Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Siapa yang kelak menjadi Imam dan Makmumku?

















Berbalik pada topik kita kali ni, kenapa Jodoh itu menjadi Rahsia sehingga tiba harinya baru kita tahu. Yelah.. kita kan manusia.. seminit lagi pun kita tak tahu apa akan jadi, apatah lagi setahun, 2 tahun akan datang, kan?? Maka wujudlah sepotong kata2 yang bertulis begini 'Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan'. Dalam merancang jodoh kita di mulakan dengan sesi perkenalan, kemudian di teruskan dalam alam percintaan seterusnya di ikatkan dalam perkahwinan. Dalam tempoh perkenalan & percintaan, kadang - kadang mengambil masa yang lama untuk tiba ke alam perkahwinan. kerana hubungan cinta yang terjalin kadang2 sampai 10 tahun membuatkan kita merasa dia lah jodoh kita tapi apa yang berlaku pula sebaliknya.

Kita dengan yakinnya rasa, itulah jodoh kita. Itulah satu2nya insan yang kita akan jadikan pasangan hidup yang sah. Tapi banyak yang terjadi.. percintaan berakhir tanpa perkahwinan. Macam kisah sang lekit & kawan sang lekit ni.. kisah sang lekit paling lama dalam sejarah sang lekit pernah couple dengan ex-bf adalah 3 tahun tapi tak menjadi jugak. Last2 jumpa en hubby kenal tak sampai setahun, dah sampai pula jodoh dengan dia. Dulu ingat dengan yang couple lama2 mungkin jodoh kita.. Itulah yang di katakan.. Jodoh itu Rahsia Allah. Kalau bukan jodoh, ko bercinta 100 tahun pun tetap tak dapat kawen jugak.


Kisah kawan sang lekit yang baru je naik pelamin ni pun sama kisahnya.. perkenalan melalui IRC, bercinta rasanya lama jugak. Lebih 5 tahun kot.. (mengikut perkiraan sang lekit la) tapi dalam tahun ni tak silap dorang putus, & dalam tahun ni jugak sipolan tu bertemu jodoh dengan orang lain. Itulah namanya Jodoh itu Rahsia Allah. Tak terfikir kita perjalanan kisah tu macam tu, kan? Penyebab perpisahan cuma alasan sebab Allah ni bijak.. Takde satu pun benda di dunia ni di jadikan tanpa alasannya. Mungkin dari kesilapan manusia itu sendiri sehingga terjadinya perpisahan namun kita kena redha.. Perjalanan tu dah tertulis & ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, kan??

Siapapun jodoh kita, kita tak boleh hanya duduk menunggu & berserah sebab kita di tuntut berusaha, berdoa & Tawakal. Jodoh memang rahsia Allah.. tapi rahsia yang akan ada jawapannya juga cuma perlu sabar.

Doa Bertemu Jodoh ( Untuk Wanita )

Doa Pendekat Jodoh

Mengenali Jodoh Dalam Islam













Ramai muda-mudi sekarang bercinta namun tidak semua ke jinjang pelamin. Jangan percaya tentang ramalan cinta / ramalan jodoh di internet, televisyen ataupun cinta monyet (Cinta kanak-kanak di alam remaja). Ini kerana itu bukan jodoh yang sebenar-benarnya. Ada yang cuba mengkategorikan jodoh kepada 3 jenis iaitu:

1) JODOH DARI SYAITAN
iaitu lelaki dan perempuan yang berjalan berpegangan tangan dan menuju ke arah kemaksiatan. Apabila si perempuan tadi mengandung, barulah si lelaki tadi menikahi perempuan tersebut.

2) JODOH DARI JIN
iaitu lelaki yang menyukai seorang perempuan yang tidak menyukai dirinya, lalu dibomohkan dan disihirkan perempuan itu untuk setuju berkahwin dengan lelaki tadi.

3) JODOH DARI ALLAH
iaitu pandangan 2 pasang mata iaitu lelaki dan perempuan sehingga menusuk ke dalam jiwa. Lalu,lelaki itu pun masuk meminang perempuan tadi. Perempuan tadi menerimanya. Mereka bernikah dan bercinta selepas itu kerana cinta selepas kahwin adalah satu2nya cinta yang diredhai ALLAH. Bercinta sampai ke syurga. Itulah yang digelar "Syurga Cinta" tanpa berlakunya sebarang bentuk kemaksiatan.

