Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label zina. Show all posts
Showing posts with label zina. Show all posts

Taubat kekasih terlanjur

SAYA pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia 20 tahun.

Saya sudah beberapa kali terlanjur bersama teman wanita saya dan kini kami berdua sudah berpisah.

Saya ingin bertaubat dan berazam tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

Perlukah saya berbaik semula dengan teman wanita yang saya tiduri dan mengajaknya bertaubat kepada Allah s.w.t ataupun saya terus melupakannya dan berdoa supaya Allah mengurniakan saya dengan wanita lain sebagai jodoh?

Saya ingin bertanggungjawab di atas keterlanjuran kami dengan memujuknya kembali bersama saya, tetapi dia sudah mempunyai lelaki lain.


Saya mahu bertaubat sebelum ajal menjemput.

HAZRUL
Kuala Lumpur




HASRAT untuk bertaubat dan tidak lagi mengulangi dosa zina itulah yang sepatutnya. Ini kerana kita perlu ingat bahawa dosa zina termasuk dalam dosa besar yang kedua selepas dosa syirik.

Rasulullah s.a.w mengingat-kan setiap individu bahawa: “Tiada dosa yang lebih besar selepas daripada syirik selain dari seorang lelaki yang meletakkan maninya dalam kandungan perempuan yang tidak halal baginya (bukan isteri).” (Tafsir Ibn Kathir III: 38)

Pilihan untuk bertaubat dan berkahwin itulah yang sebaiknya. Manakala berkahwin dengan teman wanita itu juga sebahagian daripada menebus dosa zina sekiranya dia bersetuju.

Sekiranya tiada persetujuan, maka pilihlah wanita yang beragama untuk dikahwini sekiranya ada jodoh. Selain itu buatlah segala amal soleh bagi menebus kesalahan lalu seperti memperbanyakkan amalan sunat.

Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, anda terselamat daripada hukuman dan seksaan Allah sama ada di dunia atau akhirat. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Allah menerima taubat hamba-Nya sepanjang masa.

Berzina walaupun ada suami

SAHABAT saya dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga tanpa kerelaannya. Lelaki berkenaan jugalah yang merogol dia satu ketika dulu tetapi enggan bertanggungjawab dan meninggalkan sahabat saya itu begitu saja untuk mencari perempuan lain.

Apabila lelaki berkenaan ditinggalkan kekasihnya, dia kembali kepada sahabat saya kononnya mengaku bertanggungjawab. Keluarga sahabat saya seperti terharu dengan tindakan lelaki terbabit yang mahu bertanggungjawab dan segera memaafkan perbuatan lamanya.

Malangnya, lelaki itu sangatlah lemah apabila di atas ranjang dan tidak pernah memberi nafkah sejak setahun perkahwinan dilangsungkan.

Sahabat saya mengalami tekanan perasaan yang amat sangat apabila bersama dengan lelaki itu.

Dalam keadaan itu, sahabat saya kembali kepada kekasihnya yang disayangi.

Mereka bersama sehingga sahabat saya mengandung lima bulan.

Rahsia itu kemudian terbongkar dan ibunya enggan mengaku itu adalah anaknya yang sebenar memandangkan ibu sendiri seorang ustazah.

Keluarganya melarang sahabat saya daripada keluar rumah dan segala tindak-tanduknya diperhatikan setiap hari. Gaji bulanan diambil dan dia diperlakukan seperti sampah setiap hari oleh ahli keluarganya hingga sahabat saya bimbang keselamatan bayi di dalam kandungannya.

Bolehkah sahabat saya mengambil tindakan menuntut cerai daripada suaminya yang nyata sekali dayus seperti itu? Bolehkah dia meneruskan kandungannya walaupun benih itu bukan daripada suaminya yang sah?

INSAN JAHIL,
Melaka




BANYAK kepincangan berlaku dalam masalah ini termasuk jenayah rogol, kahwin paksa, suami tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri.

Hubungan terlarang hingga berlaku zina, kehamilan anak zina, tiada sokongan atau pengabaian keluarga sendiri terhadap nasib anak perempuan yang terumbang-ambing akibat sikap keluarga yang gagal menjalankan tanggungjawab sebenar.

Jenayah rogol umpamanya perlu dilaporkan kepada pihak polis. Mangsa perlu dibela sebaik mungkin. Kahwin paksa sepatutnya tidak berlaku kerana ia membawa mudarat kepada pasangan.

Sementara suami pula perlu menjalankan tanggungjawab seperti ditetapkan Islam termasuk memberi nafkah zahir dan batin.

Apabila suami gagal menunaikan tanggungjawabnya, isteri boleh melaporkan kepada mahkamah syariah bagi menyelesaikan masalah supaya suami kembali bertanggungjawab atau perceraian secara baik dapat diusahakan.

Islam melarang hubungan antara lelaki dan perempuan hingga berlaku zina dan kehamilan. Larangan itu adalah muktamad dan tiada pengecualian termasuk alasan ‘suami lemah.’

