Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Suami usah mudah lafaz cerai

TEMPOH hari, saya dan suami bertengkar kerana selisih faham antara kami. Selepas pergaduhan itu, saya mengambil keputusan keluar rumah dan balik ke rumah orang tua saya.

Suami saya berkata dengan saya.. “Kau keluar dari rumah ini... Kau bukan isteri aku!” dan saya tetap keluar juga. Adakah itu jatuh lafaz cerai kerana saya keluar dari rumah?

ZATIi,
Kedah

KATA-kata suami seperti di atas tergolong dalam lafaz kinayah (tidak jelas).
Dengan itu, ia perlu kepada penjelasan suami sama ada ia berniat menceraikan anda atau sekadar kata marah selepas merajuk dengan sikap anda apabila berlaku perselisihan dan niat anda untuk meninggalkannya.

Sekiranya suami menyatakan dia berniat cerai, maka jatuh talak. Sekiranya tidak, talak tidak jatuh. Sebagai pasangan suami isteri yang ingin kekal hidup bersama, sebarang perselisihan hendaklah diselesaikan secara baik. Janganlah mudah mengeluarkan kata talak atau cerai. Bawalah berbincang dalam semua perkara.

Selain itu, cubalah kenal sikap dan perangai suami. Jangan mudah marah dengan suami dan banyak bersabar dengan perangainya. Mudah-mudah rumah tangga anda berdua selamat.

Malaikat tak masuk rumah ada patung manusia, binatang

APAKAH jenis gambar atau objek yang dibolehkan untuk diletakkan di dalam rumah? Ini kerana saya difahamkan haram mempamerkan gambar atau patung di rumah selain malaikat rahmat juga tidak akan masuk ke dalam rumah. Mohon penjelasan lanjut daripada Dr.

HAFIS,
Selangor

ISLAM melarang meletakkan patung manusia, binatang atau objek lain di rumah.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tuan punya gambar ini akan diseksa pada hari kiamat lalu dikatakan kepadanya: ‘Hidupkan barang yang dijadikan dan sesungguhnya malaikat tidak akan masuk rumah seseorang selagi di dalamnya ada gambar (patung).’” (Hadis riwayat Bukhari)


Hanya dalam keadaan tertentu patung dibenarkan seperti yang diriwayatkan dalam hadis bahawa Jibril a.s. pernah meminta izin daripada Nabi s.a.w untuk masuk rumahnya, kemudian kata Nabi kepada Jibril: “Masuklah! Tetapi Jibril menjawab: ‘Bagaimana saya hendak masuk sedang di dalam rumahmu ada cadar dinding yang penuh gambar! Tetapi kalau kamu mahu terus menggunakannya, maka putuskanlah kepalanya atau potonglah untuk dibuat bantal atau buatlah tikar (tikar lantai).
(Hadis riwayat Nasa’i dan Ibnu Hibban)

Ia hendaklah tidak sempurna sehingga tidak nampak dibesarkan dan dimuliakan.
Begitu juga dengan patung mainan kanak-kanak, ia dibenarkan kerana bukan dibesar-besarkan.

Manakala lukisan benda hidup seperti manusia dan binatang tidak dibenarkan menurut hadis di atas tetapi lukisan pemandangan alam masih dibenarkan.

Gambar daripada kamera diharuskan apabila mematuhi ajaran agama dalam berpakaian dan menutup aurat. Ia juga dilihat berlainan dengan lukisan yang melakar ciptaan sendiri.

Mufti Mesir, Sheikh Muhammad Bakhit menyatakan fotografi adalah tangkapan imej kepada benda yang benar menerusi kamera. Cara itu sedikitpun tidak ada larangannya (Qardawi, 1995: 117).

Remaja perempuan was-was mandi wajib

SAYA seorang remaja perempuan dan mahu Dr terangkan cara mandi wajib yang sebetulnya kerana masih was-was dengan cara yang dilakukan selama ini sama ada betul atau tidak.

Saya juga mendapati kawan saya mandi wajib dengan cara yang berbeza. Ini penting kerana ia berkaitan dengan cara menyucikan diri yang Islam anjurkan.

ILA,
Selangor.

SECARA umumnya mandi wajib mempunyai peraturannya dan perlu diikut. Pertama, niat dengan lafaz “sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala atau “sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala”. Bagi wanita adalah lebih lagi untuk menentukan mandi wajib itu kerana haid dan nifas ketika niat. Niat hendaklah dilakukan ketika air mula sampai ke badan.

Kedua, hilangkan najis di badan sama ada yang jelas (‘ayni’) atau tidak jelas (hukmi). Ketiga, me�nyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Apabila menunaikan tiga perkara itu mandi wajib anda sah.

Antara perkara sunat yang boleh dilakukan ketika mandi wajib termasuklah (1) mengadap kiblat (2) membaca basmalah (3) membasuh dua tapak tangan (4) mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi (5) menggosok seluruh anggota badan dengan tangan (6) berturutan (muwalat) tanpa putus-putus (7) tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan dan (8) membasuh sebanyak tiga kali (Haji Mohamed bin Jusoh, 1990). Perkara sunat ini dilakukan untuk mendapat kesempurnaan dan pahala.

