Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :
- Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.
Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.
Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.
- Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:
"Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"
Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari , lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.
No comments:
Post a Comment