Setiap orang Islam mesti menjaga maruah diri supaya tidak terjerumus dengan dosa zina. Keluarga pula perlu menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin termasuk penentuan jodoh anak dan membantu mereka apabila ditimpa musibah.

Sewajarnya keluarga sama ada lelaki atau perempuan bekerjasama membantu untuk menjadikan perkahwinan anak bahagia. Mereka sepatutnya tidak lepas tangan apabila anak sudah berkahwin.

Mengenai tindakan menuntut cerai daripada suami sahabat anda itu, ia dibenarkan Islam apabila ada alasan yang dibenarkan syarak. Dia mempunyai alasan yang wajar mengikut syarak dan boleh diteruskan.

Anak dalam kandungan perlu diteruskan hingga melahirkan. Tindakan menggugurkan kandungan adalah haram tanpa sebab yang sah mengikut syarak.

Sahabat anda itu boleh terus memelihara anak berkenaan atau menyerahkan kepada keluarga angkat jika tidak mampu menjaganya. Sebagai kawan baik, anda seharusnya berusaha menasihati dia sebaik mungkin.

Dekatkan dirinya dengan agama dan nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan lalu dengan bertaubat sesungguhnya kepada Allah.

Adakah Dara itu Penting?

Isu dara merupakan isu yang paling jarang diperbincangkan
secara terbuka.


Ini mungkin disebabkan sikap masyarakat kita yang masih
menganggap ia sebagai isu peribadi yang boleh mengaibkan terutama kepada
golongan wanita.


Walaubagaimanapun, apa yang bakal dikupas di sini bukanlah
perkara yang berkaitan dengan kejadian biologi seorang gadis, tetapi isu
yang berkaitan dengan kesucian dan kehormatan seorang gadis.


Ini kerana, selain isu sosial, ia juga berkaitan dengan salah satu institusi
yang penting dalam Islam - perkahwinan.


Kecenderungan untuk merenung isu ini datang dari pengalaman peribadi
selama satu dekad.

Dalam Islam, ketika memilih calon isteri, seseorang pemuda digalakkan
mencari seorang gadis. Alasan yang diberikan adalah gadis lebih menghiburkan
dan sama-sama belajar bergurau senda. Sedangkan seorang janda sudah
mempunyai pengalaman dan memori dengan bekas suaminya dulu.


Hakikat ini diperkukuhkan lagi apabila peminangan seorang gadis berbeza
dengan cara peminangan seorang janda. Seorang gadis tertakluk atas nasihat
dan kawalan bapanya atau walinya sementara seorang janda dianggap mampu
berdikari dan membuat keputusan sendiri mengenai calon suaminya.


Namun begitu pada dasarnya tidak ada halangan untuk seorang pemuda
untuk memilih sama ada seorang gadis perawan atau seorang janda sebagai
bakal isterinya dan Islam sendiri tidak meletakkan syarat kepada
teruna untuk memilih gadis atau janda, Cuma digalakkan memilih gadis - dan
ini adalah isu hati lelaki semata-mata.


Dalam kehidupan realiti, bagaimanapun ada lelaki yang sangat menitikberatkan
soal dara. Bagi mereka, dara menjamin kebahagian dan kepuasan.
Pada hemat saya, lelaki jenis ini tidak arif tentang kedudukan yang sebenar.
Lelaki ini mementingkan nafsu dan menafsirkan dara sebagai satu kejadian biologi
pada jasad seorang perempuan. Menurut sumber ilmu kesihatan, kejadian selaput
dara ini sangat sensitif dan mudah pecah.


Kehilangan dara tidak semestinya seorang gadis itu telah melakukan hubungan.
Mungkin ada aspek lain seperti kemalangan atau sakit yang menyebabkan
seseorang itu kehilangan dara. Kehilangan dara dalam maksud ini tidak
melibatkan kehilangan kesucian atau kehormatan seorang gadis.


Oleh itu, tidak perlulah untuk memanjangkan aspek ini. Kita lebih cenderung
melihat dari sudut harga diri seorang gadis.


Terus terang kita nyatakan, isu dara dalam artikel ini maksudnya hubungan
seksual sebelum perkahwinan (zina) akibat meluasnya pergaulan bebas dalam
masyarakat kita. Oleh itu awal-awal lagi saya menyatakan isu ini adalah
isu sosial ;bukannya isu peribadi atau isu dikalangan wanita sahaja.


Keadaan ini menjadi lebih kompleks apabila batas pegaulan bebas di
kalangan remaja dan belia kita menjadi kian longgar.


Pada waktu yang sama, bagi menghadapi gejala seks sebelum nikah,
sudah kedengaran di kalangan lelaki teruna bahawa
'dara itu sudah tidak penting'. Yang penting bagi mereka ialah
kasih sayang, kesetiaan, kejujuran dan hormat menghormati antara suami
isteri.


Lagi pun apabila seseorang gadis yang pernah terlanjur sudah bertaubat
dan insaf, maka isu itu sudah tidak timbul lagi.

Saya percaya ramai orang bersetuju dengan hujah di atas. Oleh itu
kita akan tertanya-tanya perlukah lagi soalan 'apakah dara itu
penting?'.