Apa jua jenis cinta, ianya kuasa Allah. Mencari jodoh berdasarkan Islam Insya Allah akan membahagiakan hidup anda di dunia maupun akhirat.

Petunjuk istikharah tentukan jodoh

SEJAUH mana petanda atau petunjuk istikharah dalam menentukan jodoh terbaik? Bagaimanakah sekiranya saya meminta ibu melakukan solat hajat bagi mendapatkan petunjuk dan dia mendapat mimpi lelaki itu muncul, walhal lelaki itu baru memutuskan hubu�ngan kami setelah berkawan selama dua tahun?

INSAN KELIRU,
Kuala Lumpur

SOLAT istikharah sunat dilakukan bagi sesiapa yang berkeinginan kepada suatu yang harus dan dia menjadi keliru dalam menentu aspek kebaikan dalamnya kerana mempu�nyai pilihan yang sama.

Contohnya, saudari ingin memilih antara dua calon suami yang sama-sama baik sehingga tidak dapat menentukan pilihan. Begitu juga dengan perkara lain.

Solat istikharah tidak dilakukan kepada perkara yang wajib dan sunat serta bukan perkara haram dan makruh kerana sudah ada ketetapan tersendiri sama ada melakukannya atau meninggalkan (Sabiq I: 139-40).

Caranya amat mudah iaitu dengan melakukan solat sunat dua rakaat, iaitu bukan termasuk solat fardu. Ia cukup dengan solat rawatib selepas solat fardu atau tahiyyatul masjid dan boleh dilakukan tanpa mengira waktu de�ngan membaca mana ayat selepas fatihah.

Kemudian apabila selepas membaca doa seperti di bawah dengan permulaannya memuji Allah dan diikuti selawat atas Rasulullah dan dibaca doa khusus istikharah.

Rasulullah bermaksud: “Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan dengan sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (iaitu, mengerja�kan solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardu. Kemudian hendaklah dia berdoa:
Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau (iaitu memohon pilihan dan kebaikan daripada-Mu) dengan ilmu-Mu, dan aku memohon kurniaan kuasa dengan kuasa-Mu, dan aku juga memohon daripada kemurahan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersem�bunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesung�guhnya urusan ini adalah baik bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku, maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andai kata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku, maka hindarkanlah ia daripada�ku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagi�ku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.” (Riwayat Bukhari).

Mengenai petunjuk istikharah berkenaan, ia bukanlah secara langsung seperti mimpi dan sebagai�nya. Ia cukup sekadar ketetapan diri sendiri atau rasa senang dengan pilihan setelah berdoa kepada Allah supaya keputusan yang dibuat itu yang sebaiknya.

Semuanya sudah tentu datang selepas bersolat isitikharah dengan sepenuh ikhlas kepada Allah. Setelah itu terus saja melakukannya dan jangan ragu-ragu lagi.

Keputusan hendaklah dibuat supaya tidak timbul rasa was-was. Kita hendak�lah ingat bahawa was-was itu daripada syaitan. Sikap ragu-ragu yang menghalang tindakan seterusnya.

Solat hajat yang dilaku�kan ibu dan mimpinya pula, ia sebenarnya tidak mengikat tindakan anda. Ini kerana mimpi terbabit bukanlah sumber ilmu yang patut diikuti dalam Islam.

Gunakan akal dan penga�laman di samping minta nasihat daripada keluarga serta rakan mengenai jodoh dan perkahwinan. Mungkin mereka ada calon yang sesuai untuk anda.

Pekerja terbabit dokumen berunsur rasuah

SAYA kakitangan di sebuah syarikat separuh kerajaan. Ketua saya terbabit dalam rasuah bukan kewangan seperti percutian yang diberi pemegang lesen.

Walaupun dia menyatakan itu program lawatan kerjanya tetapi kami yang bekerja di situ tahu mengenai tujuannya. Dia membuat tuntutan tidak sepatutnya dan rakan saya yang bekerja sebagai setia-usaha terpaksa menyediakan dokumen berkenaan.

