Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label kekeluargaan. Show all posts

Ayat Lembut Hati Anak

APAKAH ayat al-Quran yang boleh diamalkan untuk melembutkan hati anak, terutama anak remaja yang semakin sukar dikawal?

Sejak akhir-akhir ini banyak berita memaparkan kisah anak remaja yang derhaka, lari dari rumah dan melawan cakap orang tua dengan terbabit dalam pelbagai gejala sosial.

Jawapan:

Anak remaja perlu didikan akhlak, emosi, rohani, jasmani serta intelektual. Bacaan al-Quran hanya memenuhi sebahagian daripada tuntutan rohaninya.

Bahagian-bahagian lain juga perlu mendapat pengisian. Tidak cukup sekadar doa semata-mata. Akhlak menjadi runtuh berpunca daripada makanan yang tidak halal. Ini memang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Awasi makanan anak supaya ia datang daripada sumber yang baik, insya-Allah akhlaknya akan menjadi baik juga.

Banyak ayat al-Quran yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk melembutkan hati anak mereka. Ayat untuk melembutkan hati ialah dari surah al-Hasyar ayat 21 dan juga surah Taha ayat satu hingga lima. Jika lari dari rumah, amalkan bacaan surah Yusuf.

Peringkat-peringkat Isteri

1. Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.


2. Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namaun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.


3. Isteri Solehin
Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Itulah dia golongan orang yang soleh.


4. Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.


Sikap, tindakannya, percakapannya selalu sahaja menyusahkan suaminya, membuat suaminya selalu serba salah dibuatnya. Berbagai-bagai kehendak diberi, berbagai-bagai kemahuannya terpaksa ditunaikan. Adakala pakaian terpaksa ditukar sebulan atau dua bulan sekali, asyik pergi shopping sahaja. Namun demikian tidak juga puas dan tidak juga merasa cukup. Macam-macam yang dia hendak. Akhirnya krisis rumahtangga tidak pernah berhenti, sentiasa bergolak, sentiasa bergelombang macam air laut yang tidak pernah berhenti-henti daripada bergelombang dan begelora. Lama-lama kelamaan bercerai juga. Kalau pun tidak bercerai kerana hendak menjaga air muka atau hendak menjaga nama baik atau tidak mahu anak porak peranda, tapi apalah ertinya rumahtangga yang begitu rupa. Dimanalah keindahannya lagi. Apalah bahagianya kalau gelombang dan gelora krisis tidak pernah rehat dan tenang. Apalah akan jadi kepada anak-anak melihat ibu bapa sentiasa macam kucing dengan anjing.


Semoga Allah menyatukan hati-hati kita, menjadikan kita saling mencintai kerana Dia; sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidzi Rasulullah saw bersabda:


"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada' iri hati kepada mereka. Ketika ditanya para sahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, saling bersahabat kerana Allah dan saling kunjung kerana Allah."


Terima kasih kepada penulis asal

Kebaikan merancang keluarga

SIBUK menguruskan anak yang berderet bilangannya, mungkin banyak perkara terlepas pandang. Rumah sudah tidak rapi seperti dulu. Berdandan untuk diri sendiri pun tidak sempat. Malah, waktu untuk suami mungkin terpaksa dikorbankan.


Apabila diajukan soal merancang keluarga, pelbagai pandangan timbul di kalangan pasangan suami isteri.


Ada yang menyamakannya dengan pembunuhan anak atau bertentangan dengan konsep qada dan qadar. Tidak kurang pula beranggapan merancang keluarga menafikan ketentuan Allah memberi rezeki serta berlawanan dengan konsep umat yang ramai.


“Hakikatnya, masyarakat harus berfikiran jauh dalam soal perancangan keluarga.


“Ia bukan perkara remeh malah dalam sesetengah keadaan, ia perlu dilakukan untuk mengembalikan keintiman suami isteri,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga Ketua Unit Merancang Keluarga Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Harlina Halijah Siraj.


Pada masa sama, ia mengelak isu anak terbiar yang boleh mendorong terjebak kepada gejala keruntuhan akhlak.


“Memang tiada kajian khusus dijalankan tetapi difahamkan kebanyakan anak-anak yang menghuni pusat pemulihan akhlak mengatakan diri mereka tidak diingini.


“Justeru, tak mustahil jika gejala anak terbiar berlaku kerana ibu bapa tak merancang bilangan anak menyebabkan mereka tiada persediaan untuk memiliki keluarga besar,” katanya.


Perancangan keluarga, menurutnya, adalah tanggung jawab ibu bapa yang bukan semata-mata untuk mengurangkan bilangan anak.


Perancangan keluarga adalah sebahagian perancangan hidup berkeluarga, merangkumi konsep menjarakkan kehamilan dan membantu pasangan yang sukar memperoleh cahaya mata.


