Pages

 photo cdfg_zpsa050135e.jpg  photo sddf_zps85c1ecb0.jpg  photo Untitled-1_zps82be47ba.jpg  photo reyery_zps1c3c9bbf.jpg

BAPAKU PULA YANG TIDAK SETUJU

SOALAN

Saya telah bercinta dengan seorang lelaki yang cemerlang dalam pelbagai aspek- pekerjaan, agama dan politik tetapi telah berkahwin. Sebelum mengenalinya, saya mempunyai seorang teman lelaki yang banyak menyokong saya dari belakang. Tetapi saya tidak menerima dia seadanya. Maksudnya, saya hanya akan berkahwin dengannya sekiranya dia berjaya memenuhi kriteria yang saya tetapkan.. Saya tak berapa berkenan dengan perangai kebudakannya, kelam kabut dalam segala hal dan badan yang berisi. Saya memang amat pentingkan penampilan yang kemas. Kami berkawan selama 6 tahun sehingga saat ini. Setelah bertemu dengan pemuda kedua, saya menerima lamarannya untuk menyunting saya sebagai isteri kedua. Isterinya mempersetujui permintaan suaminya itu. Saya dan isterinya ada berjumpa.. dan saya dapati isteri dia memang seorang wanita yang tabah, amat menyayangi familinya. Hubungan kami memang tiada rahsia.. malah isterinya ingin kami lekas berkahwin bagi menjaga kedudukan suaminya seorang yang dihormati ramai.

Kami ingin berkahwin demi mencari keredhaan Allah.. Bekas teman lelaki saya menghormati keputusan saya.. walaupun dia amat kecewa. Masalahnya, bapa saya tidak setuju. Ibu dan adik-adik saya takda masalah... Sudah dipujuk berkali-kali, hatinya keras, pendiriannya kebal.. Hanya kerana lelaki itu suami orang. Bapa berkata dia tak sanggup tengok saya derita. Memang selama ini saya hidup senang, tak pernah susah.. tapi saya tak tahan di kongkong oleh bapa dari masa belajar sampai dah masuk kerja.. sampai soal jodoh pun dia nak tentukan sesuai atau tidak.

Bila dia menentang begini, kami ada fikirkan plan B iaitu kahwin lari di Siam. Saya memang tak setuju. Tapi apakan daya.. ini strategi nak bagi bapa terima... bila dilanda dugaan macam ni.. saya terfikir.. perlukah saya berkahwin juga dengan dia.. dan menghadapi apa jua bentuk cabaran.. walaupun bapa menentang... atau berkahwin dengan bekas teman lelaki saya yang saya dah kenal selama 6 tahun itu dan masih mengharapkan saya?

Kedua-dua lelaki itu sayang kan saya.. hati saya lebih kepada suami orang itu.. Maknanya saya dah buat keputusan memilih suami orang. Bukan tak fikir panjang... tapi saya melihat cara kepimpinan suami orang tu.. yang berjaya mendidik isteri dia.. dan anak-anak dia sehingga berjaya dalam akedemik.. saya memang inginkan lelaki yang berwawasan...

Macammana sekarang ni? Harap dapat menyelesaikan kekalutan saya ini.



JAWAPAN

Bismilahirahmanirahim.
Assalamualaikum wbt semoga diri saudari sekelurga di dalam rahmat Allah. Kami mengucapkan terima kasih kerana saudari memberi kepercayaan kepada kami untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian yang baik. Insyallah semoga Allah akan mendorongkan kita ke arah itu.

Saudari,
Alhamdulillah saudari telah mempunyai pilihan untuk mendirikan rumahtangga dengan seseorang yang saudari terpaksa memilih satu di antara dua. Alhamdulillah juga kerana saudari nampaknya telah memilih salah seorang darinya dan nampaknya saudari yakin dengan pilihan saudari itu. Nampaknya semua ahli keluarga telah bersetuju kecuali ayah saudari. Ayah saudari mempunyai pandangan yang berbeza dari saudari dan ahli keluarga yang lain. Inilah yang menganggu perasaan dan fikiran saudari. Insyallah mari kita analisa perkara ini dengan lebih lanjut lagi.

Saudari,
Perkara pokok yang saudari perlu ingat ialah bagaimana saudari dapat mengekalkan kehidupan bahagia di masa hadapan dan pada masa yang sama cuba tidak meruntuhkan kehidupan yang saudari telah lalui selama ini. Untuk itu saya mengucapkan syabas kepada saudari kerana saudari telah dapat bersabar dan telah mencari jalan dengan menghubungi kami untuk meleraikan kebuntuan ini. Dalam hal ini saudari telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen untuk bertindak waras agar segala pemasalahan dapat di selesaikan dengan baik.