Saya pernah menunjukkan rasa kurang senang dengan perlakuannya itu tetapi dia menunjukkan rasa tidak bersalah. Apakah tindakan sewajarnya yang perlu kami lakukan? Adakah kami dianggap bersubahat kerana mengetahui tindakan salah yang dilakukan?

INGIN PENJELASAN,

Pahang



TINDAKAN yang sepatutnya dilakukan ialah melaporkan kepada pihak atasan atau pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana apabila dibiarkan sahaja pelakuan rasuah dan salah laku itu, kita dikira bersubahat sama dengan pelaku berkenaan. Pihak berwajib tentunya akan menyiasat dengan sebaiknya.

Sebenarnya rasuah ini sudah lama dalam sejarah manusia. Cuma ada yang kecil dan ada yang besar. Bagaimanapun, rasuah banyak mendatangkan keburukan bukan kepada individu malah kepada masyarakat dan negara.

Antaranya, ia menyebabkan berlaku kezaliman dalam pendapatan syarikat dan negara. Ia juga termasuk dalam memakan harta orang lain secara tidak betul (batil) yang dilarang Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (tidak halal) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 188).

Islam datang menyematkan nilai buruk kepada pemberi, penerima dan orang-orang yang bersubahat dengan rasuah. Antaranya Allah dan Rasulnya melaknat mereka, iaitu tiada keberkatan di dunia dan di akhirat nanti menerima seksaan Allah.

Islam menangani rasuah dengan cara berhemat supaya tidak berlaku tuduh menuduh dan sebagainya. Sebolehnya siasatan dijalankan dengan cermat dengan tidak mudah mendakwa tanpa bukti yang kukuh.

Ini kerana ia membabitkan maruah seseorang dan maruah badan yang diberi amanat untuk menyiasat perkara itu. Perkara ini dapat dipelajari daripada sirah Rasulullah s.a.w.

Baginda memberi nasihat dan nasihat yang baik sekiranya ada antara sahabat Baginda yang menjadi pegawai di sebuah kawasan tersalah ambil rasuah atau menerima hadiah dan sebagainya.

Kadang-kadang sikap kita yang mudah membuat tuduhan tanpa usul periksa dan laporan dibuat kepada SPRM bertujuan ugutan semata-mata tidak menyelesaikan masalah rasuah.

Pegawai Pencegah Rasuah juga perlu memastikan tindakan mereka juga benar-benar berkesan dengan menjalankan tanggungjawab supaya rasuah tidak berlaku.

Kadang-kadang tindakan pencegahan awal tidak dijalankan. Kita hanya menumpukan kepada tindakan selepas rasuah sudah berlaku. Dengan kata lain, pihak berwajib hendaklah memfokuskan kepada langkah pencegahan daripada tindakan selepas rasuah berlaku kerana kesan sudah terjadi.

Tindakan semata-mata dengan menghukum tidak berkesan tetapi kesedaran mengenai buruknya rasuah perlu disebar seluas mungkin.

Teguran dibalas maki

SAYA pernah menegur anak saudara yang tidak bertudung dan berpakaian tidak menutup aurat.

Namun teguran saya dibalas maki hamun serta saya difitnah dengan tuduhan tidak hormat mentua dan berperangai buruk oleh ibu bapa anak saudara saya. Mereka mempersendakan saya dengan mengatakan saya sebenarnya hanya berselindung di sebalik pakaian dan menuduh saya hipokrit. Sedangkan semua tuduhan mereka itu tidak betul sama sekali.

Saya dan keluarga mentua cukup bahagia. Bagaimana harus saya tangani masalah ini?

TERTEKAN

Melaka



SEBENARNYA anda sudah menjalankan tanggung�jawab untuk menyuruh perkara makruf dan melarang perkara mungkar.

Ia sebahagian tanggung�jawab umat Islam sebagaimana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar serta kamu pula beriman kepada Allah.

“Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang fasik.” (Surah Al ‘Imran ayat 109)

Usaha menegakkan makruf dan melarang kemungkaran tentu ada cabaran. Ini yang anda hadapi. Mungkin pendekatan kita yang tidak berhikmah menyebabkan berlaku salah faham.

