Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label penceraian. Show all posts
Showing posts with label penceraian. Show all posts

Balasan dosa silam?

SAYA sudah berkahwin hampir empat tahun. Alhamdulillah, saya dianugerahkan dua anak dan seorang lagi bakal lahir bulan hadapan.

Masalahnya sekarang, sudah hampir setahun suami saya tidak bekerja.

Segala perbelanjaan dan keperluan saya yang tanggung. Saya hanya seorang kerani yang mempunyai pendapatan bersih cuma RM700 sebulan.

Apa yang buat saya berkecil hati walaupun dia tidak bekerja dan saya pula tengah sarat mengandung, suami saya jarang menolong saya menjaga anak jauh sekali menolong melakukan kerja rumah.

Sejak mengandung, dia memang sudah tidak bekerja.

Tiap-tiap malam keluar, hampir subuh baru dia balik. Keadaan itu berterusan sampai sekarang.

Saya mula rasa nak marah kerana penat menjaga anak seorang diri.

Setiap pagi saya terkejar-kejar menguruskan anak dan menghantarnya ke pusat jagaan. Suami saya langsung tidak menolong dengan alasan dia mengantuk dan penat kerana baru balik.

Saya tidak boleh menerima alasan itu dan saya sudah bercakap baik-baik kepadanya. Dia lebih mementingkan kawan-kawannya dari keluarga.

Saya cakap saya tidak kisah dia tidak bekerja sekiranya dia boleh menjaga anak.

Sekurang-kurangnya saya tidak perlu membayar ke pusat jagaan kanak-kanak sebanyak RM400 sebulan.

Saya juga mula rasa tawar hati dan tidak menjalankan tugas sebagai seorang isteri seperti memasak, tidak mencuci pakaiannya dan tidak menunaikan hajatnya kerana merasa begitu tertekan dengan sikapnya.

Saya bimbang apa yang saya lakukan ini dikategorikan sebagai isteri derhaka.
Tambahan lagi, dia selalu melengahkan solat dan sekarang hampir setiap hari dia meninggalkan solat Subuh.

Katanya selama ini dia bangun subuh sebab dia serabut dengar saya membebel.

Itu membuatkan saya makin tawar hati kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan solat sedangkan dia tidak.

Tetapi saya tahu itu adalah dosa antara dia dengan Allah sedangkan saya pula berdosa dengannya sebagai isteri. Sebenarnya apabila difikirkan itu mungkin hikmat dan ujian daripada Allah.

Mungkin itu satu balasan dosa silam kerana saya pernah melakukan maksiat dengannya sebelum kahwin. Tetapi kami tidak pernah terlanjur.

Saya juga pernah curang dengannya selepas bergelar isteri kerana saya tahu dia curang dengan saya.

Tetapi kami tidak pernah berzina. Sekiranya Allah turunkan ujian ini kerana dosa silam saya, saya reda asalkan saya mendapat pengampunan-Nya.

Apa yang patut saya lakukan? Saya sudah tidak mampu untuk menyara anak seorang diri dengan pendapatan yang kecil.

ISTERI BUNTU
Selangor



MASALAH anda berkisar kepada suami yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya sebagai suami.

Ia membabitkan nafkah zahir dan juga nafkah batin seperti kasih sayang.

Rumah tangga bahagia apabila tanggungjawab suami isteri sama-sama dipikul sehingga terbentuk keluarga bahagia. Perkara itu perlu diatasi segera kerana ia boleh membawa perpecahan rumah tangga dan perceraian.

Begitulah kemungkinan yang akan berlaku kepada rumah tangga anda apabila masing-masing membawa hal tuju sendiri.

Penyelesaian Islam ialah suami perlu kembali menjadi suami yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.

Setiap suami perlu sedar bahawa anak isteri adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dijaga dan dipikul. Kita semua akan ditanya di akhirat kelak. Itulah penyelesaian yang terbaik.

Bagaimanapun, sekiranya suami masih bersikap lepas tangan, anda boleh memilih untuk bersabar buat sementara dengan memberi suami peluang untuk berubah.

Contohnya, dengan memberi peluang kepada suami mencari pekerjaan yang baru bagi menampung keperluan rumah tangga.

Dengan itu, anda perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaiknya.