Kedua, mari kita melihat faktor ayah saudari sendiri. Saudari rasa mengapa ayah saudari melarang? Adakah dia membenci saudari? Adakah dia benci kepada bakal suami saudari? Adakah mungkin dia kesihankan kepada isteri bakal suami saudari yang akan bermadu dengan saudari? Adakah dia tidak mahu melihat anaknya yang sulung ini memberi contoh yang ‘kurang baik’ kepada adik-adiknya yang lain? (“Kurang baik” itu bukan dari persepsi saya, saya mengandaikan kemungkinan fikiran itu datang dari ayah saudari). Adakah dengan bermadu itu nanti hidup anaknya yang tersayang ini akan terseksa? Adakah ayah saudari telah benar-benar memahami kehendak anak yang disayanginya ini? Semua ini adalah merupakan persoalan-persoalan yang mungkin ada di dalam benak fikiran ayah saudari? Kalau tidak masakan dia tidak membenarkan saudari bernikah dan tidak lama lagi dia akan menimang cucu. Kalau tidak masakan dia mahu anaknya ini menderita akibat cinta yang perlu diputuskan. Kesemuanya ini ada di dalam pemikiran ayah saudari. Saudari perlu mengetahui perkara sebenar mengapa ayah saudari menentang hasrat saudari yang suci ini.

Bagi saya, ayah saudari mempunyai hak untuk berasa curiga dan berasa was-was terhadap apa yang saudari akan lalui ini. Ini dibuktikan dengan persepsi masyarakat Melayu kita yang rata-rata dan kebanyakan memandang serong terhadap orang yang bermadu. Dan ini tidak terkecuali kepada ayah saudari sendiri.

Saya juga merasakan bahawa saudari juga mempunyai hak untuk membuat pilihan siapa yang berkenan di hati saudari, cuma hak itu tergantung kepada kebenaran bapa sebagai wali di dalam agama kita. Saya juga merasakan bahawa bapa saudari juga mempunyai hak untuk mendengar penerangan dan penjelasan yang baik dari saudari selaku tuan punya tubuh yang akan berkahwin nanti. Oleh itu saya kira saudari perlu memikirkan strategi yang baik untuk memujuk dan memenangi kembali hati bapa saudari. Saya percaya bapa mana yang tidak sayangkan anak dan bapa mana yang mahu anaknya menderita. Saya juga percaya bahawa halangan bapa saudari itu adalah disebabkan dia percaya dan yakin bahawa saudari tidak akan berjaya dan bahagia di dalam perkahwinan itu nanti. Saya ulangi, dia tidak yakin bukan kerana dia tidak sayangkan saudari tetapi dia tidak yakin kerana sistem (poligami) itu tidak meyakinkannya. Untuk itu saudari perlu bijak untuk memberikan keyakinan kembali kepada ayah saudari bahawa apa yang dikhuatirkannya itu insyallah tidak akan berlaku. Saudari juga boleh meyakinkan kepadanya bahawa orang yang menjadi pilihan saudari ini adalah seorang yang sememangnya menjadi kriteria pilihan saudari di atas tadi. Saudari juga boleh meyakinkan kepada ayah saudari bahawa apa yang saudari pilih untuk hidup ini adalah kebahagiaan dan kebahagiaan itu tidak dapat diberikan oleh orang lain lagi kecuali orang yang saudari pilih sendiri. Mungkin saudari boleh memberikan hujah-hujah dan sebab-sebab yang bernas yang saudari telah fikirkan secara semasak-masaknya.

Saya kira, saudari perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh cekal hati untuk meyakinkan bapa saudari dan saudari tidak boleh berputus asa terhadap usaha murni ini. Saya khuatir, cadangan saudari untuk memilih pelan B iaitu berkahwin di Siam adalah merupakan cadangan yang akan memberi kemenangan kepada ayah saudari kelak untuk menempelak saudari di belakang hari. Cadangan itu juga boleh dijadikan modal oleh bapa saudari, bagaimana saudari belum lagi apa-apa telah membelakangkan seluruh keluarga. Saya kira pelan B perlu saudari pertimbangkan semula sama ada ia perlu berada di dalam cadangan ataupun tidak, kecuali kalau saudari sendiri ingin berpatah arang.