Sekali lagi kita harus bersabar dan berfikir lebih halus dan
mendalam. Pandangan di atas samalah dengan pandangan lelaki yang
menafsirkan dara sebagai kejadian biologi pada perempuan.

Kedua-dua pandangan itu masih bersifat peribadi.

Isu sosialnya ialah apabila masyarakat (generasi muda) mula
menganut idea bahawa dara itu tidak penting maka secara tidak langsung
merebak pula idea seks sebelum nikah itu sesuatu yang boleh diterima.


Jika idea ini dianuti secara meluas, bukan isu dara yang perlu diatasi
tetapi isu zina dan pergaulan bebas.

Dalam masyarakat barat yang bebas pergaulannyasekurang-kurangnya
seperti yang digambarkan melalui filem atau novel remaja - soal dara
atau virginity sudah dianggap remeh.



Malah sebenarnya ia dianggap sebaliknya. Dalam masyarakat kita
atau masyarakat timur yang asal seseorang gadis yang tidak dara
(sudah melakukan hubungan seks) dipandang rendah dan dicemuh.

Lelaki teruna mengelak diri dari mengambilnya sebagai isteri.
Ibu bapa si gadis berasa sangat malu.


Gadis itu sendiri berasa bersalah dan berasa tertekan dan sedaya
upaya menyembunyikan rahsia itu sehinggalah ke saat akhir (seperti
kepada tunang atau suaminya). Tetapi masyarakat barat melihat soal dara
sebaliknya.

Sesiapa yang masih dara dianggap mentah dan naif. Seseorang
gadis yang pernah melakukan hubungan seks selalunya ketika berusia
belasan tahun dianggap matang. Gadis ini layak dianggap wanita (woman)
bukan lagi anak-anak perempuan (girl). Akibatnya, seseorang gadis yang
tidak mempunyai pasangan lelaki atau gagal memujuknya melakukan aktiviti
seksual mengalami tekanan perasaan dan penyisihan sosial remaja.



Secara sedar atau tidak apabila unsur budaya asing dan bahan
lucah tersebar dengan bebas, masyarakat kita kini sedang menganuti
idea yang sama.


Tiada siapa yang tahu. Hanya sekelompok remaja dan belia yang
mengetahui. Siapa tahu secara perlahan-lahan idea atau nilai generasi muda
erhadap dara sudah berubah mengikut idea remaja barat?


Secara kesimpulannya apa yang hendak disampaikan ialah
berkenaaan runtuhnya institusi sosial kita. Remaja terutama gadis tidak
lagi menghiraukan tentang kesucian diri mereka.

Gejala pergaulan bebas semakin berleluasa. Pihak media pula seakan jaguh
dalam memperkenalkan budaya yang tidak sesuai dengan norma-norma kehidupan kita
sebagai seorang Islam.


Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Marilah kita sama-sama memikirkan jalan penyelesaiannya. Mungkin
ada pendapat yang bernas dari netters yang lain??

Perkahwinan Jauhi Zina

Dari segi bahasa, perkahwinan membawa maksud pernikahan atau penggabungan antara dua unsur yang berlainan. Manakala dari sudut Islam pula, perkahwinan membawa maksud ikatan yang terjalin antara lelaki dan perempuan berdasarkan akad nikah atau ijab dan kabul yang sah.

Ijab bermaksud menyerahkan tanggungjawab dari wali bakal pengantin perempuan kepada bakal pengantin lelaki. Manakala kabul membawa maksud bakal suami menerima tanggungjawab di atas penyerahan bakal isteri tersebut.
Allah s.w.t telah menjadikan manusia dengan fitrahnya iaitu ingin hidup berpasangan, berkasih-sayang, harmoni dan sejahtera serta dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut adalah melalui ikatan perkahwinan.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: "Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam). Dia (Allah) menjadikan daripada diri Adam dan isterinya dan mengembang biak daripada kedua-duanya ramai lelaki dan perempuan..."

Berdasarkan Firman Allah di atas, jelas menunjukkan perkahwinan adalah bertujuan bagi menyambung keturunan, melalui cara yang dihalalkan dalam Islam. Perkahwinan merupakan satu ibadah, juga sunnah Rasulullah S.A.W.

Anas r.a berkata: Rasulullah S.A.W bersabda bahawa: "perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku."

Sebaik sahaja mendirikan rumahtangga, niat yang harus dipasang oleh pasangan suami isteri ialah melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah. Apabila seseorang lelaki dan perempuan itu berkahwin, tanggungjawab mereka menjadi semakin besar, dengan itu perlulah mereka saling bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain dalam memastikan rumahtangga yang dibina itu harmoni dan bahagia, terutamanya dalam membentuk pendidikan anak-anak yang bakal lahir.

Bagi pemuda-pemudi yang berkemampuan dari segi zahir dan batin, haruslah dia berkahwin bagi menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatannya. Hal ini bertepatan dengan riwayat daripada Alkamah r.a, Rasulullah bersabda, "wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya, perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan." Sesungguhnya perkahwinan dapat menjaga seseorang itu daripada zina atau maksiat. Wallahualam…