Ini perlu disedari setiap kita. Seterusnya Islam mengajar supaya bersabar dalam berdakwah. Inilah sikap yang sepatutnya ada dalam diri anda iaitu sentiasa bersabar dan tenang.

Ini terkandung dalam pe�ngajaran dari Surah al-’Asr dalam al-Quran.

Alkohol dalam syampu, sabun

SAYA perhatikan banyak barangan seperti syampu, sabun mandi atau pencuci muka mengandungi alkohol. Adakah sah ibadah kita sekiranya menggunakan barangan terbabit?


NOR,

Pahang

SOALAN sama ada ibadah sah atau tidak sekiranya menggunakan bahan yang mengandungi alkohol seperti di atas berasal daripada kekeliruan mengenai alkohol itu sendiri. Ini kerana ada pendapat yang menyatakan ia sama dengan arak kerana dalam arak ada alkohol dan kadang-kadang arak juga dinamakan sebagai alkohol.

Apa yang jelas sekarang ialah arak diharamkan kerana unsur memabukkan. Mengenai bahan-bahan yang mempunyai alkohol seperti di atas, ia masih boleh digunakan dan sah untuk dibawa dalam ibadah kerana kuantitinya sedikit.

Ini kerana ia hanya memba-bitkan perkara kecil dan hukumnya dimaafkan. Bagaimanapun, bagi mereka yang masih ragu-ragu untuk menggunakan bahan berkenaan hendaklah dijauhi terutama ketika hendak menunaikan ibadah seperti solat.

Ini dapat menghilangkan rasa was-was dalam diri. Prinsipnya ialah perkara yang diragui hendaklah ditinggalkan sekiranya ia tidak menjejaskan kehidupan seharian.

Al-Quran dalam telefon bimbit hukumnya harus

SAYA ada kemusykilan mengenai aplikasi al-Quran di dalam telefon bimbit. Saya baru menggunakan telefon bimbit Samsung Galaxy dan ada memuat turun aplikasi al-Quran dari perisian Andriod Market.

Aplikasi al-Quran itu percuma. Adakah menjadi kesalahan jika saya meletak telefon saya di dalam poket seluar dan sering membawa telefon berkenaan ke dalam tandas?

ARIF
Selangor

HUKUMNYA adalah harus untuk mempunyai telefon bimbit yang mempunyai aplikasi al-Quran.

Bagi menjaga kesucian al-Quran, aplikasi al-Quran tidak dibuka ketika berada di tempat kotor seperti tandas.

Membawa telefon berkenaan bersama-sama ke dalam tandas dibenarkan apabila ia tidak dibuka atau diakses ketika itu. Ini kerana aplikasi al-Quran dikira tidak wujud ketika masa itu.

Kita boleh ibaratkan ia seperti seorang hafiz memasuki tandas, tidak menjadi kesalahan asalkan dia tidak membaca al-Quran dalam tandas kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kesucian al-Quran.

Terperangkap kekusutan cinta

SAYA berkenalan dengan seorang lelaki dan bercinta hampir tujuh tahun lamanya. Sepanjang percintaan, sudah beberapa kali hasrat kami untuk bertunang menemui kegagalan sehingga saya berkenalan pula dengan seorang lelaki yang bekerja di luar negara.

Selama setahun berkenalan, kami memutuskan untuk mengakhiri perkenalan kami itu dengan perkahwinan, tetapi kekasih lama saya memujuk saya untuk kembali kepadanya.

Tanpa sebarang keraguan, saya menerimanya dan memberitahu kepadanya saya berada di luar negara dan sudah pun dipinang orang.

Walhal, saya sebenarnya tidak dipinang lagi oleh sesiapa pun.

Jiwa saya benar-benar terganggu dan sedih kerana kekasih lama saya sehingga kini gagal lagi untuk menghantar rombongan untuk meminang saya.


Kini saya ingin kembali semula menjalin hubungan bersama kekasih yang berada di luar negara dan mengharapkan jodoh kami bertaut kembali.

Bantulah saya untuk meleraikan kekusutan diri ini.