Mulai saat ini, saudari boleh memikirkan cara untuk berbincang dengan bapa saudari dengan secara dewasa. Pastikan batasan saudari sebagai anak ketika berbicara (penuh hormat dan ikhlas) dan saudari perlu konsisten dengan keputusan yang saudari ambil. Bukan mudah untuk berbicara berhadapan dengan seorang bapa malah sikap tidak hormat dan sikap terlalu emosi dan suka memberontak boleh menghilangkan mood perbincangan. Saudari boleh memilih suatu hari yang agak selesa untuk berhadapan dengan bapa dan bertanyakan perkara ini secara berdepan dan dengan penuh harap. Saya kira tanpa kehadiran ibu atau adik beradik lain boleh difikirkan kerana ketika itu mungkin perbincangan berdua tidak akan melibatkan ahli-ahli yang lain berpihak-pihak. Walaupun diketahui bahawa semua mereka akan menyebelahi saudari namun sebagai bapa, pada bila-bila masa dia boleh menunjukkan kuasa vetonya apabila dirinya terasa diancam. Cuba saudari renungkan kembali soalan-soalan yang di atas tadi yang mungkin difikirkan oleh bapa saudari. Mungkin di situ ada persoalan yang perlu dijawab oleh saudari sendiri. Seorang ayah akan merasa tenang apabila dia yakin bahawa anaknya selamat dan bahagia.

Setelah perbincangan diadakan…
Apakah kemungkinan yang akan berlaku?
Pertama, ayah tidak banyak soal lalu bersetuju. Jika ini berlaku masalah akan selesai.

Kedua, terjadi perdebatan dan soal-jawab. Jika ini berlaku saudari perlu melihat kemampuan saudari untuk memberi maklum balas agar dapat meyakinkannya. Cara saudari perlu tenang, bersungguh-sungguh, rasional, sabar. Insyallah, mungkin akhirnya ayah saudari akan tersedar, rupa-rupanya anaknya bukan kanak-kanak lagi. Anaknya telahpun dewasa dan boleh berdikari dan boleh memilih apa yang terbaik untuknya. Ayah saudari mungkin berfikir begitu, apabila dia merasakan anaknya dapat meyakinkannya, apabila anaknya memberikan pandangan yang rasional, apabila anaknya yakin bahawa anaknya telahpun dewasa. Akhirnya dia akan bersetuju. Insyallah.

Ketiga, ayah tetap dengan pendiriannya. Masih tidak bersetuju. Jika ini terjadi saudari perlu melihat kembali mengapa dia tidak bersetuju. Adakah pertuturan saudari menyinggung perasaannya. Adakah penerangan saudari tidak meyakinkannya. Adakah kemungkinan lain? Mungkin saudari perlu memikirkannya kembali cara yang terbaik untuk meyakinkannya kembali. Mungkin saudari memerlukan usaha lebih dari itu untuk meyakinkannya. Saudari boleh mengambil jalan singkat dan mudah namun telah terbukti bahawa jalan singkat dan mudah tidak menjamin seseorang itu bahagia. Sesuatu perkara yang berlaku itu mesti ada sebab dan puncanya. Mustahil dia tidak bersetuju hanya disebabkan oleh ‘kedegilanya’. Kedegilan seseorang itu juga ada sebabnya. Oleh itu saya percaya mesti ada cara lain yang mungkin belum dapat kita fikirkan setakat ini untuk mengubah pemikiran dan perasaanya. Tapi saya percaya tidak ada manusia yang tidak akan dapat diubah, kecuali dengan usaha yang tidak ada sempadannya.

Akhir sekali, segala hajat, permohonan hendaklah dipohonkan kepada Allah juga. Yakinlah bahawa Allahlah yang melembutkan hati manusia. Setelah semuanya diusahakan, akhirnya hendaklah kita berserah kepada Allah kerana Dialah yang mengetahui segala sesuatu. Mungkin sesuatu perkara itu kita memikirkan baik, namun hakikatnya Dia jualah mengetahuiNya. Berdoalah sesuatu yang baik akan berlaku kepada diri saudari kerana kita sebagai manusia tidak tahu yang mana baik dan yang mana tidak. Jika saudari telah memikirkan sesuatu itu terbaik maka berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya dengan cara yang terbaik. Insyallah segala yang baik itu Allah akan memberikan kemudahan kepada kita untuk melaksanakannya.

Sekian terima kasih.

-RAMLAN HAMZAH

No comments:

Post a Comment