SOALAN:
Saya mempunyai teman lelaki dan kami merancang ingin mendirikan rumahtangga, tapi baru-baru ini saya mendapat tahu yang keluarganya tidak merestui hubungan kami disebabkan adanya orang ketiga dalam keluarganya. Ibu bapa teman lelaki ingin menjodohkannya dengan pilihan mereka. Saya benar-benar berasa sedih dan buntu tak tahu apa yang perlu dibuat. Tolonglah saya, berikan pendapat dan nasihat, untuk pengetahuan Bicara Hati, teman lelaki saya tidak mahu menurut kehendak keluarganya.
JAWAPAN:
Assalamualaikum,
Kewujudan orang ketiga dalam sesebuah perhubungan memang perit untuk dilalui. Lebih-lebih lagi orang ketiga itu mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarganya. Dalam situasi anda, didapati ia masih belum serius dan masih boleh diselamatkan. Tips di bawah mungkin boleh digunakan, bagi menyelamatkan hubungan anda berdua.
Pertama sekali jika benar teman lelaki anda benar-benar serius dan ingin menjadikan anda isterinya maka perlulah dia menerangkan kepada kedua orang tuanya serta orang ketiga tersebut, bahawa dia telah mempunyai pilihan sendiri dan ingin mengahwini anda.
Kedua, anda sebagai ‘bakal menantu’ perlulah berusaha untuk mengambil hati kedua orang tua teman lelaki anda. Contohnya, jika anda pandai menyulam, maka hadiahkan hasil sulaman anda itu kepada kedua ibu bapanya. Secara tidak langsung mereka akan mula menyayangi anda dan mengabaikan ‘hasutan’ orang ketiga.
Ketiga, anda berdua perlulah mengkaji mengapa wujudnya orang ketiga tersebut. Jika dapat dikenalpasti sebab kemunculan mereka, Insya-Allah anda akan dapat mengatasi masalah gangguan orang ketiga ini.
Ketiga-tiga perkara ini, mungkin akan memakan masa yang lama. Yang pasti anda berdua perlulah bersabar dan terus bersabar dalam mengharunginya.
No comments:
Post a Comment