INA
Kuala Lumpur




SAYA ingin menasihati anda supaya lebih berani dan tabah dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Antaranya dalam membuat keputusan mengenai teman hidup bagi mengharungi alam rumah tangga.

Banyak keputusan yang perlu dibuat dalam kehidupan. Anda sudah membuat beberapa keputusan penting seperti di atas.

Memandangkan anda belum lagi bertunang dan teman lelaki anda nampaknya tidak bersedia, anda boleh membuat keputusan untuk kembali menghubungi bekas teman lelaki yang berada luar negara dengan menyatakan niat untuk berumahtangga sekiranya dia sudi.

Tidak salah untuk berterus terang mengenai perkara hal rumah tangga ini. Walaupun bagaimanapun, janganlah diharap sangat penerimaannya.

Mungkin jodoh anda dengan orang lain. Bukalah hati untuk menerima jodoh yang lain.

Sebenarnya kita boleh merancang jodoh bagaimanapun yang menentukannya ialah Allah s.w.t. Begitu juga dengan anda.

Balasan dosa silam?

SAYA sudah berkahwin hampir empat tahun. Alhamdulillah, saya dianugerahkan dua anak dan seorang lagi bakal lahir bulan hadapan.

Masalahnya sekarang, sudah hampir setahun suami saya tidak bekerja.

Segala perbelanjaan dan keperluan saya yang tanggung. Saya hanya seorang kerani yang mempunyai pendapatan bersih cuma RM700 sebulan.

Apa yang buat saya berkecil hati walaupun dia tidak bekerja dan saya pula tengah sarat mengandung, suami saya jarang menolong saya menjaga anak jauh sekali menolong melakukan kerja rumah.

Sejak mengandung, dia memang sudah tidak bekerja.

Tiap-tiap malam keluar, hampir subuh baru dia balik. Keadaan itu berterusan sampai sekarang.

Saya mula rasa nak marah kerana penat menjaga anak seorang diri.

Setiap pagi saya terkejar-kejar menguruskan anak dan menghantarnya ke pusat jagaan. Suami saya langsung tidak menolong dengan alasan dia mengantuk dan penat kerana baru balik.

Saya tidak boleh menerima alasan itu dan saya sudah bercakap baik-baik kepadanya. Dia lebih mementingkan kawan-kawannya dari keluarga.

Saya cakap saya tidak kisah dia tidak bekerja sekiranya dia boleh menjaga anak.

Sekurang-kurangnya saya tidak perlu membayar ke pusat jagaan kanak-kanak sebanyak RM400 sebulan.

Saya juga mula rasa tawar hati dan tidak menjalankan tugas sebagai seorang isteri seperti memasak, tidak mencuci pakaiannya dan tidak menunaikan hajatnya kerana merasa begitu tertekan dengan sikapnya.

Saya bimbang apa yang saya lakukan ini dikategorikan sebagai isteri derhaka.
Tambahan lagi, dia selalu melengahkan solat dan sekarang hampir setiap hari dia meninggalkan solat Subuh.

Katanya selama ini dia bangun subuh sebab dia serabut dengar saya membebel.

Itu membuatkan saya makin tawar hati kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan solat sedangkan dia tidak.

Tetapi saya tahu itu adalah dosa antara dia dengan Allah sedangkan saya pula berdosa dengannya sebagai isteri. Sebenarnya apabila difikirkan itu mungkin hikmat dan ujian daripada Allah.

Mungkin itu satu balasan dosa silam kerana saya pernah melakukan maksiat dengannya sebelum kahwin. Tetapi kami tidak pernah terlanjur.

Saya juga pernah curang dengannya selepas bergelar isteri kerana saya tahu dia curang dengan saya.

Tetapi kami tidak pernah berzina. Sekiranya Allah turunkan ujian ini kerana dosa silam saya, saya reda asalkan saya mendapat pengampunan-Nya.

Apa yang patut saya lakukan? Saya sudah tidak mampu untuk menyara anak seorang diri dengan pendapatan yang kecil.

ISTERI BUNTU
Selangor



MASALAH anda berkisar kepada suami yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya sebagai suami.

Ia membabitkan nafkah zahir dan juga nafkah batin seperti kasih sayang.