Keupayaan membentuk keluarga ditunjangi lima perkara asas iaitu kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan emosi, kelapangan masa dan sokongan sosial.


Baik si isteri mahupun suami, perancangan keluarga dapat membantu meningkatkan hubungan suami isteri yang lebih berkualiti selain waktu untuk anak-anak dan diri sendiri.


Dari segi kesihatan, menjarakkan kehamilan membolehkan si ibu mempunyai masa untuk berehat.


Malah, ibu yang hamil lebih daripada lima kali banyak dikaitkan dengan kadar kepucatan yang tinggi semasa hamil, kadar kematian ibu yang lebih tinggi serta keadaan mental dan emosi yang tidak stabil.


“Untuk suami, menjarakkan kehamilan menjamin kemesraan suami isteri yang berkekalan serta membantu mereka membuat perancangan daripada aspek ekonomi dan pembangunan keluarga dengan lebih baik.


“Apabila bercakap mengenai hak anak, ramai menekankan sumber halal untuk membesarkan anak.


“Tetapi, hak anak cukup luas, termasuk untuk hidup, mendapatkan ketulenan baka, diberi nama yang baik, disediakan keperluan asas termasuk penyusuan ibu serta diasingkan tempat tidur.


“Anak juga berhak mendapatkan pendidikan agama yang sempurna, diberi pelajaran dan asas kemahiran hidup dan diberi layanan saksama,” katanya.


Menurutnya, selepas disemak secara menyeluruh, tidak ada nas dalam al-Quran yang melarang usaha menghalang kehamilan atau mengurangkan bilangan anak.


Seorang sahabat Nabi Muhammad (saw), Jabir meriwayatkan:


“Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman Rasulullah (saw). Baginda mengetahuinya namun baginda tidak melarang kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan al-azl termasuk Ali Abi Talib, Saad ibn Waqqas, Abu Ayyub Al-ansari, Abdullah bin Abbas dan Hassan ibn Ali.”


Beliau berkata, fatwa mengenai perancangan keluarga seperti dikemukakan ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh.


“Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Alasan lain termasuk keadaan kesihatan dan pembesaran anak.


“Dr Yusuf turut mengesahkan bahawa kaedah perancangan moden mempunyai tujuan serupa dengan coitus interruptus (membuang air mani di luar vagina) dan dari sudut perbandingan, ia dibolehkan,” katanya.


Dr Harlina berkata, pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi pengguguran memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.


Kaedah merancang keluarga juga pelbagai termasuk hormon menerusi penggunaan pil, suntikan dan pacakan (implan), alat dalam rahim, cara kiraan hari selamat, sterilisasi, membuang sperma di luar dan kondom.


Oleh Rahayu Mohd Salleh

Pentingnya hubungan kekeluargaan dipelihara

Sesungguhnya keimanan itu tidak boleh diwarisi dari seorang bapa kepada anaknya. Begitu juga kepada kaum kerabat serta mereka yang mempunyai tali persaudaraan dengannya.

Keimanan dan ketaqwaan merupakan hak individu dan ia akan dinilai oleh Allah SWT mengikut tahap pencapaian masing-masing. Orang yang beriman akan mendapat ganjaran pahala dan syurga sementara orang yang kufur akan mendapat azab siksaan Allah.

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan amat penting dalam hidup kita. Walau bagaimanapun, hubungan ini akan terputus di akhirat sekiranya terputus hubungan akidah di antara mereka.

Pada ketika ini kaum kerabat dan anak-anak mereka tidak akan berguna kepadanya kerana tali hubungan yang mengikat mereka telah terputus.Hanya tali akidah sahaja boleh mengikat mereka di sisi Allah.

Realitinya ketika di dunia lagi kita boleh perhatikan kerenggangan hubungan kekeluargaan ini sekiranya salah seorang mereka memutuskan hubungan akidah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala tindakan mereka dan niat yang tersembunyi di dalam hati-hati mereka.

Kesimpulan

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan yang teguh amat penting dalam kehidupan kita seharian. Walau bagaimanapun, hubungan ini boleh terputus sekiranya salah seorang daripadanya memutuskan hubungan akidah di antara mereka.

Sekiranya perkara ini terjadi,maka terpisahlah hubungan ibu, bapa, anak-anak serta kaum keluarga yang lain. Ini bermakna mereka tidak dapat mendatangkan apa-apa faedah yang boleh membantu antara satu sama lain ketika di akhirat kelak.

Justeru itu marilah kita bersama-sama saling bantu membantu dalam usaha memelihara akidah di kalangan anggota keluarga khususnya dan keseluruhan umat Islam amnya.