Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg
Showing posts with label mengandung. Show all posts
Showing posts with label mengandung. Show all posts

Ramai-tak-tahu-cara-cegah-hamil



NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
Penggunaan kaedah perancangan keluarga tidak betul

LELAKI sebagai suami dan peneraju rumah tangga juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai perancangan keluarga serta kaedah pencegah kehamilan kerana kehamilan yang tidak dirancang boleh menimbulkan tekanan emosi suami isteri.

Kehamilan adalah tanggungjawab kedua-dua pihak, justeru memerlukan kerjasama suami isteri untuk merancang sebaik-baiknya sebelum mengambil keputusan menjadi ibu bapa, terutama apabila belum bersedia, supaya kehadiran anak itu tidak terlalu cepat, terlalu lewat atau sangat rapat.

Kehamilan yang tidak dirancang dan tidak dikehendaki berlaku di seluruh dunia. Peningkatan kehamilan luar nikah bukan saja membimbangkan ibu bapa dan pemimpin masyarakat, tetapi menjadi perhatian pakar perubatan kerana banyak kehamilan begini berakhir dengan pengguguran tidak selamat atau pembuangan bayi.

Pun begitu, masalah pengguguran haram turut berlaku pada wanita bergelar isteri. Walaupun tiada data, perkara ini bukan lagi rahsia. Di seluruh dunia, dianggarkan 220,000 kehamilan tidak dirancang dan mungkin berakhir dengan pengguguran.

Ini adalah masalah global yang berlaku di negara membangun dan maju, jarang diberi perhatian akibat kekurangan pendidikan seks serta penggunaan kaedah perancangan keluarga yang tidak betul, kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodaran.

Kajian antarabangsa yang dibentang pada Kongres Kesatuan Obstetrik dan Ginekologi Antarabangsa baru-baru ini melaporkan ramai wanita — tidak kira latar belakang pendidikan atau kewangan — kurang tahu mengenai kaedah pencegahan kehamilan. Ini bukan saja menyebabkan mereka ada pilihan terhad, malah ramai salah faham terhadap kaedah sedia ada.

Mungkin ada yang mempersoalkan apa pentingnya pencegahan kehamilan. Tahukah anda, dalam masa seminit, sebanyak 70 trilion sperma dihasilkan di seluruh dunia, satu juta telur disenyawakan; 60,000 lelaki mengalami ejakulasi; 500 wanita hamil dan 40 daripada kehamilan itu berakhir dengan pengguguran.

Dalam seminit juga, sebanyak 260 bayi dilahirkan, seorang wanita meninggal dunia ketika mengandung, bersalin atau menggugurkan anak dan paling menyedihkan, 21 bayi kurang daripada setahun meninggal dunia.

Dr Premitha berkata, tiada siapa berhak menghalang mana-mana pasangan untuk mendapatkan anak jika keadaan kesihatan dan ekonomi mengizinkan; cuma yang disarankan ialah kehamilan itu tidak berlaku terlalu cepat, lewat atau sangat rapat kerana boleh menimbulkan banyak konflik.

Malangnya, dalam era teknologi yang membolehkan kita mendapat pelbagai maklumat dengan hanya menggerakkan jari, masih ramai pasangan tidak tahu kaedah pencegahan kehamilan yang ada di negara kita.

Masih ada orang percaya wanita tidak akan mengandung pada kali pertama mengadakan hubungan seks, menjalankan aktiviti seksual ketika haid atau hanya ‘bermain di luar’. Sehingga kini ada 10 hingga 15 jenis kaedah pencegahan kehamilan yang ada di negara kita.

Antara kaedah yang boleh digunakan untuk merancang keluarga ialah:

  • Kaedah semula jadi (contohnya penyusuan bayi atau ejakulasi di luar).
  • Halangan (kondom).

  • Pemandulan.

  • Pil perancang (wanita.

  • Alat intrauterin (IUD).

  • Sistem intrauterin (IUS).

  • Implan.