Jika tidak ia boleh dikategori sebagai nusyuz. Begitu juga maruah diri dan suami perlu dijaga agar tidak melanggar hukum Islam seperti pernah berlaku pada anda.

Anda juga sewajarnya bertaubat kepada Allah apabila terlanjur sedikit sebanyak. Itu sebenarnya kelemahan anak Adam yang banyak melakukan dosa dan kesalahan.

Hanya keampunan Allah dapat menghapuskan dosa itu. Selain itu, puan boleh mendapatkan bantuan keluarga sendiri seperti ibu bapa dan sanak saudara dalam meringan beban masalah.

Mereka boleh menjadi pendamai dalam menyelesaikan masalah sebegini. Seterusnya Islam membenarkan perpisahan antara suami isteri apabila salah seorang tidak mampu menjalankan tanggungjawab asasi iaitu memberi nafkah.

Perkara sebegini perlu dibawa ke mahkamah untuk diberi keputusan sama ada membenarkan perceraian melalui fasakh atau sebagainya.

Sebaiknya adalah mengekalkan rumah tangga yang ada kerana kehidupan sebagai ibu tunggal (janda) pasti ada cabaran tersendiri.

Sekurang-kurang ada orang yang dapat membantu dalam kesusahan. Setengah orang lebih suka untuk mempunyai suami daripada hidup berseorangan.

Statistik Perceraian: Setiap 15 minit satu pasangan bercerai -Jakim




Purata pasangan Islam yang bercerai di negara ini mencatatkan rekod mengejutkan iaitu satu pasangan setiap 15 minit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, angka itu diperoleh berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009.

Menurut beliau, statistik perceraian itu terus menunjukkan peningkatan saban tahun dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai keharmonian rumah tangga terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Beliau berkata, kebanyakan kes perceraian berlaku disebabkan pasangan suami isteri tidak begitu menghayati kehendak ajaran agama dalam melayari kehidupan rumah tangga termasuk menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

‘‘Masalah ini mungkin disebabkan peredaran masa yang memaksa mana-mana pasangan mengambil jalan mudah menamatkan ikatan perkahwinan mereka.

‘‘Oleh itu, Jakim akan meningkatkan usaha menyedarkan masyarakat mengenai kebaikan memelihara kerukunan rumah tangga dan mengelakkan penceraian,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Jakim melaksanakan pelbagai program untuk memantapkan institusi kekeluargaan selain membina keluarga bahagia.

Katanya, program tersebut bertujuan menimbulkan kesedaran kepada setiap pasangan yang berkahwin selain menerangkan peranan sebenar sebagai suami, isteri, ibu dan bapa.

Beliau menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya bersedia menghadapi tekanan seperti proses penyesuaian tingkah laku dan tabiat suami isteri.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga harus bersedia menanggung beban tugas dengan penambahan anak, beban membayar hutang, membeli kenderaan dan menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Sementara itu, katanya, perceraian memberi kesan buruk kepada anak-anak hingga banyak gejala sosial berpunca daripada keluarga yang kucar-kacir.



Jika anda rasakan artikel ini bermanfaat dan berguna, kongsikan bersama rakan-rakan anda di Facebook dengan tekan butang biru like dibawah

Mengapa Wanita Gagal Menjadi Suri Rumah


Agak pelik dan hairan jika sekali-sekala kita mengunjungi rumah seseorang yang si isterinya tidak bekerja tetapi keadaan rumahnya tidak terurus. Persoalannya, apakah yang dibuat oleh si isteri ini sepanjang hari sehingga rumah tidak sempat hendak dikemaskan. Namun, itulah realitinya.
Terdapat banyak faktor mengapa suri rumah gagal mengurus rumah dengan sempurna dan kemas. Antara sebabnya termasuk:

1. Sikap sambil lewa dan suka bertangguh. Mungkin kerana mereka sepanjang hari berada di rumah dan tidak perlu buat kerja dengan segera. Sepatutnya suri rumah sepenuh masa dapat mengurus rumah dengan lebih baik dan kemas. Tidak melakukan kerja secara tergesa-gesa hanya apabila ada orang nak datang.

2. Tidak menjadikan kerja mengemas rumah sebagai satu budaya hidup. Sesungguhnya apabila mengemas menjadi budaya harian, mereka tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengemas rumah.

