Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

Perceraian dan poligami

SOALAN :

Suami telah berkahwin dengan wanita lain tanpa mendapatkan persetujuan mahupun memberitahu saya sebelum perkahwinan. Soalan saya, adakah undang-undang membenarkan beliau berbuat demikian tanpa mendapatkan kebenaran saya sebagai isteri pertama?

Jika ya, atas dasar apakah Mahkamah akan memberikan hak tersebut.

JAWAPAN :

Bukanlah suatu kewajipan menurut hukum syarak untuk suami memberitahu atau meminta izin isteri sedia ada sebelum berpoligami.

Tetapi menurut undang-undang syariah, seksyen 23 EUKIS 2003, suami mesti mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu sebelum berpoligami. Seterusnya pihak Mahkamahlah yang akan memanggil isteri sedia ada untuk hadir dalam perbicaraan. Jika ini terjadi maka isteri sedia ada akan tahu hasrat suami untuk berpoligami walaupun suami cuba merahsiakannya sebelum ini.

Mengenai izin isteri, menurut hukum syarak dan undang-undang syariah, bukanlah satu kemestian kerana apa yang menjadi syarat keharusan berpoligami ialah kemampuan suami untuk memberi nafkah dan berlaku adil. Walaupun isteri sedia ada tidak bersetuju dengan berpoligami, pihak suami masih boleh melakukannya asalkan dia berjaya membuktikan kemampuannya sebelum berpoligami, dan berterusan bersikap adil selepas poligami dilakukan.

Beberapa tahun dahulu, iaitu sebelum poligami menjadi bidangkuasa Mahkamah Syariah, memanglah di peringkat pejabat Agama, izin isteri sedia ada diperlukan. Tetapi mungkin dalam hal itu telah banyak berlaku penyelewengan, di mana suami mendapatkan tandatangan isteri tanpa pengetahuan isteri, atau memaksa isteri dan sebagainya, dan dalam itu juga telah banyak menimbulkan masalah rumahtangga antara pasangan yang berpoligami. Maka dengan sebab itulah digubal undang-undang yang mewajibkan suami mendapat kebenaran Mahkamah Syariah sebelum berpoligami, ia bertujuan untuk memastikan suami yang berpoligami betul-betul berkemampuan dan seterusnya dapat mengurangkan masalah rumahtangga. Apabila permohonan poligami dikemukakan di Mahkamah, maka pihak isteri diberi peluang untuk menyatakan pendapat dan pendiriannya, tetapi tidaklah isteri itu boleh mengatasi kuasa asal mahkamah untuk memberi kebenaran poligami sekiranya mahkamah berpuas hati tentang kemampuan suami.

No comments:

Post a Comment