Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label hukum. Show all posts
Showing posts with label hukum. Show all posts

Mendirikan Masjid

Masjid adalah antara syiar Islam yang pertama diwujudkan. Justeru, sepanjang sejarah Islam, pembinaan masjid tidak pernah diabaikan oleh pemerintah, samada pada zaman Rasullah atau zaman pemerintahan Islam seterusnya.

Kedudukan masjid sebagai syiar Islam membawa erti yang lebih jauh daripada hanya sebagai tempat beribadat, masjid adalah tempat bermulanya segala kegiatan ummah. Di situlah mereka beribadat, mengadakan upacara pernikahan, kelas pendidikan, bermesyuarat, menganjur aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Oleh yang demikian masjid adalah tempat berlangsung kegiatan dunia dan akhirat. Di sinilah tempat tumpuan mukmin yang ingin mencari keredhaan Allah.

Begitu luas dan mantap konsep mendirikan masjid kerana ia adalah rumah Allah. Dari sini terbitnya phrasa 'Mendirikan Masjid' dihubungkan dengan konsep 'Membina rumahtangga' atau ringkasnya berkahwin atau bernikah secara sah.

Perkahwinan satu ibadah. Petikan daripada Buku bertajuk 'MUTIARA PERKAHWINAN' menjelaskan bahawa perkahwinan itu satu ibadah. Lelaki dan wanita berniat berkahwin kerana ingin menjaga kesucian diri daripada melakukan zina dan meramaikan jumlah umat Muhammad s.a.w dengan kelahiran anak-anak soleh yang akan menjadi pendakwah dan pejuang dijalan Allah. Perkahwinan juga adalah satu cara untuk memperbaiki akhlak dan budi pekerti. Ia cara yang berguna untuk menjaga kebahagiaan umat dari kerosakan daan kemerosotan akhlak.

Selain itu perkahwinan juga berguna untuk menjaga keselamatan individu daripada pengaruh kerosakan masyarakat kerana kecenderungan nafsu. Ini dapat dipenuhi melalui perkahwinan yang sah dan hubungan yang halal. Seseorang yang ingin berkahwin perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai perkahwinan termasuk sosial, emosi, perhubungan ummah, hukum, ilmu dunia dan akhirat demi kebahagiaan, kerukunan dan pembentukan keluarga Islam yang lebih baik, teratur dan sempurna mengikut lunas-lunas Hukum Islam.

Wanita Yang Menolak Perkahwinan

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antara sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Justeru itu ramai yang lebih rela menjadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan kerjaya masing-masing.

Kami akan menceritakan tentang kerugian yang dialami oleh wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak.

Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.

Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin.

Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.

Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Perkahwinan adalah satu ibadah

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama. Oleh itu ulamak telah menulis dan menjelaskan dengan panjang lebar dalam hal ini dalam kaya-karya mereka yang terdapat dalam pasaran.

Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.


Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang."

Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.

Dari sudut syara', hukum berkahwin itu terbagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri. Ia jadi wajib, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin. Ia jadi sunat, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang. Ia menjadi haram, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain. dan ia menjadi mubah, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nasfunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.

Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah. Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.


Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:

"Bahawa dua rekaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rekaat solat orang bujang".

Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.

Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.


Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya."


Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula."

Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat.

Dari: DR. SOBRI SALAMON, Dec. 28, 2002.