Baru sembilan bulan mengecap nikmat alam perkahwinan namun seorang wanita menganggap dirinya berada dalam neraka dunia kerana bukan sekadar dikurung, malah hanya disajikan biskut kering, roti dan air kosong, manakala tubuhnya teruk dibelasah dengan wayar elektrik oleh suaminya.
Ketika mendedahkan perkara itu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Wati, 26, berkata, dia turut diugut dilacurkan suaminya yang juga kaki judi tegar tidak lama selepas mereka bernikah, September tahun lalu.
“Sepanjang berkahwin, saya sentiasa dikurung dan tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga termasuk ibu. Setiap kali suami kalah berjudi, saya perlu ‘menyerahkan’ badan untuk didera atau dilibas dengan wayar elektrik.
“Saya meraung dan menangis sekuat hati kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat libasan itu, tetapi suami semakin menggila, seluruh badan hinggakan paha, mata, betis cedera. Itulah azab yang saya lalui selama ini,” katanya, semalam.
Menurut Wati, kali terakhir dia menjadi mangsa belasahan suaminya yang dikenali sebagai Shahrul, 38, pada awal Jun lalu ketika berada di rumah sewa mereka di Segambut, Kuala Lumpur.
Katanya, pada petang itu, suami pulang dalam keadaan bingung akibat kalah judi dan Wati menegur tabiat buruk lelaki terbabit selain memintanya berubah.
“Namun, suami membelasah dan mendera saya menggunakan wayar elektrik. Selepas puas membelasah saya, dia ke bilik air untuk mandi.
“Berikutan tidak tahan didera, saya nekad lari lalu keluar sehelai sepinggang dari rumah dan menyembunyikan kunci kediaman, sebelum terus ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan polis.
“Sehingga kini sudah tiga laporan polis dibuat di balai berbeza berkaitan insiden itu,” katanya.
Menurut Wati, dia melarikan diri bersama ibunya ke beberapa lokasi berbeza, namun berjaya dijejaki lelaki terbabit yang berang dengan tindakannya itu.
Katanya, nombor pendaftaran kenderaannya turut disebarkan suami kepada kenalannya serta mendakwa dia (Wati) curang dan lari mengikut lelaki lain.
“Saya dan ibu kini hidup dalam ketakutan dan suami tidak putus-putus menghantar SMS berbaur ancaman.
“Saya hilang arah tuju dan tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini, saya tidak dapat bekerja bagi menampung kehidupan memandangkan kami terpaksa berpindah-randah untuk mengelak ancaman suami,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi semalam mengesahkan laporan yang dibuat mangsa.
No comments:
Post a Comment