Tiru lafaz talak di TV

SAYA ada kemusykilan mengenai lafaz talak. Baru-baru ini, saya menonton siri drama di televisyen yang memaparkan dialog pelakon menceraikan isterinya seperti ini “Aku ceraikan kau dengan talak tiga”.

Dalam masa yang sama, saya menceritakan mengu�langi dialog berkenaan kepada isteri saya. Tujuan saya mengulangi dialog itu adalah bertujuan menceritakan semula apa yang berlaku di dalam drama berkenaan kerana pada saya perihal cerai ini tidak baik untuk masa depan rumah tangga.

Adakah jatuh talak itu sedangkan saya tidak berniat langsung untuk menceraikan isteri saya?

JAMAL,

Johor



HUKUMNYA tidak jatuh talak kerana sekadar menceritakan drama itu kepada isteri sebagai pengajaran dan sebagai�nya. Bagaimanapun, ia jatuh apabila anda benar-benar melafazkan kepada isteri sendiri walaupun ia sekadar main-main.

Kita sepatutnya mengetahui lafaz talak termasuk dalam lafaz tidak boleh dipermainkan selain lafaz kahwin seorang wali dan lafaz memerdekakan hamba daripada seorang tuan.

Isteri minta cerai lepas jumpa kekasih lama

SAYA berkahwin hampir 16 tahun dan mempunyai dua pasang anak, yang sulung berumur 15 tahun dan bongsu 10 tahun. Sebelum ini isteri tidak bekerja dan saya mencuba memberi nafkah zahir batin secukupnya hingga terpaksa berhutang kerana hendak menjaga hati isteri.

Kami sering bertengkar dan isteri kata dia sudah tawar hati sebab tidak bahagia. Antara sebabnya ialah kehidupan yang susah sebab wang sering kekurangan dan banyak hutang.

Saya sudah membeli rumah dan kereta. Isteri berjumpa kawan lama yang mengatakan hidupnya tidak bahagia dan mereka kini bercinta.

Isteri sering minta diceraikan dan dia kini sudah bekerja serta sering berjumpa kawan lelakinya itu. Saya menganggapnya sudah menderhaka.

Setelah saya halang dan pisahkan mereka, isteri berkawan pula dengan kekasih lama yang sudah berkahwin dan kaya. Sekarang isteri bersungguh-sungguh meminta diceraikan kerana hendak terus berkasih dengan lelaki berkenaan.


Semua ahli keluarganya tahu dan marah dengan cara hidupnya. Mereka juga menasihatkannya, tetapi tidak diendahkan. Sudah beberapa kali saya terjumpa isteri keluar makan dengan lelaki lain dan ada SMS isteri berkasih sayang dengan lelaki itu.

Isteri minta bercerai dengan cara baik, tetapi saya masih sayangkannya dan tidak mahu dia mendapat balasan daripada Allah kerana melakukan dosa.

Jika saya berpisah dengan cara baik, tidakkah saya bersubahat kerana saya tahu kesalahannya tapi membiarkannya? Berdosakah saya jika memfailkan kes nusyuz terhadap isteri dan mengambil hak penjagaan anak?

Suami Terluka,
SELANGOR



SAYA melihat kes ini sebahagian daripada ujian Allah kepada keluarga saudara. Bermula dengan kesusahan hidup, berhutang, isteri menderhaka dan mempunyai hubungan luar kemudian dia meminta cerai.

Sebagai suami dan ketua keluarga sudah tentu rumit dan merungsingkan anda. Tiada jalan penyelesaian dalam hal sebegini selain isteri kembali taat kepada suami dan ajaran agama.

Dengan itu, anda perlu bertindak membetulkan keadaan. Tindakan bagi isteri nusyuz dan tidak baik ialah dengan menasihati secara baik, meninggalkan tempat tidur dan mengambil tindakan berbentuk fizikal secara yang tidak berbahaya.

Sekiranya tidak berjaya, dapatkan bantuan keluarga yang lain. Apabila tidak lagi mampu bertahan, perpisahan adalah jalan terakhir. Jika tidak, anda boleh dianggap sebagai lelaki dayus kerana membiarkan isteri melakukan maksiat secara terbuka.

Memfailkan kes nusyuz dan mengambil hak penjagaan boleh dibuat di mahkamah syariah. Perceraian pula mempunyai banyak hikmah, antaranya pasangan boleh menimbang kembali kedudukan keluarga yang sudah dibina selain memberi peluang kepada masing-masing membina hidup baru.


Diperkosa rakan sekolah di rumah sendiri

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang bapa apabila mengetahui anak perempuannya menjadi mangsa rogol di dalam rumahnya sendiri ketika dia dan isteri sedang nyenyak tidur, kelmarin.

Dia tidak menyangka remaja lelaki terbabit yang berusia 16 tahun yang juga rakan sekolah anaknya berusia 15 tahun sanggup menceroboh kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia sebelum memperkosa anaknya.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, bapa mangsa berusia 50-an terjaga daripada tidur sebelum keluar dari bilik untuk membuang air kecil.