  • Suntikan.
  • Kondom dan pemandulan adalah kaedah yang boleh digunakan pada wanita dan lelaki. Manakala kaedah lain adalah untuk wanita. Setiap kaedah ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

    “Pil perancang bukan saja mencegah kehamilan, tetapi turut ada manfaat lain seperti haid lebih ringan, tetap dan kurang senggugut; mengurangkan risiko pembentukan sista ovari, kanser ovari dan uterus; mengurangkan penyakit keradangan pelvik, meningkatkan ketumpatan tulang serta memperbaiki tekstur kulit. Cuma masalahnya ialah kepatuhan pada jadual pengambilan kerana ia perlu dimakan setiap hari.

    “Kondom juga antara cara pencegahan kehamilan yang baik dan murah. Ia juga dapat mengelak masalah jangkitan penyakit seksual,” katanya ketika pelancaran Hari Pencegahan Kehamilan Sedunia pertama yang diadakan serentak di 50 negara, baru-baru ini.

    Selain itu, penggunaan kaedah hormon (suntikan, IUD, IUS dan implan) semakin popular kerana ia bukan saja mudah, tetapi turut memberi banyak manfaat sampingan. Berbanding IUD, IUS adalah kaedah lebih terkini dan digemari ramai wanita.

    Walaupun keberkesanan IUD (yang dimasukkan ke dalam rahim) sangat tinggi iaitu sehingga 99.8 peratus selama tiga hingga lima tahun, ia ada kekurangan kerana menyebabkan haid lebih banyak dan lama, terutama pada peringkat awal.

    Manakala kesan IUS berbeza dengan IUD kerana wanita akan mendapat haid yang kurang, tempohnya singkat dan kurang masalah senggugut.

    Kedua-dua alat ini mengeluarkan hormon pada kadar tetap setiap hari untuk mencegah kehamilan daripada berlaku.

    Ia boleh dikeluarkan pada bila-bila masa apabila dikehendaki dan kesuburan wanita akan pulih seperti sedia kala. Ada orang bimbang, jika haid sikit bermakna ada darah tertinggal dalam rahim. Sebenarnya anggapan ini salah kerana kehadiran hormon mempengaruhi penghasilan haid dan bukan ia terkumpul dalam rahim.

    Satu lagi kaedah popular ialah implan (rod mengandungi hormon dimasukkan di bawah kulit pada lengan). Ia sesuai bagi wanita yang menyusukan anak, namun kaedah ini menyebabkan pendarahan haid tidak tetap dan banyak, mungkin mengalami pertambahan berat badan dan emosi berubah-ubah.

    Mereka yang ingin menggunakan kaedah suntikan pula perlu faham ia perlu diambil setiap dua hingga tiga bulan. Walaupun ia tidak mempengaruhi jumlah haid, kaedah ini dikaitkan dengan masalah pertambahan berat badan, emosi berubah-ubah dan tekanan. Kesuburan juga mengambil masa lama untuk pulih seperti sedia kala.

    Kaedah terakhir ialah pemandulan yang dilakukan melalui pembedahan. Kebanyakan pakar perubatan tidak menggalakkan kaedah ini kerana ia tidak boleh ‘diundur’. Ini bermakna, individu yang menggunakan cara ini tidak berpeluang lagi mendapat anak.

    “Setiap pasangan perlu tahu mereka ada banyak pilihan untuk merancang keluarga. Paling penting, selepas ini tiada lagi orang melakukan pencegahan kehamilan berisiko tinggi dan terlarang seperti menggunakan racun sperma (spermisid) atau pancutan air pada vagina selepas persetubuhan,” katanya.

  • 4 Petua Cepat Dan Mudah Hamil Untuk Wanita


    Jika anda sendiri mengalami masalah ini, anda perlulah terus berusaha dan berdoa kepada Allah SWT tanpa putus. Mungkin juga tips dan petua-petua yang bakal saya kongsikan ini anda boleh cuba amalkannya. InsyaAllah saya yakin suatu hari nanti anda pasti mampu menimang cahaya mata anda juga akhirnya.

    Baiklah, petua-petua dan tips-tipsnya adalah seperti berikut:

    PETUA 1: JANGAN sesekali dan elakkan merokok. Mungkin memang amat jarang kita lihat wanita merokok. Akan tetapi bagi kaum suami ianya adalah suatu kebiasaan. Menurut kajian sains, saintis telah mendapati kandungan rokok serta asap rokok boleh membunuh sel-sel sprema. Mungkin jika suami anda adalah seorang perokok tegar, inilah puncanya anda sukar hamil sebagai isteri.