3. Tidak mendidik anak-anak supaya sentiasa bersih dan kemas. Sepatutnya anak-anak sejak kecil lagi dididik agar menghargai kebersihan. Jika sejak kecil sentiasa hidup dalam suasana bersih, sudah tentu ia akan menjadi budaya anak-anak kita pula.

4. Tidak berminat mengemas rumah. Hal ini berkemungkinan kerana mereka sudah biasa hidup dalam suasana yang tidak kemas dan tak terurus. Akibatnya bila sudah berkahwin, budaya itu turut terbawa-bawa.

5. Merasakan bahawa mengemas rumah bukan perkara penting malah merugikan masa kerana mesti dilakukan berterusan.

6. Suka mengunjungi rumah jiran tanpa mengira waktu sehingga tidak sempat hendak mengemas rumah. Malah ada yang berpendapat 'tak apa tak kemas rumah asalkan ada makanan sudah cukup'. Seolah-olah telah hilang nilai kemanusiaan. Manusia yang sempurna tentu inginkan suasana yang kemas, bukan sekadar dapat makan. Kalau berfikiran begitu, maka samalah taraf manusia dengan haiwan.

7. Lupa bahawa itulah imej yang mempamerkan peribadi sebenar seseorang wanita. Tentu tidak wajar wanita Islam mengabaikan kebersihan dan kekemasan rumahtangga, sedangkan Islam amat menyuruh umatnya sentiasa bersih.

8. Cepat tertekan apabila merasakan hanya dia yang mengemas tanpa dibantu oleh suami dan anak-anak..

Faktor-faktor di atas telah dikenal pasti sebagai punca kegagalan mereka menguruskan rumah dengan sempurna. Tetapi mengapa hal ini terjadi? Di sini, para suami perlu meluangkan sedikit masa dengan membawa keluar anak dan isteri bersiar-siar atau berehat untuk menghilangkan kebosanannya. Di kesempatan itu, didiklah mereka akan budaya dan disiplin yang baik itu.

Sebenarnya, sebahagian suri rumah yang bermasalah ini tidak tahu hala tuju hidupnya. Kerana itu, para suri rumah perlu dibiar bergerak aktif untuk melihat keadaan sekeliling. Mungkin di sana mereka boleh belajar untuk mengurus masa dan mengemas rumah.

Jika anda rasakan artikel ini bermanfaat dan berguna, kongsikan bersama rakan-rakan anda di Facebook dengan tekan butang biru like dibawah


Andartu salah siapa?


SOALAN:
Saya seorang gadis berusia 32 tahun, memiliki ijazah sarjana dalam pengajian kemasyarakatan, kini bertugas sebagai pegawai di sebuah kementerian. Saya selalu disindir keluarga dan rakan-rakan sepejabat kerana masih belum berpasangan. Kadang-kadang saya terfikir untuk menjauhkan diri daripada keluarga kerana saya difahamkan ibu bapa saya tertekan apabila masyarakat bertanya keadaan saya.

Persoalan saya, mengapa saya tidak bertemu jodoh? Adakah kerana saya berbadan tinggi dan mungkin kurang bergaya menyebabkan lelaki tidak menyukai saya atau kerana saya mempunyai tahap pencapaian akademik yang agak tinggi.

Sebagai seorang insan, saya juga ingin mendirikan rumah tangga dan berkeluarga, tetapi tanda-tanda positif belum kelihatan. Ditakdirkan tuan berada di tempat saya, apa yang harus tuan lakukan? - SITI, Alor Setar, Kedah.


Jawapan:Merujuk kepada soalan anda, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa aspek berikut: Usia 32 tahun sebenarnya tidak begitu lanjut terutama bagi gadis-gadis yang berpendidikan tinggi dan memegang ijazah sarjana. Bagi seorang wanita, usia ini belum boleh disifatkan sebagai ketinggalan kereta api sepenuhnya. Kelewatan bertemu jodoh hingga menjangkau usia 32 tahun tentu ada sebab-sebabnya yang tersembunyi dan yang diketahui. Allah juga yang sebenarnya Mengetahui.