Menurut sumber, bagaimanapun niatnya itu terbantut apabila mendapati pintu dan jeriji rumah terbuka menyebabkan dia mengesyaki ada pencuri menceroboh masuk.


“Risaukan keselamatan keluarga, dia bertindak berani memasang lampu untuk mencari pencuri terbabit dan ketika itulah dia melihat seorang remaja lelaki tiba-tiba melintas di depannya dan terus melarikan diri.


“Terkejut dengan tindakan pantas suspek yang datang dari arah bilik tidur anaknya, dia cuba tahan suspek namun gagal,” katanya.

Sumber berkata, dia berpatah balik dan terus ke bilik anaknya, terkejut apabila mendapati keadaannya tidak terurus dan sedang menangis.


Menurutnya, geram sebaik mendengar pengakuan mangsa dirogol rakan sekolah sendiri, dia ke Balai Polis Salak Selatan untuk membuat laporan. Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu

Kekasih amuk hubungan minta diputus

KUALA LUMPUR: Tindakan nekad seorang wanita ingin memutuskan hubungan cinta yang terjalin sejak tujuh bulan lalu mengundang padah apabila teman lelakinya ‘naik minyak’ sebelum membelasah dan memecahkan cermin keretanya di Jalan Lumut, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 31 tahun bertemu pasangannya bagi memutuskan hubungan berikutan tertekan apabila sering dikongkong dan dipukul suspek.


Menurut sumber, ketika bertemu, mangsa geram selepas dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain dan meminta hubungan mereka diputuskan. “Pertengkaran itu bertukar ganas apabila teman lelaki mangsa yang gagal mengawal kemarahan menumbuk muka dan memukul badan mangsa.

“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa yang ketakutan berlari ke keretanya di tepi jalan,” katanya.


Menurut sumber, suspek sekali lagi mengamuk dan menyuruh mangsa keluar daripada kereta.


“Berang mangsa enggan membuka pintu, bagaikan dirasuk teman lelaki mangsa menendang pintu kereta, malah memecahkan cermin kereta sebelah pemandu.

“Tidak cukup dengan itu, dia menarik rambut mangsa selain memukulnya beberapa kali menyebabkan wanita terbabit menjerit kesakitan.


“Mangsa yang cedera di muka dan badan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

‘Beg bergerak-gerak’

ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.


Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.


“Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.


“Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. “Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kurung kekasih anak

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Anas Hassan
am@hmetro.com.my

SERDANG: Seorang ibu bersekongkol dengan anak lelakinya berusia 17 tahun untuk mengurung seorang remaja perempuan dalam bilik rumah mereka sebelum memaksa mangsa menggugurkan kandungan berusia dua bulan hasil hubungan sulit dengan remaja lelaki terbabit.

Remaja perempuan berusia 16 tahun yang masih bersekolah dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dikurung dalam satu unit kediaman di pangsapuri di Puchong, sejak dua minggu lalu.


Mangsa yang mengandung dua bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang tidak lagi bersekolah juga berdepan maut apabila dipaksa menelan pelbagai ubat-ubatan bagi menggugurkan kandungannya.

Menurut sumber polis, mangsa keluar dari rumah ibunya di Kajang pada 30 Oktober, kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke rumah teman lelaki dan dikurung serta dipaksa tinggal sebilik.


Katanya, ketika teman lelaki bersama ibunya ke tempat kerja, mangsa dikurung dan dilarang meninggalkan rumah hingga mereka pulang.


“Mangsa dipaksa menggugurkan kandungan bagi mengelak diketahui jiran mengenai hubungan sumbang mereka,” katanya di sini, semalam.

Maksiat ‘ayam hutan’


KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Uban mengambil jalan mudah untuk mencari rezeki pada usianya yang semakin senja apabila membina sebuah pusat pelacuran mini berhampiran lombong pasir di sini.

Pusat maksiat beroperasi 24 jam di Batu 16, Jalan Kota Tinggi-Mersing itu mempunyai tiga pondok, dua daripadanya untuk pelacuran manakala satu lagi untuk pelanggan bersembang sementara menunggu giliran.

Pak Uban yang berusia 65 tahun menggajikan tiga wanita warga asing yang dijadikan pemuas nafsu seks pelanggan yang bukan saja terdiri daripada pekerja lombong terbabit, malah buruh ladang serta penduduk tempatan.

Kegiatan haram di Hutan Simpan Panti itu berlarutan sejak lebih sebulan lalu dan sukar dikesan berikutan lokasinya yang tersembunyi dan berhampiran rumah kongsi pekerja.

Solat Istikharah - Mengapa tunggu mimpi?

Baru-baru ini seorang duda datang mengadu. Dengan nada kecewa beliau menjelaskan bahawa pinangannya baru sahaja ditolak. Menurutnya, wanita yang ingin dijadikan pasangan hidupnya itu agak berusia tetapi masih lagi cantik, berpendidikan agama dan masih lagi dalam kategori `anak dara'.


Walau bagaimanapun perangainya agak sedikit pelik. Sebelum ini, bukannya tidak ada rombongan yang cuba untuk meminangnya, tetapi kesemuanya ditolak.