    Hentikan tabiat merokok serta bagi si isteri, jauhkan diri sama-sekali daripada asap rokok.

    PETUA 2: Kurangkan sterss dan tekanan perasaan. Semua sedia maklum zaman sekarang ini kita hidup dalam zaman penuh dengan cabaran. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang berkerjaya. Wanita yang mudah terdedah kepada tekanan setiap hari mampu menurunkan lagi kebarangkalian untuk hamil. Oleh itu, cuba tenangkan diri dalam sebarang keadaan dan banyakkan berzikir serta mengingati Tuhan.

    PETUA 3: Tingkatkan berat badan anda dengan makan lebih sedikit. Ya, memang betul apa yang saya katakan ini. Tapi janganlah sampai anda overweight pula ya. Hal ini kerana, bagi wanita yang terlampu kurus atau kurang berat badan, mereka akan mengalami gangguan kitaran haid yang normal.

    Kesan langsungnya juga ialah hormon tidak cukup dirembeskan dan tubuh badan anda tidak ‘bersedia’ untuk berbadan dua. Oleh itu, tidak mengapa jika berat badan anda melebihi beberapa kilo sedikit daripada normal.

    PETUA 4: Ketahui dengan jelas kitaran haid anda. Anda perlulah faham dan tahu bilakah hari-hari subur anda. Dengan itu anda boleh tingkatkan kebarangkalian untuk hamil dengan meningkatkan kekerapan hubungan seks bersama suami ketika hari subur anda.

    Apa yang boleh anda lakukan ialah dengan menyediakan satu carta khas bagi mencatit hari dalam kitaran haid anda beberapa bulan. Dari situ, anda boleh meramal dan menjangka bilakan hari-hari subur anda untuk bulan-bulan seterusnya.

    Jika anda rasakan artikel ini bermanfaat dan berguna, kongsikan bersama rakan-rakan anda di Facebook dengan tekan butang biru like dibawah

    Bberapa tips untuk hamil

    1. Waktu Terbaik Untuk Melakukan Hubungan Seksual:-

    Adalah penting bagi pasangan yang inginkan zuriat mengetahui tentang masa yang sesuai untuk melakukan hubungan intim bersama pasangan iaitu pada waktu wanita subur (masa pengeluaran telur @ ovulasi). Bila dan bagaimana untuk mengetahui waktu subur anda? Anda boleh dapatkan ovulation kit di mana2 farmasi. Ovulation kit ini boleh membantu anda menentukan bilakah masa subur anda. Anda perlu tahu bahawa telur yang matang hanya hidup 24 jam sedangkan sperma pula hidup 48 hingga 72 jam dalam tubuh wanita. Oleh itu, sekiranya anda melakukan hubungan seks sebelum saat ovulasi lebih baik berbanding selepas ovulasi.

    2. Kekerapan Melakukan Hubungan Seksual:-

    Ini adalah bergantung kepada setiap pasangan itu sendiri. Tidak ada angka @ fakta yang tepat yang dapat memastikan berapa kali seseorang itu harus melakukan hubungan untuk hamil. Ada wanita yang hamil hanya dengan satu kali sahaja tetapi ada juga yang memerlukan waktu yang lebih lama. Bagaimanapun yang paling penting ialah "berapa kerap" anda melakukan hubungan pada " waktu subur". Sebab, jika anda melakukan hubungan banyak kali pun, tetapi bukan pada masa anda (isteri) subur, potensi untuk mengandung tetap tipis atau boleh jadi langsung tidak ada.

    3. Nikmati Proses Hubungan Seksual Anda:-

    Daripada penelitian pakar menunjukkan bahawa ketika seorang wantia mencapai orgasme - klimaks semasa hubungan kelamin - akan membentuk suasana alkaline pada vagina yang mana sperma suka keadaan ini, berbanding keadaan normal vagina. Jika anda mencapai orgasme pada saat yang bersamaan atau sesaat sesudah pasangan anda ejakulasi maka kesempatan sperma untuk selamat sampai di servik - rahim - lebih tinggi.

