Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Panduan Cari Suami Soleh

SOALAN:

Saya seorang gadis kampung berusia 21 tahun; bekerja di sebuah kilang yang tidak jauh dari kampung. Sebagai seorang gadis yang ingin mendapat seorang suami yang baik dan agak terpelajar adalah satu perkara yang paling sukar. Lebih-lebih lagi saya bukan seorang terpelajar dan bukan pula dari keluarga ternama. Tuan doktor, berilah saya sedikit panduan untuk mencari jodoh seorang lelaki yang soleh/baik, terima kasih.


JAWAPAN:

Jodoh di tangan Tuhan; pilihan dan ikhtiar di tangan kita. Kalau seseorang itu bercita-cita mendapat seorang suami yang baik/soleh, maka niat yang baik itu, Insya Allah, Tuhan akan kabulkan. Tetapi satu perkara kita mesti ingat bahawa tidak ada sesuatu itu datang bergolek sendiri tanpa ikhtiar dan usaha yang bersungguh-sungguh. Dan usaha itu hendaklah dilakukan dengan panduan-panduan yang betul.

Kebanyakan anak muda mencari-cari jodoh dengan tidak ada panduan tertentu. Oleh itu, mereka sering terjebak ke dalam lapangan yang gelap, dan akhirnya menemui jalan buntu dan membuat pilihan yang salah.

Kita mesti ingat, bahawa antara hawa nafsu dan rasional adalah dua perkara yang berlainan. Kalau pilihan sesuatu perkara itu banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan kurang menggunakan pertimbangan akal/rasional, maka pilihan itu akan membawa padah yang buruk. Umpamanya, pilihan itu banyak berdasarkan cita buta daripada pertimbangan yang lain, maka perkahwinan akan menghadapi masalah lebih banyak dari kebahagiaan.

Pada asasnya, anak-anak muda masih belum mampu menilai sesuatu pilihan itu dengan rasional/akal fikiran yang mendalam, seperti melihat sesaorang calon itu dari sudut spiritual yang lekal dan asli bagi peribadi sesaorang. Apa yang saya maksud dengan nilai-nilai yang lebih hakiki dan lebih asli itu ialah tahap pelajaran, akhlak, iman dan istiqamah. Nilai-nilai ini merupakan perkara-perkara yang kurang difahami oleh anak-anak muda.

Maka oleh itu, pandangan dan panduan orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman adalah penting. Kerana pandangan dan panduan mereka adalah berasaskan dengan pengalaman dan pengetahuan, bukan hawa nafsu. Untuk perhatian Hana, berikut panduan-panduan adalah beberapa panduan umum dalam mencari jodoh yang soleh/baik:

1. Apakah bahan bacaan yang dibaca oleh calon itu?. (buku/majalah lucah atau pelajaran)
2. Dengan siapakah ia bergaul ? (dengan orang baik-baik atau pemuda-pemuda jahat)
3. Bagaimana dia menghabiskan waktu lapangnya ? (berpoya-poya atau belajar/membaca)
4. Apakah cita-cita hidupnya ? (mulia atau hanya angan-angan kosong)
5. Apakah tajuk perbualannya? (perkara-perkara baik atau mengarut)
6. Bagaimana keadaan ibubapanya ? (keluarga orang baik atau tidak)
7. Adakah ia seorang terpelajar atau tidak? (tidak semestinya ia berpelajaran tinggi tetapi sekurang-kurangnya cara dia berfikir bagai seorang terpelajar)
8. Adakah ia seorang yang mempunyai komitmen terhadap agama ? (lihat dari segi amalan, dan menunaikan kewajipan agamanya).

Kalau Hana dapat melihat sesaorang calon itu berdasarian panduan-panduan di atas, maka Hana akan menemui calon yang dicita-citakan. Jangan lupa, jangan malu bertanya dengan orang-orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Dengarlah nasihat dan pandangan mereka.

Ingatlah Hana, Allah berfirman dalam surah al-Nur ayat 26 yang bermaksud: "Wanita-wanita yang keji adalah untuk (jodoh) lelaki yang keji (jahat); dan lelaki keji untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik (salehah) adalah untuk lelaki-lelaki yang baik; dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik"


Doa dan salam hormat dari DR. SOBRI SALAMON.

No comments:

Post a Comment