Alasannya mudah sahaja, tidak mendapat petunjuk Allah katanya. Beliau sudah mengerjakan solat istikharah, namun tidak mendapat alamat dalam mimpinya itu.


Persoalan yang ingin diperbincangkan di sini, apakah mimpi manusia biasa boleh dijadikan sandaran atau boleh menjadi isyarat kepada jawapan yang dicari? Benarkah solat sunat istikharah boleh menjadi medium atau pengantara untuk menentukan sesuatu keputusan seperti menentukan jodoh seseorang atau baik buruk takdirnya?


Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.


Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting.


Baginda bersabda, Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib.

Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah Taala dalam keadaan lemah. Kelemahan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Allah Taala. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya, tetapi belum tentu buruk menurut penilaian Allah. Dalam hal ini kita harus mengakui bahawa daya fikir dan akal manusia sangat terbatas. Untuk itu kita dianjurkan beristikharah.


Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Kamu diwajibkan berperang, sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu suka kepada sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah jualah yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216)

Sebenarnya amal ibadah yang mengandungi unsur-unsur tilikan dan bergantung kepada mimpi semata-mata bukanlah daripada ajaran Islam. Malah Nabi s.a.w. tidak pernah mengajar umatnya agar mencerap petunjuk Allah menerusi mimpi. Fenomena menilik nasib atau jodoh melalui mimpi di kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula. Amalan ini dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya dosa syirik kepada Allah s.w.t.


Hal ini kerana manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi adalah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah: 90)


Perlu dijelaskan di sini bahawa tidak semua mimpi manusia itu benar. Mimpi manusia biasa pada kebiasaannya adalah mainan tidur yang berpunca daripada pengaruh iblis dan syaitan yang datang mengganggu.


Kita tidak boleh menyamakan antara mimpi manusia biasa dengan mimpi para nabi dan rasul-rasul. Mimpi bagi nabi dan para rasul adalah wahyu dari Allah Taala. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah diperintah oleh Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpi baginda. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah ayah akan mendapatiku daripada orang-orang yang sabar. (Al-Soffat: 102)


Kesimpulannya mimpi kita itu tidak mengandungi kebenaran mutlak. Kemungkinan kebenaran yang terlihat itu lebih berdasarkan kepada kebetulan sahaja atau unsur-unsur daripada mainan syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan manusia. Itulah sebabnya, jangan menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaliknya berfikirlah dengan lebih rasional.


Dalam kes di atas, seandainya pertimbangan akal diletakkan pada tempat yang sewajarnya, maka memadai dengan sedikit soal selidik dan mengkaji latar belakangnya sudah dapat menentukan ciri-ciri pasangan yang menepati kehendak Islam. Maka ketika itu, dia tidak perlu lagi beristikharah dan terus menerus menunggu mimpi. Atau sekiranya beliau berada dalam situasi antara dua pilihan, yang satu berakhlak mulia sedang yang kedua kurang baik agama dan akhlaknya, maka pilihannya ketika itu sewajarnya kepada yang pertama. Kaedah pertimbangan dan penilaian seperti itu tidak perlu melalui solat sunat istikharah.


Mimpi itu bukanlah satu-satunya jalan yang memimpin manusia kepada petunjuk Allah s.w.t. Kadang-kadang petunjuk Allah Taala datang melalui buah-buah iman yang masuk menyerap ke dalam hati sehingga menerbitkan keyakinan dan rasa hati yang kuat melalui keyakinan untuk memilih salah satu di antara beberapa pilihan.

Jika kita mempunyai kecenderungan untuk memilih salah satunya, maka itu merupakan isyarat kuat daripada Allah. Pilihlah dulu terimalah seadanya, kemudian solatlah istikharah dan ketika itu pohonlah kepada Allah Taala moga pilihan kita tersebut tepat dan terbaik yang boleh membawa kebaikan dunia dan akhirat. Hal ini diperjelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah doa yang bermaksud:


Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini, baik bagi agama dan kehidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, dan berkatilah ia kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini buruk bagiku, buruk bagi agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka jauhkanlah aku daripadanya, dan berikanlah bagiku kebaikan di mana pun juga adanya, kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan pemberian itu. - (Riwayat Bukhari)

Lelaki Menjadi Suri Rumah

Ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) dibiarkan berlarutan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Profesor Ibrahim Abu Shah berkata, secara umumnya setiap universiti di negara ini memiliki jumlah pelajar perempuan yang jauh lebih ramai berbanding lelaki.

Disebabkan masalah itu, katanya, UiTM sudah lama memikirkan cara untuk menambah jumlah pelajar lelaki bagi memperbaiki komposisi pelajar mengikut jantina.

Tidak dapat tidak satu hari nanti wanita profesional ini akan berkahwin juga dengan mana-mana lelaki termasuk mereka yang tidak bekerja.

Akhirnya, akan berlaku fenomena lelaki duduk di rumah jaga anak dan rumah tangga manakala wanita keluar bekerja.