Teringat saya kepada peristiwa yang berlaku kepada Hafsah binti Umar yang kelewatan mendapat jodoh setelah kematian suaminya walaupun bapanya telah menawarkan kepada Abu Bakar dan Uthman untuk dikahwinkan tetapi mereka hanya diam membisu seribu bahasa tanpa menyatakan sama ada menolak atau menerima. Rupa-rupanya kelewatan itu ada hikmah di sebaliknya apabila Rasulullah s.a.w. sendiri datang bertanya untuk mengahwininya. Mungkinkah anda juga seperti Hafsah. Belum tentu tidak!


Peristiwa itu juga memberi suatu iktibar bahawa Umar sebagai bapa kepada Hafsah berusaha sendiri mencari suami anaknya. Ia tidak menunggu dan menerima sahaja siapa yang datang, sebaliknya menawarkan anaknya kepada siapa yang berminat. Jika masyarakat Islam di negara ini tidak menerima cara itu kerana aib dan memalukan, maka cara menunggu buah yang tidak diketahui bila akan gugur adalah suatu kelemahan.


Mencari jodoh seperti juga mencari harta, kedua-duanya rezeki yang ditentukan Allah, tiada siapa pun dibenar mencampuri urusan-Nya. Pengalaman menunjukkan kejayaan bertemu jodoh tidak berkaitan sangat dengan kecantikan tubuh badan dan rupa paras seseorang gadis. Bentuk badan yang berbeza seperti gemuk, kurus, tinggi, rendah, warna kulit gelap atau cerah pasti ada peminatnya. Teringat saya kepada pepatah Arab yang mengatakan likulli saqitah laqitah (ertinya, di mana ada bunga di sana ada kumbangnya).


Perhatikan sahaja kepada pasangan yang ada sekitar kediaman dan tempat kerja anda, adakah orang yang berkahwin itu semuanya cantik atau yang ketinggalan kereta api itu semuanya buruk rupanya. Sebenarnya tidak, bahkan ada yang rupanya kurang cantik tetapi lebih dahulu bertemu jodoh, sedangkan yang cantik rupawan pula terpaksa menunggu hingga hampir-hampir ditinggalkan kereta api ataupun terus ketinggalan.


Anggapan bahawa masalah anda boleh diselesaikan hanya dengan berkahwin, sementara jalan-jalan alternatif yang lain semuanya ditutup atau sengaja diabaikan, adalah salah dan tidak benar. Kadang-kadang jalan alternatif itu lebih baik dan memuaskan pengguna, kerana seperti yang diketahui umum, bukan semua perkahwinan itu baik dan bukan semuanya buruk. Perkahwinan pada hakikatnya adalah suatu ujian Allah untuk melihat siapa yang berjaya dalam ujian itu dan siapa pula yang gagal, siapa yang sanggup menjalani tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dan siapa pula sebaliknya.


Saya berpendapat, kahwin dan seterusnya memperoleh anak-anak dan keturunan, sama kedudukannya dengan seorang pemimpin yang memegang kuasa memerintah dan mentadbirkan negara. Kuasa mentadbir memang suatu penghormatan yang membanggakan, tetapi tanggungjawab yang dipikulnya lebih besar daripada penghormatan yang diperoleh daripadanya. Hakikat ini disedari semua pemimpin yang berpandangan jauh.


Dari aspek yang lain pula, anda perlu sedar bahawa tanggungjawab memakmurkan bumi dan negara menjadi tujuan utama semua insan. Tanggungjawab ini boleh disempurnakan melalui pelbagai cara seperti belajar dan mengajar, mendidik dan membantu manusia yang kurang upaya, memelihara warisan tamadun Islam supaya sentiasa kekal dan berguna serta melaksanakan kerja-kerja sosial. Semua ini adalah bidang yang tidak pernah luput masanya.

Penglibatan dalam bidang sosial ini merupakan jalan-jalan alternatif yang boleh menyampaikan seseorang kepada matlamat yang sama dengan pengguna laluan perdana. Tatkala Rasulullah s.a.w. membilang amalan yang berkekalan pahalanya kepada manusia selepas mati, dibilangnya tiga perkara iaitu sumbangan derma yang faedahnya berterusan, ilmu yang berguna dan anak soleh yang berdoa kepada ibu bapanya.


