SOALAN:
Saya mengandaikan satu keadaan. Seorang wanita yang hendak berkahwin menyedari yang dirinya hanyalah anak angkat. Mengeruhkan lagi keadaan, kad pengenalannya dibintikan atas nama datuknya sejak dari kecil. Syukurnya, dia telah menemui keluarganya yang sebenar. Bagaimanakah dia harus buat untuk memperbetulkan keadaan ini dan untuk berkahwin?
JAWAPAN:
Assalamualaikum,
Untuk melangsungkan perkahwinan, perkara yang paling asas adalah siapakah wali yang sah kepada wanita tersebut. Berdasarkan keadaan yang dikemukakan, wanita ini telahpun berjumpa dengan keluarganya yang sebenar, maka wali yang paling dekat dengannya adalah ayahnya sendiri ataupun adik-beradik lelakinya, serta bapa-bapa saudaranya. Jika tiada wali yang terdekat maka wali hakim adalah penyelesaiannya. Keluarga angkat wanita tersebut tidak sah sama sekali menjadi walinya.
Seperti keadaan di atas, berikutan nama wanita tersebut dibintikan kepada datuknya sejak kecil, maka perkahwinan tidak boleh dijalankan. Wanita tersebut perlu terlebih dahulu menukar namanya dan dibintikan kepada ayahnya yang sebenar.
Wanita tersebut perlulah berurusan di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara yang berdekatan, dan dapatkan borang bagi penukaran nama. Setelah proses itu selesai wanita tadi akan diminta menjalankan proses mengangkat sumpah di Mahkamah Sesyen (Bahagian Pesuruhjaya Sumpah). Sebaik sahaja tamat proses mengangkat sumpah ini, barulah wanita tadi boleh berkahwin.
Jika perkara ini telah diketahui (anak angkat dibintikan kepada datuknya), tetapi masih dijalankan majlis perkahwinan, dan diwalikan pula oleh ayah angkatnya, maka perkahwinan itu dianggap tidak sah dan kesemua mereka yang terlibat tergolong dalam golongan mereka yang bersubahat. Malah, perkahwinan wanita dengan lelaki tersebut adalah zina.
Jika seorang lelaki telah melangsungkan perkahwinan dengan wanita tersebut, dan baru dimaklumkan bahawa wanita itu anak angkat dan dibintikan kepada nama datuknya serta diwalikan oleh ayah angkatnya, maka perlulah mereka bercerai dan berkahwin semula, jika mereka ingin terus hidup bersama.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Wallahua’lam…
No comments:
Post a Comment