Fenomena ini telah pun berlaku sekarang meskipun ia bertentangan dengan adat kita,?? katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibrahim menyatakan demikian ketika mengulas usaha Kementerian Pengajian Tinggi mencari formula untuk memujuk lebih ramai pelajar lelaki menyambung pelajaran di IPT.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, di semua IPT di seluruh negara, nisbah antara pelajar lelaki dan perempuan ialah 40:60.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Profesor Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali meminta kerajaan melakukan sesuatu bagi mengurangkan jurang bilangan pelajar lelaki dan wanita.

Di UTM sendiri, katanya, universiti itu tidak boleh menyekat kemasukan pelajar wanita dalam sesuatu bidang kerana mereka memiliki kelayakan akademik yang cemerlang berbanding lelaki.

Di UTM, pelajar lelaki lebih mendominasi bidang mekanikal yang memudahkan mereka mendapat kerja setelah menamatkan pengajian sedangkan pelajar perempuan menguasai bidang lain," katanya.

Pensyarah Jabatan Antropologi Universiti Malaya, Profesor Dr. Fatimah Daud pula berkata, cadangan untuk merapatkan jurang antara pelajar lelaki dan wanita di IPT memang tepat pada masanya.

Di Barat, sebagai contoh, lelaki kini telah menjadi suri rumah menjaga anak-anak, membasuh baju dan juga melakukan kerja-kerja rumah.

Di Malaysia sendiri fenomena ini telah pun berlaku dan kini semakin merebak apabila kebanyakan wanita bekerja sebagai eksekutif manakala suami menjaga rumah.

Putrajaya lubuk maksiat

PUTRAJAYA: Sama ada suka atau tidak, Putrajaya antara ‘lubuk’ perlakuan maksiat sama ada membabitkan pasangan suami dan isteri orang yang berstatus kakitangan awam atau atau pasangan remaja yang kemaruk melakukan maksiat.

Kegiatan itu semakin menjadi-jadi berikutan sikap kebanyakan penghuni Islam di kuarters kerajaan dikenal pasti menggunakan pendekatan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ sehingga memudahkan perlakuan maksiat berleluasa.


Pengerusi Komuniti Presint 11, Carlos Basri, berkata dia pernah ditanya rakan dari luar Putrajaya yang mahu mengetahui tempat menarik di Putrajaya untuk melakukan maksiat bersama pasangan mereka.

Tanpa berselindung, Carlos mengakui terkejut apabila mereka beranggapan Putrajaya lokasi paling sesuai untuk melakukan maksiat.


“Kenyataan ini sukar diterima, tetapi hakikatnya perlakuan maksiat termasuk membabitkan suami dan isteri orang berstatus kakitangan kerajaan banyak dan kerap berlaku.


“Malah, lebih mengukuhkan dakwaan itu apabila beberapa pasangan berstatus kakitangan awam dicekup kerana berkhalwat di kuarters kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Carlos yang mendiami Presint 11, kira-kira 10 tahun lalu, berkata dia yakin kegiatan maksiat itu dilakukan kakitangan kerajaan yang mempunyai masalah psikologi dan terbawa-bawa ke pejabat sehingga menimbulkan masalah kepada orang lain.


Oleh itu, katanya, tidak hairan jika kakitangan terbabit dikesan turut menghadapi masalah moral termasuk melakukan maksiat dengan pasangan yang juga kakitangan kerajaan.

Tanpa berselindung, Carlos mengakui sedih dengan sikap penghuni Putrajaya yang tidak mengenali jiran sehingga mengundang kegiatan tidak bermoral di rumah jiran mereka.


Menurutnya, kebanyakan tangkapan khalwat dilakukan selepas pihak berkuasa agama memperoleh maklumat pihak ketiga dan bukan daripada jiran di kawasan berkenaan.


“Sikap ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak sihat kepada suasana bermasyarakat di kawasan berkenaan sehingga ‘orang luar’ menganggap Putrajaya tempat melakukan maksiat.


“Jadi, bukan satu yang pelik apabila wujudnya gejala maksiat termasuk khalwat membabitkan suami dan isteri orang yang semakin membimbangkan walaupun penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menjalankan operasi membanteras gejala itu,” katanya.


Carlos berkata, walaupun hampir 99 peratus penghuni di Putrajaya beragama Islam, mereka tidak memiliki semangat kejiranan yang kukuh bagi membantu penguat kuasa Jawi menangani gejala tidak bermoral terbabit.


Malah, katanya, sikap itu semakin memburukkan keadaan apabila premis milik kerajaan itu digunakan pemiliknya untuk melakukan maksiat.


Tanpa berselindung, Carlos berkata, walaupun pelbagai aktiviti kemasyarakatan dianjurkan, tetapi kehadiran penghuni amat mengecewakan seolah-olah mereka bukan penghuni di kawasan itu.


“Bukan itu saja, penghuni juga tidak menggunakan surau untuk mengeratkan silaturrahim, tetapi lebih selesa ‘menyembunyikan’ diri di dalam rumah dan tidak mempedulikan jiran berhampiran,” katanya.

