SOALAN
Assalamualaikum,
Saya berkawan hampir 2 tahun dengan seorang duda anak 1, kami telah berbincang untuk bertunang pada tahun 2005. Tapi saya mempunyai masalah keluarga, dalam perhubungan kami selama 2 tahun ini hanya ibu saya sahaja yang mengetahui hubungan kami, tetapi dalam hal ini ayah saya tidak tahu mengenai saya berkawan dengan duda yang mempunyai anak 1.
Soalannya..
Bagaimanakah saya nak beritahu ayah saya mengenai hubungan serta hasrat kami untuk bertunang? Saya begitu takut kerana orang yang saya berkawan bukanlah ciri-ciri yang ayah saya suka kerana ayah saya mahukan orang yang beriman dah boleh membantu saya dalam hal agama. Saya sangat tertekan..saya harap tuan dapat menolong saya dalam hal ini.
Terima kasih.
JAWAPAN
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum wbt
Semoga diri saudari di dalam rahmat Allah swt. Kami mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana mengirimkan pemasalahan saudari kepada kami ini menandakan keyakinan dan kepercayaan saudari kepada kami. Walaubagaimanapun kami memohon maaf kerana terlewat untuk memberi maklum balas disebabkan masa tidak berpihak kepada kami untuk membantu saudari dengan pantas.
Saya berharap agar saudari masih lagi dapat menerima respon dari kami ini.
Saudari ada kemukakan bahawa saudari telah mempunyai seorang teman yang saudari rasa secocok dan merancang untuk berkahwin dengannya. Ibu saudari telah mengetahuinya tetapi tidak bapa saudari. Saudari juga ada menyatakan kemungkinan akan ada penentangan bagi pihak bapa saudari memandangkan bapa saudari mementingkan orang yang beriman dan boleh membantu saudari di dalam agama.
Di sinilah persoalannya.
Saudari sendiri mengetahui teman saudari sekarang ini tidak menepati ciri-ciri yang ayah saudari ingini iaitu orang yang beriman dan orang yang akan dapat membantu dan membimbing saudari. Jadi bagi pandangan saudari sendiri, apakah ciri-ciri teman saudari itu sekarang ini? Tidak beriman? Tidak dapat membantu saudari ke arah beragama? Sekiranya saudari keliru dan ragu dalam hal ini saya juga memikirkan bagaimanakah nanti saudari dapat berhadapan dengan bapa yang sudah tentu berbeza pandangan dari saudari? Lebih-lebih lagi pula pandangan bapa saudari itu adalah merupakan perkara pokok di dalam hidup berumah tangga iaitu suami yang beriman dan suami yang dapat membimbing saudari kelak?
Perkara ini perlulah saudari teliti dengan lebih mendalam lagi kerana saya percaya saudari juga bersetuju bahawa sesebuah perkahwinan itu memerlukan seorang bakal suami yang bertanggungjawab dan dapat memimpin sesebuah keluarga. Adakah saudari mempunyai pendapat yang berlainan dalam hal ini?
Sekiranya pada awal lagi saudari ragu terhadap ini maka saya khuatir bagaimanakah saudari menghadapinya nanti selepas saudari mendirikan rumahtangga kelak?
Ibarat ingin membangunakan sebuah bangunan, saudari perlu melihat dan meneliti arkitek yang akan membangunkan bangunan tersebut. Saya kira saudari juga perlu mendapat keyakinan dari arkitek tersebut bagaimanakah ciri-ciri dan rupabentuk bangunan yang akan didirikan. Jika saudari inginkan pondok buruk saudari boleh mencari buruh kasar yang tidak berlesen dan sesiapa sahaja sanggup melakukannya.
Jika saudari inginkan bangunan yang kukuh dan meyakinkan saudari perlu berusaha dan membuat pilihan yang terbaik bagi saudari. Dalam hal ini saya yakin saudari telah mempunyai pilihan namun pilihan saudari itu masih belum atau tidak dapat meyakinkan ayah saudari.
Namun begitu, bagaimanapula saudari? Adakah saudari yakin dengannya? Adakah saudari yakin dengan orang tidak beriman? Adakah saudari yakin dengan orang yang tidak boleh memimpin saudari? Saya masih lagi merasakan bahawa saudari boleh memberi penekanan kepada perkara ini dahulu sebelum mahligai impian itu didirikan. Bergaduh dan berbincang dengan keluarga sebelum mendirikan rumahtangga adalah merupakan satu proses ke arah kebaikan. Jika saudari kalah dalam pergaduhan dan perbincangan itu bermakna ada sesuatu yang perlu diperbetulkan. Mungkin perbincangan yang lebih lanjut dengan teman saudari itu perlu dilakukan untuk membetulkan sikap dan tingkahlakunya.(Saya mengandaikan teman saudari itu kurang beriman dan tidak dapat memimpin saudari: mengikut pernyataan saudari sendiri).
Jika saudari menang dalam perbincangan dan pergaduhan itu maka saudari perlu lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa-apa risiko setelah rumahtangga itu didirikan. Untuk 'maintain' rumahtangga bahagia dan baik bukan hanya memerlukan seorang pemimpin yang sanggup memimpin dirinya dengan baik malah dapat memimpin diri dan ahli keluarganya dengan baik. Saya percaya saudari juga tidak mahu ayah saudari nanti akan menyindir kembali saudari sekiranya berlaku apa-apa masalah besar di dalam keluarga yang saudari bina nanti.
Akhirnya saya serahkan kembali kepada saudari untuk:
- Berbincang dengan bakal tunang tentang dirinya dan hala tuju keluarga yang akan dibina.
- Dapat meyakinkan bapa bahawa bakal tunang saudari itu dalam proses mengubah diri dan tingkahlaku ke arah lebih bertangungjawab.
- Dapat meyakinkan bapa bahawa pilihan saudari adalah pilihan berdasarkan kasih sayang yang sejati dan bakal suami berikrar dan berjanji bahawa dia dapat memberikan kebahagiaan kepada saudari.
Jika saudari masih ragu lagi terhadap 3 perkara di atas maka saudari perlu lagi memikirkan jalan lain untuk menuju ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan. Kami hanya menyuluh jalan. Saudarilah yang akan melaluinya. Tidak semestinya suluhan kami itu benar namun mencari kebenaran perlu kekuatan dan keyakinan.
Kami berdoa agar saudari dapat memilih yang terbaik untuk diri dan keluarga saudari ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sekian Terima kasih.
- Ramlan Hamzah
No comments:
Post a Comment