikut tertib dan menjadikan warisan adat resam ini sesuatu yang unik. Masyarakat di pinggir pantai Melaka mengamalkan unsur adat yang berlainan dengan masyarakat di bahagian barat. Begitu juga dengan masyarakat yang terletak berhampiran dan berdekatan dengan Negeri Sembilan. Berikut dihuraikan secara ringkas unsur-unsur adat dan resam dalam bidang tersebut mengikut peringkat ketertibannya.


Mencari Jodoh:

Terdapat dua cara digunakan bagi amalan dalam menentukan jodoh atau mencari jodoh iaitu berdasarkan kesanggupan kedua belah pihak lelaki dan perempuan. Kaedah pertama adalah pemilihan pihak lelaki itu sendiri dan kaedah keduanya melalui pilihan ibu bapanya.

Melalui kaedah pertama, pemilihan jodoh dicari sendiri oleh si teruna iaitu setelah menemui gadis pilihan hatinya, si teruna akan menyatakan hasrat kepada ibu bapanya. Kaedah kedua pula, pemilihan dibuat oleh ibu bapa si teruna setelah berkenan akan seseorang gadis yang dipilih untuk menjadi bakal menantunya dan diberitahu kepada anak terunanya. Kerap kali berlaku bakal menantu itu terdiri dari ahli keluarga seperti anak saudara atau yang bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan di samping terjaga harta benda dari jatuh ke tangan orang lain. Bagaimanapun, dalam hal ini, selalunya si ibu akan memerhatikan gelagat serta tingkah laku gadis itu untuk menentukan kesesuaian bakal menantunya.


Penentuan Jodoh:

Terdapat beberapa syarat dalam memilih gadis bakal menantu. Misalnya gadis itu mestilah mempunyai sifat yang baik dari segi agama, rupa paras yang cantik, berakhlak, banyak keturunan serta mempunyai kebijaksanaan dan kepandaian khususnya dalam mengurus rumahtangga.

Bagi bakal menantu lelaki pula, hendaklah mempunyai pelajaran agama yang tinggi, sifat yang sempurna, mempunyai kedudukan (harta benda) yang baik dan mempunyai pengetahuan yang baik mengenai ilmu rumahtangga.


Merisik:

Merisik ialah cara untuk mengetahui sama ada si gadis sudah berpunya atau belum. Rombongan merisik biasanya dibuat oleh saudara atau keluarga terdekat. Seandainya pihak atau keluarga gadis bersetuju, maka perundingan akan dibuat untuk menentukan hari pertunangan. Di sini sebentuk cincin belah rotan akan diberi sebagai tanda persetujuan.


Meminang:

Upacara meminang si gadis akan dibuat hanya setelah keluarga gadis itu memberi persetujuan. Kerja meminang dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak. Selalunya dijalan oleh ketua adat dan syarak. Sewaktu meminang, akan ditetapkan tarikh menghantar tanda. Lain-lain perkara yang dibincangkan ialah bersangkutan dengan hantaran belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Dengan berbuat demikian, tidak ada teruna lain akan masuk meminang gadis itu. Ini memberi peluang kepada sahabat handai serta kaum keluarga untuk bersiap sedia berderau (bersama-sama menjalankan tugas di hari perkahwinan nanti).


Hantar tanda:

Semasa upacara menghantar tanda, sebentuk cincin akan dihantar untuk disarungkan ke jari tunangannya. Adat menyampai dan menerima cincin dilakukan di rumah gadis tersebut. Pihak si gadis akan menyambut rombongan si teruna. Dalam menghantar cincin tanda ini, sering juga diiringi dengan sebahagian wang hantaran belanja. Walau bagaimanapun, ini terpulang kepada perjanjian kedua belah pihak. Biasanya upacara menghantar tanda ini dilangsungkan dengan kata-kata adat seperti 'helah lelaki hancur, helah perempuan ganda'. Sekiranya si teruna memutuskan pertunangan itu, cincin dan hantaran itu akan hilang dan jikalau si gadis pula yang menolak, maka terpaksa pihak gadis menggandakan pemulangan cincin tanda dan hantaran itu.