Ibu izin peluk Islam

SENTUL:“Selepas 10 tahun saya masih tidak berputus asa memujuk ibu, akhirnya dia mengizinkan saya memeluk agama Islam,” kata Jaime Jamilah Abdullah, 33, menceritakan pengalaman dia bertukar agama lapan tahun lalu.

Menurut ibu kepada dua anak itu, dia tertarik dengan Islam kerana sering bercampur dengan pelajar Melayu sejak pada zaman persekolahan dan rakan-rakannya juga tidak pernah meminggirkannya.


“Saya selalu ikut rakan mendengar ceramah agama dan berjumpa ustaz atau ustazah jika mereka ada kemusykilan dalam agama. Dari situlah saya mula mempelajari Islam dan terikut-ikut dengan amalan mereka seperti solat dan berpuasa,” katanya.

Menurut Jaime, ibu bapanya tidak pernah memusuhinya walaupun kini mereka berlainan agama, cuma tindakannya jarang berada di rumah atau makan bersama menyebabkan timbul sedikit salah faham.


“Bapa saya tak kisah asalkan saya tahu jaga diri tapi ibu mudah terasa hati dengan saya hingga menimbulkan pergaduhan kecil. Jadi saya membuat keputusan berpindah.


“Bukan saya tidak menghormati atau melupakan mereka, tapi saya perlu mematuhi tuntutan Islam, sekali gus tidak menderhaka kepada ibu bapa,” katanya.

Katanya, selepas mendirikan rumah tangga, dia sering menghubungi ibu bapanya untuk bertanya khabar dan kini hubungan mereka kembali mesra.


“Syukur mereka sudah dapat menerima saya dan selalu juga bertanyakan khabar cucu mereka. Kini, saya gembira dan tenang mendalami Islam,” katanya yang ditemui dalam Program Ceramah Perdana anjuran Madrasah Salaiyah, di sini, kelmarin.

Dalam program itu, seramai 45 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin menerima sumbangan berupa beras dan wang tunai.


Pengerusi Madrasah, Sheikh Abdul Rahman Sheikh Abdul Kadir berkata, program ceramah perdana itu adalah aktiviti tahunan madrasah itu yang didirikan sejak lebih 50 tahun lalu.


“Ini tanggungjawab kami untuk mengimarahkan madrasah ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kebaikan masyarakat sekeliling,” katanya.

Suami dijel, isteri minta dibicara

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur, Mohd Faizul Azri Zulkefli, 28, dipenjara setahun selepas mengaku bersalah menyamar polis dan memiliki pasport orang lain tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Isterinya, Fatimah Nur Hidayah A Ghafor, 25, pula tidak mengaku salah dan minta dibicarakan atas pertuduhan menyamar polis dalam pertuduhan yang dikemukakan berasingan di mahkamah sama.


Majistret Siti Faraziana Zainuddin menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Miky Dunstan Muda.


Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 13 Disember lalu kira-kira jam 6 petang di simpang lampu isyarat berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini.


Mereka ditahan selepas mengaku penjawat awam dengan mengetahui mereka tidak memegang jawatan itu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan atau mencuba melakukan perbuatan atas kuasa jawatan itu yang disamarnya itu dan oleh itu mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.


Akhbar pada 14 Disember tahun lalu melaporkan pasangan terbabit yang mendakwa sebagai anggota polis dari Bukit Aman ditahan anggota polis ketika mereka melakukan ‘operasi khas’ memeras wang orang ramai.

Mereka ditahan selepas sepasukan anggota yang melihat gelagat pasangan terbabit mencurigakan kerana mereka memakai selipar ketika mengadakan ‘operasi’ menahan kenderaan di beberapa jalan di bandar raya ini.


Bagi kesalahan memiliki pasport pula, Mohd Faizul Azri didapati melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.30 petang pada hari dan tempat sama.

Perceraian diizin elak wanita derita

KUALA LUMPUR: Walaupun Islam tidak menggalakkan perceraian, namun tidak juga sanggup membiarkan umatnya terseksa dan menderita semata-mata mahu mempertahankan sesebuah perkahwinan yang sedari awal sudah memperlihatkan kepincangan.

Pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah, (gambar) berkata syariat Islam menyebut perceraian sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah antara suami dan isteri, malah ia dibenarkan untuk memastikan wanita tidak dizalimi mental serta fizikal.


Bagaimanapun, katanya tidak bermakna apa saja masalah dihadapi pasangan berkahwin perlu diselesaikan dengan perpisahan, tetapi yang lebih utama adalah suami perlu memperlihatkan sifat tanggungjawab tinggi selaku pembimbing dan ketua keluarga.

“Kita tak boleh bangunkan perkahwinan hanya sebab anak semata-mata kerana perkahwinan perlu didasari niat yang jujur dan suami bertanggungjawab bukan ke atas individu (isteri dan anak) saja malah agama, dengan itu barulah hujungnya nampak reda Allah SWT.


“Malangnya, ketika ini banyak masalah rumah tangga disebabkan perkara ini; perkahwinan dipertahankan semata-mata kerana anak dan masalah makan bertahun lamanya hingga suami tidak akur lagi tanggungjawab, kemahuan dan keperluan isteri termasuk seks.


