Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Menyesal Bertunang

SOALAN
Saya adalah seorang eksekutif di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Saya bercinta dengan seorang lelaki sejak tamat persekolahan. Habis pengajian di universiti, kami bertunang atas restu keluarga.

Masalah saya, tiba-tiba saya rasa kurang yakin untuk berkahwin dengan tunang saya. Ini kerana dia belum lagi mendapat pekerjaan yang baik dan gajinya tidaklah seberapa. Dengan kata lain, pendapatan saya lebih banyak dan gajinya hanya cukup-cukup untuk menampung dirinya, walaupun dia juga lulusan ijazah.
Tarikh perkahwinan yang dirancang keluarga semakin hampir. Saya pula masih dalam keadaan yang tidak pasti.

Salahkah saya untuk berfikir mengenai wang dan harta? Saya tidak mahu apabila saya telah berkahwin nanti, saya akan merungut kerana lebih banyak belanja dan sebagainya. Saya selalu cemburu melihat orang lain yang mendapat pasangan yang lebih mewah dan kaya. Saya tiba-tiba rasa menyesal kerana tidak berfikir panjang sebelum bertunang dulu.


JAWAPAN

Assalamualaikum,

Memang di dalam Islam, seseorang itu digalakkan untuk mencari pasangan yang mempunyai sifat dan pendapatan yang baik, dalam menjamin keluarga yang akan dibentuk kelak tidak menghadapi sebarang masalah yang boleh merosakkan kebahagiaan rumahtangga.

Dalam situasi yang dihadapi, sepatutnya majlis pertunangan dilakukan sebaik sahaja kedua-dua mempelai telah stabil dalam kerjaya, kewangan malah bersedia dari segi mental dan fizikal. Jika benar-benar telah bersedia, maka tempoh pertunangan tidak perlulah terlalu lama. Mungkin anda juga pernah dengar bahawa tempoh pertunangan yang terlalu lama akan diuji dengan pelbagai masalah dan dugaan. Inilah dugaan yang terpaksa anda lalui.

Perlu saya ingatkan bahawa dugaan ini adalah bersifat sementara, jangan terlalu cepat melatah, kerana ini adalah ujian buat anda berdua. Dalam tempoh ini (tempoh pertunangan), anda perlu pupuk keyakinan yang utuh terhadap tunang anda, begitulah sebaliknya. Saya pasti anda dan tunang kenal hati budi masing-masing, berikutan anda berdua telah menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah. Demi menyelamatkan hubungan anda berdua, berbincanglah dan kenalpasti penyelesaiannya.


No comments:

Post a Comment