Saya berumur hampir 29 tahun dan belum berkahwin. Masalah saya sekarang...saya telah berkenalan dengan seorang lelaki berumur 22 tahun. Pada mulanya saya dan dia sekadar sahabat dan sepanjang persahabatan sememangnya kami serasi dalam setiap hal. Setelah berkenalan hampir setahun dia berterus terang bahawa dia menyukai saya...lebih mengejutkan dia mula sukakan saya sejak pertama kali dia mengenali saya. Apa yang saya kagumi ketelitian dia menilai diri saya dan kesabaran dia dalam memastikan tindakan yang dilakukannya adalah betul. Maksud saya tindakan untuk serius dengan saya. Lama kelamaan saya dapat menerima dia secara perlahan-lahan ditambah dengan keserasian yang ada sebelum ini. Masalahnya sekarang saya tidak tahu macammana hendak berterus terang dengan keluarga saya. Saya dapat rasakan kalau dari segi lain memang tidak ada masalah untuk keluarga saya menerima dia. Cuma sekarang ni perbezaan umur. Untuk pengetahuan kaunselor wajah saya tidak menampakkan yang umur saya 29 tahun. Seringkali orang menyangka saya berumur awal 20an..sebab itu juga rasanya hanya lelaki yang lebih muda sahaja yang akan mendekati saya disebabkan wajah saya yang lebih muda dari umur, hinggakan kalau orang yang tidak kenal siapa kami, orang akan anggap saya sebaya dengan teman saya tu. Dia lelaki yang matang, baik dan bertanggungjawab...tapi restu keluarga amat saya perlukan. Apa yang patut saya lakukan sekarang?
JAWAPAN
Bismillahirahmairahim
Salamualaikum.
Semoga diri saudari di dalam rahmat dan peliharaan Allah.
Terima kasih kerana menulis kepada kami.
Alhamdulillah, saudari telah bertemu dengan seorang pemuda yang menunjukkan bahawa dia menyayangi saudari. Mengikut cerita saudari, dapat saya simpulkan bahawa :
- dia dan saudari serasi dalam banyak hal
- dia matang, baik dan bertanggungjawab
- saudari, berwajah yang lebih muda dari usia
- dia menerima keadaan saudari sepenuhnya
- saudari dapat menerimanya
Masalah:
- tidak tahu nak berterus terang dengan keluarga tentang umur
Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kerana nampaknya saudari dan dia nampaknya serasi. Tentang keluarga apakah yang menyebabkan saudari terbantut untuk menyatakanya secara berterus terang?. Adakah saudari merasakan keluarga saudari mementingkan umur bakal suami saudari? Adakah saudari merasakan keluarga saudari mementingkan kematangan bakal suami saudari? Atau adakah persoalan yang lain lagi?
Saya kira saudari tentu telah bersedia dengan jawapan yang bakal diajukan soalannya oleh keluarga saudari nanti. (Saya berandaian di sini bahawa keluarga bakal tunang saudari telah menerima saudari).
Saudari lebih mengetahui apakah cita rasa yang diinginkan oleh keluarga saudari.
Sekiranya umur menjadi persoalan, saya pasti saudari telah bersedia dengan jawapan yang meyakinkan. Begitu juga dengan persoalan tentang kematangan, juga saya rasa saudari dapat memberikan jawapan yang meyakinkan. Surat saudari ini juga dapat meyakinkan saya bahawa pilihan saudari itu tepat dan sesuai mengikut cita rasa saudari. Nah terpulanglah kepada saudari untuk memberi tahu keluarga saudari. Apakah lagi yang diperlukan oleh seorang ayah dan ibu untuk melihat anaknya hidup bahagia? Bukankah nabi juga telah memberi contoh yang terbaik untuk memilih seorang isteri.
Insyallah semuanya akan berjalan baik sekiranya saudari yakin dengan pilihan saudari dan si dia yakin dengan pilihannya. Teruskanlah usaha murni saudari ini untuk bertemu keluarga saudari. Insyallah keluarga akan memberi restu.
Semoga semuanya selamat dan segala niat baik kita mendapat sokongan dan pertolongan Allah swt.
Sekian terima kasih.
Ramlan Hamzah
No comments:
Post a Comment