MASJID TANAH: Seorang kanak-kanak lelaki menggelupur kesakitan kira-kira lima minit apabila sebahagian badannya terkena air panas daripada jag plastik yang tumpah ketika ibu bapanya sibuk menyiapkan hidangan makan malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada 17 Oktober lalu, Mohamad Heikal Denish Azizan, tiga tahun, cedera teruk pada perut, dada dan leher apabila air panas diletakkan di atas meja makan dipercayai terjatuh ke atasnya.
Bapanya, Azizan Jantan, 53, dari Kampung Solok Jauh, Pengkalan Balak, di sini, berkata sebelum kejadian dia berada di bahagian dapur membantu isterinya menyediakan hidangan makan malam dan anak bongsu daripada tiga beradik itu juga berada di dapur berkenaan.
Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi benda terjatuh disusuli jeritan Heikal menyebabkan dia menoleh ke belakang tanpa mengesyaki apa-apa sebelum terkejut mendapati anak lelakinya menggelupur kesakitan di atas lantai.
“Berikutan itu, saya segera mengambil air paip lalu menjirus perlahan-lahan ke atas dada Heikal bagi mengurangkan kesakitan dialami sebelum cuba menanggalkan baju dipakainya, namun pakaian berkenaan melekat pada kulitnya yang tertanggal.
“Saya ternampak daging kemerahan pada badan anak menyebabkan timbul rasa bimbang kerana dia menangis, dan pada masa sama menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan segera sebelum dibawa ke Hospital Kem Terendak untuk rawatan lanjut.
“Yang peliknya bekas air (jag plastik) mengandungi air panas itu memang saya letakkan agak jauh dari bucu meja, tetapi entah bila dia terlanggar pun saya tidak pasti,” katanya ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Juriah Karim, 43, berkata ketika kejadian berlaku dia langsung tidak menyedari sama ada anak bongsunya ada meminta sesuatu daripadanya kerana pendengarannya kurang jelas disebabkan sedang menggunakan mesin pengisar makanan.
“Ketika itu saya berada di dapur, manakala anak pula tengah makan daging goreng, tiba-tiba bekas air panas yang terletak atas meja tertumpah lalu mengenai dadanya sehinggakan daging yang sedang dipegang tercampak daripada genggaman tangannya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana air panas tidak mengenai mukanya sebaliknya terkena dada dan leher tetapi keadaannya agak stabil sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Menurutnya, di Hospital Kem Terendak, pegawai perubatan bertungkus-lumus merawat anaknya sebelum diarahkan rujuk ke Hospital Melaka dan ditahan di wad kanak-kanak untuk menerima rawatan pemulihan.
Katanya, pihak hospital mengesahkan anaknya 30 peratus melecur di bahagian dada dan bawah leher dan terpaksa mengambil masa agak lama untuk memulihkan kecederaan dialaminya.
“Sejak kejadian itu, Heikal bagaikan fobia dan kadang kala akan merengek apabila berasa sakit, tetapi kami sekeluarga menenangkannya. Kami kini lebih berhati-hati selain perlu memerhatikan setiap pergerakannya bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.
sumber : harian metro
No comments:
Post a Comment