Hantaran Belanja:

Upacara hantar belanja dijalankan pada tarikh yang telah dipersetujui dan sekali lagi rombongan pihak lelaki datang ke rumah pihak perempuan. Kedua pihak itu selalunya diwakili oleh ketua kampung. Mereka akan saling bertukar hantaran serta iringan setelah kedua pihak menghuraikan janji dan menyelesaikan masalah yang bersangkutan. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk si gadis dan mengikut apa yang telah dijanjikan. Perjanjian biasanya dalam bentuk 'serba satu atau serba dua'. Serba satu bererti persalinan iringan itu setiap jenis dan digubah dalam pelbagai bentuk seperti bentuk itik, burung dan keris. Wang hantaran pula digubah biasanya dalam bentuk buah-buahan ataupun pokok bunga.

Sementara itu, iringan lain sering kali turut disertakan adalah bunga rampai, sirih junjung, pahar telur merah dan alat solek. Kesemua kelengkapan yang dibawa oleh rombongan pihak pengantin lelaki disampaikan ke rumah gadis itu. Apabila selesai upacara penerimaan di serambi, iaitu setelah diselesaikan oleh pihak lelaki, hantaran serta iringannya itu diedarkan ke dapur. Ini adalah untuk disaksikan oleh pihak perempuan. Bekas-bekas kosong itu kemudiannya diisikan dengan barang-barang balasan daripada pihak gadis, biasanya kuih-muih, nasi dan lauk-pauk yang akan dibawa pulang oleh rombongan itu untuk si teruna.


Menyerambi Bertunang:

Jika dijalankan upacara menghantar belanja pada siang hari, maka malamnya pula diadakan majlis 'menyerambi bertunang'. Adat ini dilakukan di serambi rumah. Wakil dari kedua belah pihak bergilir-gilir membaca doa dan marhaban.


Menjemput Tetamu:

Pihak ibu bapa pengantin lelaki akan menjemput orang-orang tua kampung untuk memberitahu majlis perkahwinan yang akan diadakan. Mereka akan membuat tepak sirih dan meminta sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumahnya untuk bersama-sama meraikan majlis itu. Majlis ini diadakan di rumah bakal pengantin dan segala tanggungjawab majlis akan ditentukan oleh mereka yang ada dalam majlis tersebut. Biasanya majlis kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.


Berinai Curi:

Majlis berinai curi diadakan pada waktu malam di rumah pengantin perempuan. Majlis ini bergantung kepada kesanggupan dan kemahuan pihak pengantin. Mulai malam tersebut, jari-jari dan tapak tangan serta keliling tapak kaki pengantin perempuan diinai. Selepas itu pengantin akan naik ke pelamin. Kemudian sanak saudara dan sahabat handai akan bergilir-gilir menginaikannya. Masa ini jugalah pihak pengantin lelaki atau keluarganya berpeluang melihat dari dekat wajah pengantin perempuan. Berinai curi biasanya diadakan sekurang-kurangnya satu malam tapi biasanya ia diadakan tiga malam.


Berinai Kecil:

Malam berikutnya majlis berinai kecil diadakan. Ianya disertai oleh pengantin lelaki. Tetapi pengantin lelaki berinai di serambi rumah sahaja. Sementara pengantin perempuan di ruang tengah rumah di atas pelamin. Majlis ini kadangkala dipanggil 'menyerambi kahwin'.


Berandam:

Keesokan harinya diadakan istiadat berandam di mana upacara memotong rambut di bahagian depan kepala dijalankan oleh tukang andam. Pengantin perempuan biasanya dicukur anak rambut di dahi serta di pelipisnya. Pengantin perempuan akan merasa perubahan wajahnya ditambah pula warna merah di jarinya selepas berandam. Upacara berandam dijalankan untuk persediaan pengantin lelaki pergi ke rumah pengantin perempuan untuk upacara berinai besar pada malamnya. Pada petang itu juga diadakan upacara mandi berhias. Biasanya upacara ini memerlukan sebiji kelapa muda ditebuk berbentuk pucuk rebung, beras basuh, sirih berkapur, gunting, kain putih, tepung tawar dan ikatan dua sepilih dan daun ribu-ribu.

Mandi Berhias:

Dijalankan ke atas kedua pasangan pengantin dan biasanya dibuat di serambi atau pelantar tengah berhadapan dengan pintu luar rumah didahului oleh pengantin lelaki dan diikuti oleh pengantin perempuan. Pengantin akan duduk menghala ke pintu luar dan di depannya disediakan dulang beras basuh serta tepung tawar. Sanak saudara dan waris akan menabur beras basuh dan menepung tawar pengantin itu.