Anda sebagai seorang pegawai profesional dalam bidang kemasyarakatan dan pemegang ijazah sarjana, tentunya tidak keberatan untuk menabur khidmat kepada masyarakat. Nasihat saya sebagai seorang yang mempunyai sedikit sebanyak pengalaman di bidang kaunseling ini ialah anda tidak terburu-buru mendapatkan suami, bertenang dan sedia menerima calon suami yang munasabah. Ketika hidup bersendirian, jadikan diri sebagai burung yang kempis perutnya ketika keluar waktu pagi tetapi sarat dengan ilmu ketika pulang waktu petang.


Bersuami ada baik dan buruknya, demikian juga membujang sepanjang hayat. Anda boleh menimbang dengan fikiran terbuka jika saya katakan hidup membujang juga kadang-kadang membahagiakan, bahkan hidup berpasangan juga sering mencelakakan. Tokoh-tokoh besar dalam Islam seperti Jalal al-Din al-Suyuti reformis Islam abad ke-10 Hijrah dan Imam al-Nawawi ahli hadis yang terkenal abad ke-7 Hijrah adalah antara ilmuwan Islam yang tidak memilih perkahwinan sebagai jalan membahagiakan hidup mereka. Selain mereka, ramai lagi ilmuwan yang membujang sepanjang usia.


Saya tidak pasti apakah aktiviti yang anda lakukan di luar waktu pejabat dan pada hari-hari minggu. Saya berpendapat, sangat baik jika anda penuhkan masa kosong dengan aktiviti kemasyarakatan. Anda yang berkelulusan sarjana dalam bidang kemasyarakatan tentu lebih tahu bidang dan bentuk aktiviti yang perlu disumbangkan.


Kepala yang selalu dibiar kosong lebih merupakan tempayan yang tidak berisi. Jika ia tidak dipenuhi segera dengan barang-barang bermutu, kekosongannya akan diisi dengan sampah sarap. Oleh itu, pemikiran anda jangan sekali-kali dibiar mengelamun dengan permasalahan kahwin yang tidak diketahui di mana noktahnya. Saya berpendapat, anda yang mempunyai tugas dan jawatan dalam kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengisi masa lapang dengan pekerjaan yang sesuai dan mendatangkan manfaat.


Perlu dinyatakan juga, mungkin ramai wanita yang tidak faham psikologi pemuda dan belia di negara ini, khususnya orang Melayu. Mereka takut dan bimbang kepada gadis dan keluarganya yang mudah menolak calon yang sedia melamar, mereka malu jika nanti hasrat tidak kesampaian atau lamaran tidak bersambut. Gadis dan keluarganya pula ada yang mencagarkan rupa paras yang cantik untuk menentukan bakal suami.

Gadis-gadis harus mengambil iktibar bahawa mereka jangan terlalu memilih calon suami. Rupa paras yang cantik dan bergaya belum menjamin kehadiran calon pada waktu yang dikehendaki, kadang-kadang gadis yang rupawan lebih dibimbangi daripada yang sederhana rupanya.


Walaupun artikel ini lebih banyak menumpukan masalah andartu kepada faktor-faktor dalaman dan keluarga, ia tidak bermakna bahawa faktor luaran tidak mempunyai hubungan untuk menyelesaikan masalahnya. Andartu merupakan satu penyakit wanita yang tidak boleh dirawat sendiri, kecuali doktor yang simpati dengannya. Al-Quran pernah mengarahkan pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya mencari jalan untuk memberi pasangan kepada anak-anak mereka yang berpasangan (maksud surah al-Nur, ayat 32).

Jika anda rasakan artikel ini bermanfaat dan berguna, kongsikan bersama rakan-rakan anda di Facebook dengan tekan butang biru like dibawah

Tak Sabar Menjadi Janda



Dewasa ini banyak kes-kes perceraian yang boleh dielakkan. Kebanyakan pasangan asyik bercinta tanpa menyediakan diri untuk alam perkahwinan yang memerlukan banyak pengorbanan, persefahaman dan toleransi. Di bawah adalah beberapa kes betul-betul terjadi di atas sikap kurang tanggungjawap suami.

Janda 1 - suami tidak bertanggungjawap menyediakan keperluan asas hidup, malas kerja, kaki lepak dengan kawan-kawan bujang (tak pasti kalau kaki 'fit' pun kawan-kawannya juga). Yang suami tahu, cukup bulan dpt duit dari isteri, kalau tidak bagi, bergadug. Saya tak salahkan dia yg mahu hidup menjanda daripada menanggung BIAWAK hidup!