“Suami hari ini tak mampu menjadi pemimpin yang menawarkan jalan penyelesaian baik. Perkahwinan dibina tanpa ilmu, ego suami yang tak nak menceraikan isteri (walhal sudah nampak keretakan teruk) dan isteri dibiarkan bergantung tak bertali,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang isteri yang sudah dua tahun tinggal berasingan dengan suaminya, tergamak menghentak kepala lelaki itu dengan kuali hingga pengsan.


Kejadian menyebabkan mangsa berusia 45 tahun yang menghidap kencing manis dan darah tinggi tidak sedarkan diri hingga dibawa ke hospital selepas anak perempuan pasangan itu berusia 16 tahun menghubungi ambulans.

Wanita terbabit berusia 38 tahun itu dikatakan terdesak memukul suaminya berikutan pada masa sama seorang lelaki lain yang dipercayai teman lelakinya turut berada di dalam rumah dan tidak menyangka suaminya akan datang ke kediaman itu memandangkan mereka dalam proses bercerai. Mengulas itu, Dr Rubiah berkata, seorang isteri sangat sukar berlaku curang dengan suaminya melainkan si suami tidak bertanggungjawab, gagal memenuhi keperluan isteri, apatah lagi kedua-duanya tinggal berasingan selama berbulan-bulan lamanya.


“Dalam kes ini saya melihat perkahwinannya memang sukar untuk diselamatkan kerana ‘perpisahan’ sementara mereka menyebabkan kasih sayang kosong, tak ada lagi dan kedua-duanya saya rasakan tiada ilmu, saling menyalahkan satu sama lain dan tak jumpa penyelesaian,” katanya.

Ajal ibu ketika asyik cari lokan

KUANTAN: Seorang suri rumah yang mencari lokan untuk dijadikan juadah makan malam bersama bubur lambuk meninggal dunia selepas dipercayai diserang penyakit jantung di Pantai Sepat, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu yang menimpa mangsa, Pauziah Awang Deraman, 50, yang tinggal di Kampung Kuala Penor, Jalan Pantai Sepat, di sini, hanya disedari anak perempuannya, Nor Shuhadah Mohd Zalamin, 16.


Mengimbas semula sebelum kejadian, Nor Shuhadah berkata, dia melihat ibunya pada kedudukan agak jauh bersama enam ahli keluarga lain yang turut serta mencari lokan di pantai berkenaan.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini, itu berkata, dia tidak melihat ibunya seperti dalam keadaan sakit, sebaliknya ghairah mencari lokan hingga dapat memenuhkan baldi.


Bagaimanapun, katanya, dia sempat melihat ibunya berdiri terlalu lama sebelum cuba membongkokkan semula badan untuk meneruskan mencari lokan, namun tidak lama kemudian arwah terus rebah dalam lumpur.


“Terkejut melihat ibu rebah, saya terus berlari ke arahnya dan mengangkat muka sebelum mencuci lumpur sambil cuba mengejutkannya, namun ibu sudah tidak sedarkan diri.

“Melihat keadaan semakin panik, saya terus pulang ke rumah dengan menunggang motosikal untuk memanggil ayah, Mohd Zalamin Ab Rahman, 51, kerana tidak membawa telefon bimbit manakala ibu dijaga saudara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Penor, Jalan Pantai Sepat, di sini.


Menurutnya, dia sempat mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah, namun tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan sebak apabila kehilangan ibu tercinta.

Katanya, pada pagi sebelum kejadian, arwah ibunya sempat menghias rumah dengan langsir baru biru sebelum berpakat bersama ahli keluarga untuk mencari lokan sebagai aktiviti hujung minggu.


Sementara itu, Mohd Zalamin berkata, dia terkejut selepas anak bongsunya itu pulang ke rumah dengan menunggang motosikal dalam keadaan sedih sebelum mengetahui cerita sebenar berhubung kejadian itu.


“Saya reda dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan aneh atau pelik sebelum meninggal dunia,” katanya.

Harapan ibu sebelum ajal

JOHOR BAHRU: “Ibu berharap kami sekeluarga dapat bertemu dan berkumpul walau sekali sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Kami harap kedatangan Tahun Baru Cina ini memberi sinar harapan untuk bertemu dengan kakak kandung yang terpisah sejak 53 tahun lalu,” kata Foo Foon Koon, 50, ketika hadir ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.


Menurutnya, pertemuan itu jika berjaya direalisasikan pasti menjadi kenangan manis sepanjang hidup bagi keluarganya.

Foo berkata, ibu mereka, Wong Fong Fah, 78, yang semakin uzur berhasrat mahu bertemu dengan anak perempuan tunggalnya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.


“Sejak kebelakangan ini, ibu sering termenung dan asyik murung kerana terlalu rindukan kakak, malah setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, dia akan bertanyakan kakak yang tidak diketahui tempat tinggalnya.


“Kami tujuh beradik sudah lama mencari kakak, tetapi hampa,” katanya yang bertugas sebagai kontraktor di Seelong.

Katanya, kakaknya diserahkan kepada satu keluarga Melayu yang juga kenalan ibu bapa mereka seminggu selepas dilahirkan.