    4. Posisi Hubungan Seksual:-

    Posisi seks yang dicadangkan berikut ini mungkin dapat meningkatkan kemungkinan terjadinya kehamilan. Posisi suami di atas adalah yang terbaik untuk anda hamil. Letakkan sebuah bantal kecil dibahagian pinggul anda, sehingga pinggul anda beristirahat untuk menampung sejumlah sperma selama 15 minit atau lebih selepas anda berdua mencapai klimaks bersama sama.

    Keadaan ini akan memudahkan sperma berenang ke dalam rahim. Jangan menggunakan bantal yang besar dan terlalu tinggi, kerana ia akan menyebabkan sperma terkumpul dibelakang rahim sahaja dan ini akan menyukarkannya untuk berenang dan bergabung degnan sel telur, yang akhirnya menjadikan usaha anda sia-sia saja.

    Manakala posisi seksual yang perlu dielakkan bila anda ingin hamil adalah posisi wanita di atas, duduk atau berdiri, yang akan menyebabkan sebahagian dari sperma keluar dan hanya tersisa sedikit sperma yang mencuba berenang ke arah sel telur. Hukum graviti.

    5. Jangan Banyak Bergerak Setelah Melakukan Hubungan Seks:-

    Tidak ada bukti yang menunjukkan bahwa jika anda tidak bergerak gerak selepas hubungan akan meningkatkan potensi untuk hamil. Karena sebenarnya sperma sudah berada di dalam servik - rahim - sesaat setelah ejakulasi. Namun adalah digalakkan agar anda memberi masa untuk sperma berenang ke servik seperti yang diterangkan sebelumnya. Anda juga diingatkan agar tidak membersihkan vagina anda dengan cairan pembersih vagina setelah melakukan hubungan seksual kerana cairan pembersih vagina adalah bersifat toksic untuk sperma.

    6. Buat Para Suami:-

    Para suami sebaiknya menghindari memakai seluar dalam yang terlalu ketat atau mandi air panas, ini kerana ia akan menurunkan kemungkinan kehamilan kerana proses penekanan atau panas kawasan testis (pembentuk sperma). Ini berkait dengan tabiat atau amalan kebiasaan.

    7. Relaks:-

    Setiap pasangan suami isteri perlu sentiasa tenang dan tabah dalam menghadapi apa jua stress @ tekanan. Ini kerana stress atau tekanan terhadap sesuatu masalah ini mampu menurunkan keupayaan untuk hamil.

    8. Jaga Kesihatan Anda:-

    Menjaga kesihatan adalah asas yang paling penting. Pastikan tubuh anda cukup nutrisi. Perlu diingatkan bahawa wanita yang sihat akan lebih mudah hamil daripada yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau kurang.

    Tips di atas diharapkan dapat membantu anda untuk meningkatkan kemungkinan untuk hamil. Anda perlu tahu, hanya 30% sahaja dari jumlah sperma yang bertemu dengan telur di dalam rahim akan berhasil untuk melakukan kehamilan manakala 70% lagi gagal walaupun anda telah melakukannya dengan betul. Jadi anda harus menunggu dan mencuba lagi.

    Sekiranya anda telah mencubanya sehingga 1 tahun tanpa membuahkan hasil maka adalah penting untuk anda dan pasangan merujuk kepada doktor pakar untuk dapatkan rawatan dan khidmat rundingan yang terbaik.

    Jodoh, rezeki dan anak adalah ketentuan dan anugerah Allah, bagaimanapun anda harus berusaha sebaik mungkin untuk meraihnya. Dr pakar adalah perunding terbaik untuk membantu anda mendapat anak.

    Yang paling penting, sikap keterbukaan antara suami dan isteri untuk sama sama berfikir, berbincang dan berusaha untuk mendapatkan anak.

    Rancang hubungan seksual anda, niat dengan ikhlas, berdoa kepada Allah dan ikut pesanan dan nasihat Dr. Insya Allah anda berjaya. Beritahu kami tentang berita gembira ini!

    Dipetik dari Mengandung.com

    Adakah Hubungan Seksual Semasa Hamil Merbahaya?

    Ramai yang bertanya kepada saya adakah boleh melakukan hubungan seksual semasa hamil? Tak bahayakah?

    Ya, anda boleh melakukan hubungan seksual dengan pasangan anda semasa kehamilan biasa atau normal.

    Ada antara ibu yang risau dan salah anggap tentang seks semasa hamil boleh menyebabkan infeksi atau menjejaskan kandungannya semasa melakukan hubungan seks.