Janda 2 - Baru bernikah 3 bulan tetapi diceraikan talak tiga oleh suami yg PANAS BARAN. Batang tubuh biru birat lebam sana sini sbb suami suka naik kaki tangan tak kiralah kawan saya salah atau tidak. Jika ada yg tak kena di office, kawan saya juga yg kena.

Ambiklah iktibar dan cari kelemahan diri sebelum menyalahkan pasangan anda.


Jika anda rasakan artikel ini bermanfaat dan berguna, kongsikan bersama rakan-rakan anda di Facebook dengan tekan butang biru like dibawah

Iddah Hamil

Iddah Hamil adalah iddah bagi isteri yang diceraikan semasa beliau sedang hamil. Iddah isteri yang hamil ialah sehiugga beliau melahirkan anak.


Iddah Talak

Iddah Talak adalah Iddah disebabkan perceraian. Isteri-isteri yang telah diceraikan oleh suami mereka terbahagi kepada empat golongan:
  1. Isteri-isteri yang telah dicampuri suaminya tetapi belum habis haid, maka iddah mereka adalah sebanyak tiga kali suci.
  2. Isteri-isteri yang masih dicampuri suami mereka, tetapi sudah putus haid kerana sudah tua, iddah mereka adalah selama tiga bulan sepuluh hari.
  3. Isteri-isteri yang belum baligh, maka iddah mereka tiga bulan (Tidak berlaku di Singapura).
  4. Isteri-isteri yang belum dicampuri oleh suami mereka, maka tiada iddah bagi mereka.

Iddah Wafat

Iddah Wafat adalah iddah bagi seorang isteri yang kematian suaminya, iddahnya adalah empat bulan sepuluh hari.

Al Ehdad

Al Ehdad bermaksud membatasi diri (seorang isteri) dari memakai perhiasan, pakaian yang bagus-bagus atau harum-haruman sewaktu kematian suami atau anaknya atau mereka-mereka yang akrab. Jika beliau kehilangan suami maka iddahnya adalah selama empat bulan sepuluh hari dan jika yang meninggal adalah anaknya atau ahli keluarganya yang akrab, maka waktu membatasi dirinya adalah selama tiga hari.

Iddah Isteri Yang Kehilangan Suami

Bagi seorang isteri yang kehilangan suami dan tidak mengetahui di mana suaminya berada, iddah isteri tersebut adalah empat tahun lamanya, dan setelah cukup empat tahun maka hendaklah dia beriddah lagi selama empat bulan sepuluh hari. Perkara ini hanya dapat disabitkan oleh Hakim setelah isteri membuat pengaduan di Mahkamah.

Khulu`

Khulu' bererti tanggal. Menurut pengertian syara' Khulu' adalah : Penceraian yang diminta oleh isteri dari suaminya dengan memberi wang atau sebagainya. Di kalangan masyarakat Melayu, Khulu' juga membawa maksud "tebus talak", perkara ini berlaku disebabkan beberapa hal yang tidak disenangi oleh isteri terhadap suaminya.

Sebahagian dari perkara-perkara yang menyebabkan Khulu' adalah:

  1. Jika kedua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan hukum Allah.
  2. Jika isteri khuatir beliau tidak dapat mentaati suaminya.
  3. Jika suami khuatir isteri tidak dapat melaksanakan perintah suami sehingga berlaku kekerasan terhadap isteri.

Perceraian secara khulu' ini hanya boleh disabitkan di hadapan Hakim dengan syarat-syaratnya yang tertentu semasa pasangan membuat permohonan untuk berpisah.