Rumah tangga bahagia apabila tanggungjawab suami isteri sama-sama dipikul sehingga terbentuk keluarga bahagia. Perkara itu perlu diatasi segera kerana ia boleh membawa perpecahan rumah tangga dan perceraian.

Begitulah kemungkinan yang akan berlaku kepada rumah tangga anda apabila masing-masing membawa hal tuju sendiri.

Penyelesaian Islam ialah suami perlu kembali menjadi suami yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.

Setiap suami perlu sedar bahawa anak isteri adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dijaga dan dipikul. Kita semua akan ditanya di akhirat kelak. Itulah penyelesaian yang terbaik.

Bagaimanapun, sekiranya suami masih bersikap lepas tangan, anda boleh memilih untuk bersabar buat sementara dengan memberi suami peluang untuk berubah.

Contohnya, dengan memberi peluang kepada suami mencari pekerjaan yang baru bagi menampung keperluan rumah tangga.

Dengan itu, anda perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaiknya.

Jika tidak ia boleh dikategori sebagai nusyuz. Begitu juga maruah diri dan suami perlu dijaga agar tidak melanggar hukum Islam seperti pernah berlaku pada anda.

Anda juga sewajarnya bertaubat kepada Allah apabila terlanjur sedikit sebanyak. Itu sebenarnya kelemahan anak Adam yang banyak melakukan dosa dan kesalahan.

Hanya keampunan Allah dapat menghapuskan dosa itu. Selain itu, puan boleh mendapatkan bantuan keluarga sendiri seperti ibu bapa dan sanak saudara dalam meringan beban masalah.

Mereka boleh menjadi pendamai dalam menyelesaikan masalah sebegini. Seterusnya Islam membenarkan perpisahan antara suami isteri apabila salah seorang tidak mampu menjalankan tanggungjawab asasi iaitu memberi nafkah.

Perkara sebegini perlu dibawa ke mahkamah untuk diberi keputusan sama ada membenarkan perceraian melalui fasakh atau sebagainya.

Sebaiknya adalah mengekalkan rumah tangga yang ada kerana kehidupan sebagai ibu tunggal (janda) pasti ada cabaran tersendiri.

Sekurang-kurang ada orang yang dapat membantu dalam kesusahan. Setengah orang lebih suka untuk mempunyai suami daripada hidup berseorangan.

Manfaat cukur rambut bayi

BOLEHKAH saya mencukur rambut bayi saya sendiri, timbang rambutnya dan sedekahkan kepada fakir miskin? Ada pendapat menyatakan timbangan rambut ikut nilai perak dan ada pendapat menyatakan ikut nilai emas.

SYAM,
Kuala Lumpur


ANTARA perkara sunnah yang boleh dilakukan ibu bapa apabila mendapat zuriat adalah anak itu (1) di azan dan diiqamahkan (2) dilakukan aqiqah (3) diberi nama yang baik, (4) dilakukan (tahniq) atau dibelah mulut dengan benda manis seperti kurma dan dibaca doa dan (5) dicukur rambut dan diberi sedekah seberat timbangannya.

Ia boleh dengan nilai emas atau perak mengikut kemampuan masing-masing (6) dikhatankan (7) menindik telinga bagi anak perempuan dan (8) diberi penjagaan dan penyusuan sebaik mungkin.

Apabila memilih untuk tidak mencukur rambut bayi, ibu bapa tidak mendapat pahala sunat seperti di atas. Sebenarnya mencukur rambut ada banyak kelebihannya seperti dapat menjaga kebersihan, menumbuhkan rambut baru yang lebih baik dan anak lebih selesa apabila kepala tidak terhalang daripada menerima oksigen atau angin.


Berzina walaupun ada suami

SAHABAT saya dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga tanpa kerelaannya. Lelaki berkenaan jugalah yang merogol dia satu ketika dulu tetapi enggan bertanggungjawab dan meninggalkan sahabat saya itu begitu saja untuk mencari perempuan lain.

Apabila lelaki berkenaan ditinggalkan kekasihnya, dia kembali kepada sahabat saya kononnya mengaku bertanggungjawab. Keluarga sahabat saya seperti terharu dengan tindakan lelaki terbabit yang mahu bertanggungjawab dan segera memaafkan perbuatan lamanya.