    Hubungan seks atau orgasm tidak membahayakan bayi di dalam kandungan anda kerana adanya lendir dari serviks ibu(mulut rahim) yang membantu melawan terhadap kuman atau infeksi yang akan masuk ke dalam pintu rahim dan secara semulajadi juga Allah s.w.t telah menciptakan suatu perlindungan kepada bayi dalam kandungan. Bayi dalam kandungan kita berada dalam ruang rahim dan cairan ketuban serta otot rahim dan perut yang kuat melindungi bayi salama dalam proses kehamilan.

    Namun kehamilan anda akan termasuk dalam kehamilan dengan risiko sekiranya ada komplikasi atau ada symptom yang tidak pernah anda rasa atau hadapi sebelum ini seperti rasa ngilu, kontraksi atau pendarahan maka anda perlu segera berjumpa denga doktor sebelum anda melakukan hubungan seksual lagi.

    Biasanya doktor akan menasihatkan agar anda tidak melakukan hubungan seksual pada kes-kes kehamilan berikut:

    1. Ancaman keguguran atau pernah alami keguguran.

    2. Placenta berada dibawah (plasenta previa)

    3. Riwayat kelahiran premature (pra-matang)

    4. Pendarahan vagina atau keluar cairan yang tidak diketahui penyebabnya.

    5. STD atau penyakit seksual yang menular.

    Jika anda masih ragu-ragu untuk melakukan hubugan seks semasa kehamilan, jangan anda merasa malu untuk membincangkannya dengan doktor anda

    Dipetik dari Mengandung.com

    Puting sakit ketika menyusu bayi

    Saya ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?

    Jawapan:

    Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

    Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: “Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan”.

    Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

    Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka.

    Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan.

    Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat.

    Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap.

    Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit – anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir.

    Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan “tidak” dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan.

    Menggigit

    Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting – kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit.

    Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit.

    Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.

    TEKANAN DI KALANGAN WANITA SELEPAS BERSALIN

    1. Pendahuluan
    2. Kehadiran cahaya mata merupakan detik yang membahagiakan namun tidak ramai pasangan yang membicarakan tentang kesan tekanan emosi yang dihadapi oleh wanita khususnya selepas melahirkan anak terutama semasa dan selepas pantang. Malah banyak yang tidak mengetahui bahawa jangka masa berpantang adalah penting untuk menentukan sama ada ibu akan kembali normal seperti sebelumnya atau si ibu akan menderita akibat tekanan emosi seumur hidup.

    3. Definisi Tekanan Selepas Bersalin.
    4. Tekanan emosi yang diertikan oleh masyarakat terutamanya masyarakat melayu dengan nama "penyakit angin meroyan". Ia dikaitkan sebagai penyakit tekanan emosi bagi ibu-ibu yang mengalaminya sewaktu atau selepas dalam pantang.

      Dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai "postnatal depression" yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.

    5. Bentuk Tingkahlaku "postnatal depression"
    6. Wanita yang mengalami masalah "postnatal depression" seringkali menghadapi masalah sukar untuk tidur dan sentiasa mengalami kepenatan. Mereka kerap merasa tegang, rendah diri dan mudah untuk merasa marah. Mereka bukan sahaja menjauhi hubungan seksual dengan suami malah membencinya. Malangnya kebanyakan wanita yang menghidap "postnatal depression" tidak menyedarinya sebagai satu penyakit. Begitu juga dengan suami dan ahli keluarga. Suami mungkin menganggap isteri berubah laku bukan kerana penyakit "postnatal depression" tetapi semulajadi. Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila suami tidak memahami keadaan tekanan emosi isteri

      Keadaan wanita ini juga akan menunjukkan perubahan yang mendadak seperti kemurungan, runsing dan kelihatan tidak bermaya. Sikap juga berubah dari periang boleh bertukar menjadi pendiam. Kebanyakannya seakan hilang sentuhan dengan dunia alam realiti.

    7. Faktor yang membawa kepada tekanan emosi "postnatal depression"
    8. Sebenarnya terdapat banyak faktor psikologi yang boleh membawa kepada "postnatal depression" ini berlaku. Tidak dinafikan, kelahiran adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Tetapi tidak semuanya begitu. Berkemungkinan anak yang dilahirkan adalah anak yang tidak dikehendaki.