Fasakh

Fasakh bererti memutuskan pernikahan, perkara ini hanya boleh diputuskan apabila pihak isteri membuat pengaduan kepada Mahkamah dan Hakim mensabitkannya setelah perbicaraan. Fasakh boleh berlaku dengan beberapa sebab sebagaimana terdapat di Fasal 49 (1) undang-undang Amla seperti berikut :
  1. Suami telah mencuaikan pemberian nafkah atau tidak memberi nafkah untuknya selama tiga bulan.
  2. Suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih dan hukuman itu telah menjadi muktamat.
  3. Suami tidak menjalankan kewajipan-kewajipannya sebagai seorang suami terhadap isterinya selama satu tahun dengan tiada sebab yang munasabah.
  4. Suami mati pucuk pada masa berkahwin dan terus-menerus begitu.
  5. Suami gila atau mengidap penyakit merana yang akan mengambil masa yang panjang untuk menyembuhkannya atau tiada harapan sembuh dan jika diteruskan perhubungan suami-isteri akan menjejas kesihatan isteri.
  6. Suami berlaku kejam terhadap isteri iaitu seperti :
    1. Selalu memukul isteri atau menjadikan kehidupannya sengsara disebabkan oleh kelakuannya yang kejam sekalipun tanpa menggunakan kekerasan.
    2. Bercampur gaul dengan perempuan-perempuan lucah atau hidup dalam kehinaan.
    3. Mencuba memaksa isteri supaya hidup lucah.
    4. Menghalang isteri daripada melaksanakan perintah agama.
    5. Tinggal dan bersekedudukan dengan perempuan lain yang bukan isterinya.
    6. Jika suami mempunyai isteri lebih dari satu, suami tersebut tidak melayannya dengan adil sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum Islam.

  7. Kerana sesuatu sebab yang lain yang diakui sah untuk cerai fasakh di bawah hukum Islam.

Cerai Ta`lik

Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :

  1. Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.

    Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.

    Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.

  2. Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:

    "Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"

    Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari , lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.

Jenis-jenis talak


Lafaz talak terbahagi kepada dua:

Talak Sharih
Talak Kinayah.

Talak Sharih membawa maksud "nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah "Talak" atau "Cerai".

Contoh lafaz yang Sharih:

Aku ceraikan kau dengan talak satu
Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
Hari ini aku ceraikan kau

Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.

Sementara Talak Kinayah pula membawa maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:

Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi

Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.

Bagi pasangan yang meragui akan lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat selanjutnya.

Jenis-jenis Talak

Terdapat beberapa jenis talak di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:

Talak Raj'ie
Talak Battah
Talak Bain
Menjatuhkan talak tiga sekaligus
Talak Sunni
Talak Bid'i


1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.


2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.


3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

Talak Bain Kubra
Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

Talak yang diputuskan oleh Hakam
Talak melalui Khulu'
Talak yang difasakhkan oleh Hakim

4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.

5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.

6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:

Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.

Penceraian didalam Islam

Firman Allah swt di surah An Nisa' ayat 19,

" Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya"

Dari Ibnu Umar r.a dari Nabi Muhammad saw beliau bersabda yang bermaksud,

" Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak"
Riwayat Abu Daud dan Hakim

Ayat Al-Quran dan Hadis di atas ini dengan jelas memberikan kita penjelasan bahawa perceraian merupakan suatu perkara yang paling dibenci oleh Allah swt. Agama Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya.
Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan oleh kedua pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Selagi kedua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insya Allah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.




Tanggungjawab Ibu Bapa Selepas Perceraian

Walaupun perkahwinan anda telah berakhir, anda masih perlu menjaga anak-anak anda. Namun, kebanyakan ibu bapa bergelut dengan perasaan marah dan sedih masing-masing, dan dengan yang demikian, menyukarkan tugas keibubapaan. Dalam usaha mengisi kekosongan setelah pemergian mana-mana ahli keluarga, anda mungkin memulakan anak-anak atau pun cuba membeli kasih sayang mereka. Juga, tanpa disedari anda mungkin diperkotak-katikkan oleh anak anda.

Terimalah tanggungjawab sebagai ibu atau bapa, dan cubalah memenuhi keperluan anak-anak dengan sebaik dan sesihat mungkin:

Usah bimbang dengan kritikan bekas pasangan anda. Kritikan sememangnya lazim apabila pertelagahan memuncak semasa bercerai. Sekiranya bekas pasangan anda mengkritik teknik keibubapaan anda, fikir dahulu sama ada kritikan tersebut adalah benar. Sebagai contoh, adakah waktu tidur anak-anak berpatutan, adakah waktu makan mereka teratur, dan adakah disiplin yang dikenakan bersesuaian? Abaikan kritikan yang tidak berasas.