Malangnya, lelaki itu sangatlah lemah apabila di atas ranjang dan tidak pernah memberi nafkah sejak setahun perkahwinan dilangsungkan.

Sahabat saya mengalami tekanan perasaan yang amat sangat apabila bersama dengan lelaki itu.

Dalam keadaan itu, sahabat saya kembali kepada kekasihnya yang disayangi.

Mereka bersama sehingga sahabat saya mengandung lima bulan.

Rahsia itu kemudian terbongkar dan ibunya enggan mengaku itu adalah anaknya yang sebenar memandangkan ibu sendiri seorang ustazah.

Keluarganya melarang sahabat saya daripada keluar rumah dan segala tindak-tanduknya diperhatikan setiap hari. Gaji bulanan diambil dan dia diperlakukan seperti sampah setiap hari oleh ahli keluarganya hingga sahabat saya bimbang keselamatan bayi di dalam kandungannya.

Bolehkah sahabat saya mengambil tindakan menuntut cerai daripada suaminya yang nyata sekali dayus seperti itu? Bolehkah dia meneruskan kandungannya walaupun benih itu bukan daripada suaminya yang sah?

INSAN JAHIL,
Melaka




BANYAK kepincangan berlaku dalam masalah ini termasuk jenayah rogol, kahwin paksa, suami tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri.

Hubungan terlarang hingga berlaku zina, kehamilan anak zina, tiada sokongan atau pengabaian keluarga sendiri terhadap nasib anak perempuan yang terumbang-ambing akibat sikap keluarga yang gagal menjalankan tanggungjawab sebenar.

Jenayah rogol umpamanya perlu dilaporkan kepada pihak polis. Mangsa perlu dibela sebaik mungkin. Kahwin paksa sepatutnya tidak berlaku kerana ia membawa mudarat kepada pasangan.

Sementara suami pula perlu menjalankan tanggungjawab seperti ditetapkan Islam termasuk memberi nafkah zahir dan batin.

Apabila suami gagal menunaikan tanggungjawabnya, isteri boleh melaporkan kepada mahkamah syariah bagi menyelesaikan masalah supaya suami kembali bertanggungjawab atau perceraian secara baik dapat diusahakan.

Islam melarang hubungan antara lelaki dan perempuan hingga berlaku zina dan kehamilan. Larangan itu adalah muktamad dan tiada pengecualian termasuk alasan ‘suami lemah.’

Setiap orang Islam mesti menjaga maruah diri supaya tidak terjerumus dengan dosa zina. Keluarga pula perlu menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin termasuk penentuan jodoh anak dan membantu mereka apabila ditimpa musibah.

Sewajarnya keluarga sama ada lelaki atau perempuan bekerjasama membantu untuk menjadikan perkahwinan anak bahagia. Mereka sepatutnya tidak lepas tangan apabila anak sudah berkahwin.

Mengenai tindakan menuntut cerai daripada suami sahabat anda itu, ia dibenarkan Islam apabila ada alasan yang dibenarkan syarak. Dia mempunyai alasan yang wajar mengikut syarak dan boleh diteruskan.

Anak dalam kandungan perlu diteruskan hingga melahirkan. Tindakan menggugurkan kandungan adalah haram tanpa sebab yang sah mengikut syarak.

Sahabat anda itu boleh terus memelihara anak berkenaan atau menyerahkan kepada keluarga angkat jika tidak mampu menjaganya. Sebagai kawan baik, anda seharusnya berusaha menasihati dia sebaik mungkin.

Dekatkan dirinya dengan agama dan nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan lalu dengan bertaubat sesungguhnya kepada Allah.

Doa anak soleh untuk ibu bapa

KETIKA berada di pusara ibu bapa, adakah mereka mendengar luahan hati meminta supaya mendoakan kesejahteraan kita?

JEFRY,
Perak

PERKARA terbaik yang wajar dilakukan adalah memohon atau memanjatkan sendiri doa kepada Allah. Allah itu Maha Mendengar segala permohonan hambanya.