      Tekanan ketika bersalin ditambah pula dengan rasa tertekan perasaan apabila mengenangkan anak yang dilahirkan. Apatah lagi wanita yang bersalin berkemungkinan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sendiri atau mertuanya. Ini akan menambahkan rasa tekanan emosinya.

      Kesakitan melahirkan anak diharap dapat difahami bersama oleh suami. Tetapi sebaliknya suami menganggap isteri telah biasa dengan kelahiran. Selepas kelahiran, ibu terpaksa berjaga malam menyusukan bayi dan menukar lampinnya yang basah. Ini membuatkan isteri tidak dapat menikmati masa rehat yang cukup. Baginya tiada kegembiraan dalam menimang cahaya mata sebaliknya merasakan ia sebagai kerja yang membosankan.

      Tekanan emosi dan perasaan isteri akan lebih tertekan apabila suami tidak cuba memahami kepayahan dan kesakitan isteri. Setiap kali pulang kerja mengharapkan makanan terhidang, rumah bersepah isteri dimarah, sedangkan makan minum isteri ketika berpantang tidak pernah dihiraukan. Kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian harus dilakukan oleh suami jika tiada pembantu. Apabila keadaan tekanan ini tidak terbendung, rasa kecewa diluahkan dengan keadaan kemurungan dan menjadi pendiam. Yang lebih teruk sehingga menyebabkan isteri menjerit dan menangis seorang diri.

    9. Sokongan emosi orang terdekat paling berkesan
    10. Tidak banyak kajian yang dilakukan ke atas punca-punca berlaku kesugulan di kalangan ibu selepas melahirkan anak. Walaupun ada kajian yang menyatakan perubahan hormon merupakan punca berlakunya "postnatal depression" namun ia hanyalah faktor kecil disamping beberapa faktor penyebab yang lain. Seseorang wanita yang sering berasa kecewa, sentiasa muram dan bimbang juga menjadi punca berlakunya "postnatal depression".

      Begitu juga bagi wanita yang belum bersedia menimang cahaya mata tetapi terpaksa menghadapinya juga cenderung mengalami masalah tersebut. Waktu dalam pantang, ibu mudah rasa tertekan kerana kehadiran bayi memerlukan ibu berjaga malam. Ada kalanya keletihan menjadikan ibu mudah tertekan. Oleh itu amat penting bagi bakal ibu mendapat sokongan moral dan emosi yang kuat daripada seseorang khususnya orang terdekat seperti suami terutamanya pada saat-saat menimang cahaya mata dan selepas melahirkannya.

      Ini adalah kerana sokongan dan bantuan suami merupakan penawar yang paling mujarab ke arah kestabilan emosi isteri. Kajian yang dilakukan di negara-negara barat mendapati bahawa kaunseling merupakan ubat paling berkesan bagi merawat ibu yang mengalami "postnatal depression". Di Britain contohnya kaunseling biasanya dilakukan oleh kaunselor atau individu yang memberikan perkhidmatan menolong datang ke rumah pesakit. Sekaligus suami turut memberi bantuan sebagai kaunselor yang memberi sokongan emosi untuk menenangkan perasaan dan emosi isteri.

      Harus difahami bahawa, wanita yang mengalami "postnatal depression" biasanya disebabkan oleh rasa kecewa kerana menyedari keadaan selepas menjadi ibu tidak seperti yang diharapkan. Sebelum kelahiran bayi mereka membayangkan bahawa kehidupan selepas mempunyai anak tentunya lebih indah kerana dikelilingi oleh bayi yang comel dan sihat.

      Malangnya apabila mereka mengalami sendiri dalam dunia realiti, keadaannya berbeza. Apa yang dibayangkan dalam fikiran mereka menjadi sebaliknya. Mereka tidak melaluinya dengan mudah. Ini merupakan satu kejutan yang mengganggu emosi dan fikiran wanita tersebut. Maka bagi mereka yang gagal mengawal emosi ketegangan ini mudah mengalami "postnatal depression".