Pernikahan:

Upacara akad nikah dijalankan pada malam selepas mandi berhias dan sebelum majlis berinai. Pakaian pengantin lelaki serba putih kecuali songkok dan kasut. Imam mewakili pengantin perempuan menjadi jurunikah. Selain dari itu juga disahkan hantaran dan lain-lain yang bersangkutan. Mas kahwin biasanya berbentuk wang tunai. Mas kahwin diwajibkan dan diserahkan kepada pengantin perempuan.


Berinai Besar:

Setelah selesai upacara akad nikah, majlis berinai besar dilakukan di atas pelamin dengan dimulai oleh pengantin lelaki. Ahli-ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu. Pengantin perempuan pula akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki dan berjalan sehingga selesai.

Hari Langsung:

Hari persandingan juga disebut hari langsung yang diadakan pada hari esoknya. Jamuan di rumah pengantin perempuan akan diadakan secara besar-besaran. Pengantin lelaki akan menuju ke rumah pengantin perempuan dengan diiringi dengan pukulan rebana dan sanak saudaranya untuk upacara persandingan.

Sirih Lat-lat:

Sirih lat-lat ialah gubahan pokok bunga daripada daun sirih yang dipegang oleh pengantin lelaki untuk diletakkan atas pangkuan pengantin perempuan apabila sampai di pelamin untuk bersanding.

Suap-suap:

Sebuah pahar telur merah dan nasi adab-adab disediakan di depan pelamin dan ianya berwarna kuning dan diperbuat daripada pulut. Ahli waris akan mengambil sekepal nasi adab-adab lalu diletakkan di tapak tangan pengantin lelaki dan disuapkan kepada pengantin perempuan dan sebaliknya.

Masuk ke Bilik Pengantin:

Jari kelingking pengantin lelaki yang sebelah kanan mencangkuk jari kelingking pengantin perempuan dan pengantin lelaki akan melangkah masuk ke bilik pengantin sambil memimpin pengantin perempuan.

Makan Damai:

Makanan disediakan di bilik pengantin di mana peneman-peneman pengantin lelaki turut bersama dan mereka akan dilayan oleh pengantin perempuan. Mak Andam merupakan orang utama di dalam majlis itu.

Makan Waris:

Pada malamnya pula, sekali lagi diadakan majlis makan yang dihadiri oleh waris dari kedua belah pihak. Di dalam majlis ini, besan dengan besan akan duduk bersama dan kedua pengantin akan berkenalan dengan waris dan sanak saudara dari kedua belah pihak.


Jemput Menantu:

Majlis ini diadakan untuk pengantin perempuan yang dijemput ke rumah pengantin lelaki berserta pengiring-pengiringnya. Rombongan pengantin perempuan tidak akan ke rumah bapa mertuanya selagi pengantin lelaki dan pengiring-pengiringnya tidak datang menjemput . Kedatangan pengantin lelaki digelar sebagai 'balik minum air'. Pengantin perempuan akan tidur semalaman di rumah pihak lelaki.


Malam Satu:

Setelah pengantin perempuan pulang ke rumahnya, pengantin lelaki akan tidur di rumah isterinya pula. Pengantin lelaki akan menyembahkan tepak sirih ketika menjelang subuh kepada bapa mertuanya. Perlakuan yang ditunjukkan oleh pengantin lelaki akan dapat diketahui sama ada pengantin perempuan itu masih dara atau tidak semasa dikahwini.


Membalas Tidur:

Bagi adat membalas tidur, pengantin perempuan buat kali keduanya akan tidur di rumah suaminya. Pengantin masih lagi memakai pakaian pengantin tetapi hanya sekadar pakaian 'kondeh' sahaja.

Dengan huraian yang dinyatakan, jelasnya bahasa masyarakat Melayu Melaka mempunyai adat istiadat perkahwinan tersendiri dan begitu unik sekali. Walau bagaimanapun, dewasa ini kebanyakan unsur-unsur adat yang dikira kurang penting tidak diamalkan oleh masyarakat Melayu Melaka.

Jika anda rasakan artikel ini bermanfaat dan berguna, kongsikan bersama rakan-rakan anda di Facebook dengan tekan butang biru like dibawah

No comments:

Post a Comment