Dia yang menetap di Taman Kulai Utama berkata, ketika diserahkan kepada keluarga angkat berkenaan, kakaknya itu sudah memiliki surat beranak, namun disebabkan ibu bapa mereka tidak kenal rapat dengan keluarga berkenaan, mereka terputus hubungan.

“Kakak terpaksa diserahkan kepada keluarga angkatnya akibat kemiskinan hidup, ayah dan ibu adalah penoreh yang menetap di Ladang Kelan sejak 1954 sebelum berpindah ke tempat lain kira-kira 22 tahun selepas itu.


“Kami tidak mempunyai banyak maklumat berkaitan kakak, apatah lagi ibu tidak sihat manakala ingatannya semakin berkurangan kebelakangan ini,” katanya.


Anak ketiga itu berkata, seorang saudara pernah memaklumkan kakaknya pernah mencari mereka sekeluarga 15 tahun lalu tetapi gagal bertemu disebabkan kekurangan maklumat.


“Kami tiada gambarnya, malah ibu juga tidak ingat nama kakak yang diberikan dalam surat beranak itu, harapan kami semoga kakak terbaca luahan ini dan dapat bertemu semula selepas terpisah sekian lama,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kakaknya itu boleh menghubungi Foo di talian 019-7136632 atau 019-7148285.

Diarak tengah laut

MASJID TANAH: “Ini pengalaman paling menyeronokkan dan detik bersejarah yang pasti sukar dilupakan sepanjang hayat kerana tidak sangka diarak di tengah laut dengan sampan sebagai kejutan sebaik bergelar suami isteri.”

Begitu kata pengantin lelaki, Zahari Mohamad, 28, apabila dia bersama isteri, Norhidayah Abu Kasim, 28, berpeluang bersanding di atas sampan di tengah laut di Kampung Tanjung Dahan, semalam.


Pasangan berkenaan dibawa menaiki sampan mengelilingi sebuah kapal selama 45 minit, sebelum diarak sejauh 500 meter dari tengah laut menuju ke pantai yang terletak berhampiran rumah pengantin lelaki sambil disaksikan orang ramai termasuk sanak-saudara.

Zahari yang bekerja sebagai kelasi, berkata dia dan isteri tidak menduga hari bahagia mereka memberi kelainan apabila turut disandingkan di tengah laut selepas dimaklumkan ahli keluarga kerana ia tiada dalam perancangan sebelum ini.


“Kami terkejut selepas diberitahu bahawa kami akan diarak dari tengah laut menggunakan sampan sejauh 500 meter sebelum dikehendaki berjalan dalam air sejauh 25 meter.


“Walaupun anak nelayan, namun saya langsung tidak pernah turun ke laut membantu bapa menyebabkan ahli keluarga mungkin merancang majlis perkahwinan kami disambut di tengah laut, sekali gus memberi kelainan dan kejutan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, biarpun bertugas sebagai kelasi di bahagia enjin, namun dia mendakwa tidak pernah turun ke laut hingga kini, malah isterinya yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi kemahiran juga tidak pernah berbuat demikian.


Katanya, dia bersama isteri begitu teruja dengan kejutan pada majlis persandingan mereka dan akan ditunjukkan kepada anak cucu selain berharap perkahwinan mereka berkekalan.

“Saya dan isteri seronok kerana pengalaman ini hanya berlaku sekali dalam hidup dan kami berterima kasih kepada ahli keluarga yang merancang kejutan ini supaya menjadi kenangan seumur hidup,” katanya.


Sementara itu, bapa Zahari, Mohamad Nor, 54, berkata dia merancang menyambut anak kedua daripada tujuh beradik itu bersama menantu dengan mengarak mereka dari tengah laut sejak sebulan lalu.

Wanita hilang ditemui rakan berkeliaran

BUTTERWORTH: Seorang wanita, Siti Nor Paraf Ismail, 22, yang dilaporkan hilang sejak 25 September lalu ditemui lapan rakannya yang juga pekerja industri, berkeliaran tanpa tujuan dipercayai dipukau di Bayan Lepas, Rabu lalu.

Siti Nor Paraf kemudian dihantar rakannya ke pangkuan keluarga di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang.


Majlis akad nikah wanita itu dengan pasangannya dari Kampung Paya Keladi Hujung di Masjid Lahar Kepar sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober lalu terpaksa dibatalkan berikutan Siti Nor Paraf gagal ditemui keluarga dan rakannya.

Bapanya, Ismail Abdullah, 52, berkata anak ketiga daripada 10 beradik itu diserahkan rakannya dalam keadaan dipercayai dipukau selepas keluarga dan rakannya bertanyakan sesuatu mengenai kehilangannya.


Menurutnya, Siti Nor Paraf tidak mengetahui kejadian yang menimpa dirinya sejak 19 hari lalu termasuk menunjukkan gambar dan berita yang tersiar menerusi media cetak.


Katanya, dia kemudian membuat laporan mengenai kepulangan anaknya di Balai Polis Kepala Batas, Rabu lalu.

“Saya bersyukur kerana anak saya sudah kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.