      Bagi bakal ibu, persediaan paling penting sebelum menimang cahaya mata adalah persediaan emosi dan mental yang kuat. Selain daripada pengetahuan mengenai perawatan bayi, bakal ibu juga perlu tahu mengenai kesihatan diri sebelum dan selepas bersalin disamping bersedia untuk menerima kemungkinan buruk selepas bersalin. Meletakkan harapan yang tinggi tanpa persediaan jiwa dan rohani yang mantap akan hanya membawa kekecewaan yang memungkinkan anda mengalami "postnatal depression".

    11. Pendekatan kaunseling sebagai satu altenatif
    12. Secara teoritikalnya kita rujuk kepada pendapat teori yang terdapat dalam Terapi Rasional Emotif yang dipelopori oleh Albert Ellis memberi andaian tentang sifat semulajadi manusia iaitu manusia dilahirkan dengan satu potensi untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Di samping manusia berkecenderungan untuk memelihara dirinya, mencapai kebahagiaan, berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, ingin dikasihi dan mengasihi serta berkomunikasi dengan orang lain untuk berkembang maju ke arah nirwana kendirinya sendiri.

      Sebagai suatu kaedah yang dianggap berkesan dalam mengatasi masalah tekanan semasa dalam pantang selepas melahirkan anak ialah melalui metoda psikoterapi dan kaunseling. Wanita-wanita dan suami yang bakal menimang cahaya mata disarankan supaya:

      6.i Mempunyai persediaan yang cukup dari segi mental, fizikal dan material dalam menghadapi sebelum dan selepas kelahiran cahaya mata.

      6.ii Bertemu doktor dan pegawai perubatan untuk mendapatkan nasihat bagi membuat persediaan yang berpatutan untuk menghadapi saat-saat kelahiran.

      6.iii Datang berjumpa kaunselor untuk mengadakan sesi kaunseling perkahwinan bagi membincangkan aspek-aspek persediaan emosi dan kedua-dua pasangan yang akan menimang cahaya mata.

      6.iv Menimba ilmu kemahiran menghadapi sebelum dan selepas kelahiran anak. Ini supaya kedua-dua pasangan tidak merasa janggal apabila berlakunya situasi tersebut.

      Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa keseimbangan emosi dan mental wanita yang melahirkan anak samada sebelum dan selepas pantang amatlah perlu diberikan perhatian. Bukan wanita itu sahaja bahkan perlu juga sokongan kefahaman dan pertolongan di pihak suami dan keluarga. Wanita yang melahirkan anak amat sensitif dan mudah tersinggung kerana perhatian dan bantuan amat di perlukan ketika itu.

      Seseorang wanita yang mengalami tekanan postnatal depression ini boleh dipulihkan melalui sesi kaunseling dengan ahli-ahli keluarga terdekat seperti suami, ibu, kakak atau adik beradik yang lain haruslah bekerjasama dalam mengembalikan keriangan di dalam jiwanya. Pujuk dan bimbing supaya dia mendekatkan diri kepada Allah agar tidak berputus asa walaupun diberikan dugaan sedemikian rupa.

      Dari sudut terapi kerohaniannya seseorang wanita yang menghadapi tekanan adalah disarankan supaya menenangkan diri dengan menanamkan rasa sabar, yakin dan tawaakkal di atas taqdir-Nya di samping menerima realiti yang berlaku. Cara yang terbaik untuk mengurangkan tekanan perasaan ialah memohon kepada Allah SWT supaya menenangkan fikiran dan perasaan resah gelisah menerusi solat dan doa. InsyaAllah dengan kekuatan ini wanita tersebut akan dapat merasa lega dan selaras antara kognitif, afektif dan tingkahlakunya.

    13. Penutup

    Masalah tekanan emosi dan mental seperti yang di alami oleh golongan wanita yang dikenali sebagai "postnatal depression" adalah merupakan suatu bentuk penyakit yang berlaku kepada wanita yang melahirkan anak. Jika tekanan ini dibiarkan berlarutan berkemungkinan ia akan menambahkan lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman.

    Oleh yang demikian, tekanan seperti ini boleh di atasi dengan menggunakan kaedah kaunseling dan terapi yang dilakukan oleh suami atau individu yang ada kaitan dengan wanita tersebut. Namun apa yang lebih perlu ialah perhatian, kasih sayang dan juga bantuan kepada wanita yang melahirkan cahaya mata tersebut secara berterusan sehingga mengalami tahap kesihatan seperti sedia kala.