Ambil tanggungjawab ke atas diri sendiri. Mungkin anda berfikiran dan berperasaan negatif terhadap bekas pasangan anda, tetapi jangan lupa bahawa tugas utama anda ialah menjadi ibu atau bapa yang terbaik kepada anak-anak sewaktu mereka bersama anda. Beri perhatian terhadap tugas keibubapaan anda dan cuba perbaiki segala kelemahan. Ini akan menunjukkan kepada anak-anak bahawa anda menyayangi mereka dan sedang berusaha dengan gigih dan sebaik-baiknya. Jangan tumpukan perhatian anda untuk menyalahkan bekas pasangan.

Jadilah seorang ibu atau bapa, bukannya seorang kawan. Memang lazim bagi seorang ibu atau bapa untuk cuba berbaik-baik dengan anak-anak apabila bercerai. Ini menyukarkan anda untuk mendisiplinkan dan menetapkan peraturan bagi mereka. Begitu juga keadaan lazim menceritakan kisah hidup anda dengan lebih daripada yang termampu diterima oleh anak-anak - beban yang tidak sewajar mereka pikul. Pada ketika ini, anak anda memerlukan ibu bapanya lebih daripada dahulu. Jadi, tetapkan peraturan dan kuat kuasakannya, dan galakkan agar anak-anak berkongsi perasaan atau kebimbangan mereka dengan anda.

Disiplinkan dan sayangi anak anda. Lambat-laun ibu bapa dan juga anak-anak akan menyedari wujudnya kasih sayang yang berbeza, dan walaupun ibu bapa tidak lagi saling menyayangi, hubungan ibu bapa dengan anak tetap diteruskan. Anak-anak mungkin bimbang memikirkan kemungkinan akan berakhir juga perhubungan anda dengan mereka. Seandainya penekanan disiplin tidak dilakukan dengan penuh kasih, mereka mungkin terasa bahawa kasih sayang anda terhadap mereka telah luntur. Ibu bapa sering terlupa mendisiplinkan anak-anak apabila perasaan bercelaru selepas bercerai. Padahal menetapkan peraturan dan merangka struktur hidup anak-anak begitu penting pada waktu ini. Mendisiplinkan anak-anak dengan cara yang sihat menunjukkan bahawa anda menyayangi mereka. Dengan menunjukkan kasih sayang dan memberi perhatian yang positif, anda tidak begitu perlu menghukum mereka.

Hindari ugutan anak-anak. Apabila ibu bapa bercerai dan anak-anak mendiami dua rumah yang berlainan, mudah bagi mereka melaga-lagakan kedua-dua ibu bapa. Mungkin anak anda bertindak begitu – tanpa disedari – untuk menggalakkan anda dan bekas pasangan anda berhubung, dengan harapan anda berdua akan berbaik semula. Walau bagaimanapun, ada ketikanya anak anda meminta berbagai barang daripada anda berdua. Dalam keadaan perceraian, biasanya kedua ibu bapa berusaha memenangi hati anak-anak dan tunduk kepada segala kemahuan mereka. Memang risau memikirkan kemungkinan bahawa anak-anak lebih menyayangi bekas pasangan anda. Ingatlah, lambat-laun anak-anak akan menghormati anda sekiranya anda menetapkan batasan.

Kekalkan sikap bertolak-ansur. Ketika mengendalikan pengangkutan pergi balik antara dua rumah, dan peraturan di setiap rumah, memang sukar menetapkan peraturan ataupun hala tuju yang sama mahupun untuk mendapatkan rasa kesempurnaan keluarga. Anak anda perlu menyesuaikan diri dan mematuhi peraturan dua rumah – tak mudah untuk melakukannya. Anda dapat membantu dengan bertolak-ansur dalam permintaan anda terhadapnya – dan juga terhadap bekas pasangan anda.

Philip M. Stahl, Ph.D., ialah seorang ahli psikologi yang pakar dalam masalah perceraian berkonflik tinggi. Beliau mengendalikan syarikat sendiri di Dublin, California dan menjalankan latihan pendidikan berterusan untuk ahli-ahli psikologi, peguam, hakim dan jurunilai yang bekerjasama dengan keluarga-keluarga berkenaan. Beliau juga merupakan pengarang buku, Complex Issues in Custody Evaluations and Conducting Child Custody Evaluations: A Comprehensive Guide.