Ini kerana kesempatan supaya ibu bapa berdoa untuk anda sudah tiada lantaran kematian mereka. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang soleh mendoakan untuknya”
(Riwayat Muslim).

Lebih bermanfaat jika anda pula memanjatkan doa kepada ibu bapa. Doa anak yang soleh kepada Allah supaya dosa mereka diampuni hakikatnya diterima Allah.

Mereka juga sebenarnya mengharapkan doa dari�pada anak yang soleh seperti terkandung dalam hadis di atas.

Suami usah mudah lafaz cerai

TEMPOH hari, saya dan suami bertengkar kerana selisih faham antara kami. Selepas pergaduhan itu, saya mengambil keputusan keluar rumah dan balik ke rumah orang tua saya.

Suami saya berkata dengan saya.. “Kau keluar dari rumah ini... Kau bukan isteri aku!” dan saya tetap keluar juga. Adakah itu jatuh lafaz cerai kerana saya keluar dari rumah?

ZATIi,
Kedah

KATA-kata suami seperti di atas tergolong dalam lafaz kinayah (tidak jelas).
Dengan itu, ia perlu kepada penjelasan suami sama ada ia berniat menceraikan anda atau sekadar kata marah selepas merajuk dengan sikap anda apabila berlaku perselisihan dan niat anda untuk meninggalkannya.

Sekiranya suami menyatakan dia berniat cerai, maka jatuh talak. Sekiranya tidak, talak tidak jatuh. Sebagai pasangan suami isteri yang ingin kekal hidup bersama, sebarang perselisihan hendaklah diselesaikan secara baik. Janganlah mudah mengeluarkan kata talak atau cerai. Bawalah berbincang dalam semua perkara.

Selain itu, cubalah kenal sikap dan perangai suami. Jangan mudah marah dengan suami dan banyak bersabar dengan perangainya. Mudah-mudah rumah tangga anda berdua selamat.

Malaikat tak masuk rumah ada patung manusia, binatang

APAKAH jenis gambar atau objek yang dibolehkan untuk diletakkan di dalam rumah? Ini kerana saya difahamkan haram mempamerkan gambar atau patung di rumah selain malaikat rahmat juga tidak akan masuk ke dalam rumah. Mohon penjelasan lanjut daripada Dr.

HAFIS,
Selangor

ISLAM melarang meletakkan patung manusia, binatang atau objek lain di rumah.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tuan punya gambar ini akan diseksa pada hari kiamat lalu dikatakan kepadanya: ‘Hidupkan barang yang dijadikan dan sesungguhnya malaikat tidak akan masuk rumah seseorang selagi di dalamnya ada gambar (patung).’” (Hadis riwayat Bukhari)


Hanya dalam keadaan tertentu patung dibenarkan seperti yang diriwayatkan dalam hadis bahawa Jibril a.s. pernah meminta izin daripada Nabi s.a.w untuk masuk rumahnya, kemudian kata Nabi kepada Jibril: “Masuklah! Tetapi Jibril menjawab: ‘Bagaimana saya hendak masuk sedang di dalam rumahmu ada cadar dinding yang penuh gambar! Tetapi kalau kamu mahu terus menggunakannya, maka putuskanlah kepalanya atau potonglah untuk dibuat bantal atau buatlah tikar (tikar lantai).
(Hadis riwayat Nasa’i dan Ibnu Hibban)

Ia hendaklah tidak sempurna sehingga tidak nampak dibesarkan dan dimuliakan.
Begitu juga dengan patung mainan kanak-kanak, ia dibenarkan kerana bukan dibesar-besarkan.

Manakala lukisan benda hidup seperti manusia dan binatang tidak dibenarkan menurut hadis di atas tetapi lukisan pemandangan alam masih dibenarkan.

Gambar daripada kamera diharuskan apabila mematuhi ajaran agama dalam berpakaian dan menutup aurat. Ia juga dilihat berlainan dengan lukisan yang melakar ciptaan sendiri.

Mufti Mesir, Sheikh Muhammad Bakhit menyatakan fotografi adalah tangkapan imej kepada benda yang benar menerusi kamera. Cara itu sedikitpun tidak ada larangannya (Qardawi, 1995: 117).